backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Malu Keluar Rumah Sebab Mata Tumbuh Ketumbit, Ini 5 Cara Cepat Hilangkan Bengkak

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 14/11/2023

    Malu Keluar Rumah Sebab Mata Tumbuh Ketumbit, Ini 5 Cara Cepat Hilangkan Bengkak

    Sekiranya anda mempunyai benjolan kecil berwarna merah, kadangkala disertai ‘mata’ putih di dalam atau luar kelopak mata, itulah ketumbit. Apakah cara hilangkan ketumbit mata? Jom baca!

    Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Mata di sini.

    Ketumbit, mari kenal dengan lebih lanjut

    Sebelum pergi dengan lebih mendalam lagi, adalah wajar untuk kita semua berkenalan dengan kondisi yang berlaku pada mata ini terlebih dahulu.

    Ketumbit merupakan ketumbuhan pada kelopak mata sama ada melibatkan satu mata sahaja atau kedua-dua belah mata.

    Ada juga ura-ura yang sering mengaitkannya dengan tabiat mengintai dan pastinya, ia tidak ada kena mengena sama sekali kerana ketumbit berlaku dek jangkitan bakteria Staphylococcus aureus.

    Meskipun tidak berbahaya, ia masih berupaya mengganggu aktiviti seharian akibat rasa tidak selesa di samping menjejaskan penampilan anda.

    Biasanya, ketumbit ini melibatkan bahagian folikel iaitu akar rambut, atau kelenjar meibomian yang terletak di tepi mata.

    Tambah lagi, ia boleh dibahagikan kepada 2 jenis berdasarkan bahagian mata yang terlibat iaitu hordeolum dan chalazion.

    Untuk makluman pembaca, hordeolum ketumbuhan akut pada kelopak mata diakibatkan oleh jangkitan kuman.

    Manakala, chalazion merujuk kepada halangan kelenjar meibomian, yang berfungsi untuk menghasilkan sejenis cecair berminyak pada bola mata untuk mengelakkan lapisan air mata daripada menjadi kering.

    cara hilangkan ketumbit mata

    Kelompok orang yang lebih kerap mengalami hordeolum ialah:

  • Pesakit kencing manis
  • Pesakit seborrhea, penyakit kulit yang menyebabkan kulit kasar dan bersisik
  • Pesakit yang mengalami blepharitis kronik, jangkitan kelopak mata berjangka masa panjang
  • Individu yang tidak menjaga kebersihan kelopak mata
  • Chalazion pula berpunca daripada masalah kelenjar meibomian dan punca utama adalah lapisan lemak dalam kelenjar yang terlalu melekit dan susah untuk dikeluarkan.

    Sebagai contoh, golongan yang mempunyai masalah acne rosacea.

    Justeru, apakah cara-cara hilangkan ketumbit yang boleh penghidap lakukan? Teruskan pembacaan!

    Cara-cara hilangkan ketumbit mata

    #1 Kompres hangat

    Kompres hangat boleh menjadi antara kaedah yang paling berkesan dalam merawat ketumbit.

    Kehangatannya bantu ‘membawa’ nanah ke permukaan, dan kemudian melarutkan nanah dan minyak lantas membuatkan ketumbit tersebut kering secara semula jadi.

    Caranya cukup mudah, basahkan kain yang bersih dengan air yang hangat, pastikan air tidak terlalu panas ya!

    Kemudian perah kain hingga tiada lagi air menitis lalu tuam di bahagian mata yang terjejas selama 5 ke 10 minit.

    Anda boleh mengamalkan cara hilangkan ketumbit mata ini 3 hingga 4 kali setiap hari.

    #2 Cara hilangkan ketumbit mata guna beg teh

    Inginkan kaedah yang lebih mudah? Hanya gunakan beg teh yang masih suam!

    Jika penyediaan kompres hangat agak merenyahkan buat anda, penggunaan beg teh yang masih hangat juga dapat memberikan kesan yang sama.

    Selepas menghabiskan secawan teh ketika minum petang, usah buang beg tehnya dahulu ya.

    Dalam keadaan yang masih hangat, sejukkan sedikit lalu letakkan beg teh tersebut pada mata yang terjejas. Biarkan di mata sekitar 5 ke 10 minit.

    Dalam banyak-banyak jenis teh, teh hitam berfungsi paling baik dalam mengurangkan pembengkakan di samping mempunyai sifat antibakteria.

    #3 Ambil ubat sakit di kaunter

    Antara cara nak hilangkan ketumbit yang lain, kalian juga boleh mendapatkan ubat penahan sakit di kaunter seperti ibuprofen atau acetaminophen untuk mendapatkan kelegaan.

    Peringatan! Ikuti arahan pada bungkusan untuk memastikan anda mengambil dos yang betul.

    Sekiranya ketumbit dialami menyebabkan kesakitan yang serius dan mengganggu aktiviti seharian, temui doktor anda.

    Cara hilangkan ketumbit mata #4 Elakkan memakai alat solek dan kanta lekap

    cara hilangkan ketumbit mata

    Elakkan memakai alat solek jika anda mempunyai ketumbit kerana solekan boleh membuat keradangan bertambah parah dan melambatkan proses penyembuhan.

    Bukan itu sahaja, anda juga berisiko memindahkan bakteria daripada alatan solek kepada mata yang terjejas.

    Bagi yang memakai kanta lekap pula, elakkan daripada memakainya sehingga mata kalian sembuh sepenuhnya.

    Sama seperti solekan, pemakaian kanta lekap juga berupaya menyebarkan jangkitan.

    #5 Cara nak hilangkan ketumbit guna salap antibiotik

    Cara hilangkan ketumbit yang ringan pula, anda boleh menggunakan salap antibiotik di kaunter, tetapi anda lebih disarankan untuk menemui pakar jika ia:

    • Terlalu menyakitkan
    • Mengganggu penglihatan
    • Tidak sembuh dengan rawatan di kaunter

    Untuk menggunakan salap antibiotik ini, tarik bahagian yang terjejas dan sapukan ia seperempat inci di dalam kelopak mata.

    Akhir kata, cara hilangkan ketumbit mata yang paling penting adalah elakkan perbuatan memicit, mencucuk mahupun menyentuh ketumbit sama sekali!

    Ini kerana ia mampu menyebarkan jangkitan lantas membuatkan mata terjejas dengan lebih teruk.

    Jika anda sayang mata anda, serahkan tanggungjawab itu kepada mereka yang lebih pakar okey!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 14/11/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan