Ramai yang salah anggap akan penyakit ini. Dari sudut perubatan, penyakit epilepsi atau sawan tidak boleh disembuhkan.
Setakat ini, tiada rawatan moden mahupun tradisional yang terbukti berkesan menghilangkan penyakit tersebut.
Walau bagaimanapun dengan kemajuan teknologi perubatan dan ilmu berkaitan dengannya, punca masalah ini boleh dikesan dan langkah pencegahan boleh diambil.
Ada juga pesakit yang mengambil ubat untuk mengawal simptom sawan bagi mengoptimumkan kualiti hidup mereka.
Artikel ini akan membincangkan perihal penyakit epilepsi dan bagaimana cara untuk mengawal sawan.
Bukan semua orang yang alami sawan ada penyakit epilepsi
Epilepsi adalah satu masalah kesihatan kronik yang menyebabkan tercetusnya simptom sawan tanpa ada sebarang provokasi atau punca yang jelas.
Ia terjadi apabila berlakunya aktiviti luar biasa di dalam otak oleh rangkaian sel saraf yang dikenali sebagai neuron.
Secara umumnya, mereka yang didiagnosis dengan penyakit epilepsi boleh mengalami sawan.
Namun, jangan salah faham. Mereka yang mengalami sawan tidak semestinya boleh didiagnosis dengan penyakit epilepsi.
Sawan hanyalah simptom yang memberikan sebahagian daripada gambaran diagnosis sebenar.
Contohnya, mereka yang mengalami masalah jangkitan selaput otak (meningitis) turut boleh mengalami sawan.
Epilepsi juga bukanlah sejenis penyakit berjangkit. Ia juga bukan tanda yang menunjukkan anda mengalami penyakit atau sebarang bentuk kemerosotan fungsi otak.
Mereka yang didiagnosis boleh mengalami sawan pada intensiti yang berbeza.
Sawan ringan berlaku dalam masa beberapa saat. Kadangkala ia sukar dibezakan dengan keadaan biasa.
Pesakit biasanya akan kurang sedar terhadap apa yang berlaku.
Sawan berintensiti kuat pula boleh menyebabkan sentakan otot di luar kawalan selama beberapa minit.
Pesakit biasanya hilang kesedaran (pengsan) sepanjang ia berlaku. Apabila sedar, mereka tiada memori tentang apa yang baru sahaja berlaku.
Epilepsi merupakan satu masalah neurologikal yang lazim didiagnosis di seluruh dunia.
Kira-kira 65 juta individu menghidap masalah ini namun ia lebih kerap dijumpai dalam kalangan budak kecil dan orang tua.
Apa yang boleh menyebabkan penyakit epilepsi berlaku?
Bukan semua individu dapat mengenal pasti punca di sebalik berlakunya sawan epilepsi.
Lebih teruk lagi jika mereka mengalami simptom sawan berseorangan.
Antara punca paling lazim yang sering diadukan kepada doktor adalah:
- Kurang tidur.
- Jangkitan atau demam.
- Stres.
- Cahaya yang sangat terang.
- Kesan sampingan ubat, alkohol, kafein atau dadah terlarang.
- Melangkaui waktu makan, terlebih makan atau sensitif terhadap produk makanan tertentu.
Proses mengenal pasti punca berlakunya sawan bukanlah perkara yang mudah.
Apabila ia berlaku sekali, perkara yang menyebabkan anda sawan tidak semestinya punca sebenar.
Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan anda mengalami sawan.
Jadi, anda digalakkan menyimpan jurnal sawan. Butiran yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut:
- Hari dan waktu.
- Aktiviti yang anda sedang lakukan.
- Apa yang sedang berlaku di sekeliling.
- Jika ada terdapat bau, bunyi atau perkara yang luar biasa.
- Segala faktor yang menyebabkan anda stres (jika stres).
- Apa yang anda sedang makan atau bila kali terakhir anda makan.
- Tahap kelesuan dan adakah anda tidur secukupnya.
Mungkin ada yang malas atau sukar untuk kekal konsisten merekod aktiviti harian.
Walau bagaimanapun ia boleh membantu anda mengawal simptom sawan terutamanya jika anda mengambil ubat anti sawan.
Ia akan memberi klu kepada doktor yang merawat sama ada ubat yang diambil berkesan atau tidak mengawal simptom anda.
Kawal penyakit epilepsi, tingkatkan kualiti hidup anda sekarang
Penyakit sawan boleh dikawal dengan bantuan doktor.
Jenis rawatan yang akan dipreskripsikan bergantung kepada tahap keterukan simptom, masalah kesihatan lain (jika ada) dan tindak balas anda terhadap terapi rawatan (berkesan atau tidak).
Antara rawatan yang boleh diberikan kepada pesakit adalah seperti berikut:
- Ubat anti epileptik. Ubat ini direka khas bagi membantu pesakit mengawal simptom penyakit sawan. Terdapat segelintir pengambil ubat yang bebas sawan sepanjang tempoh selepas mereka mengambilnya. Bagi memastikan ubat ini berkesan, ia perlu diambil mengikut arahan doktor
- Perangsang saraf vagus. Rawatan ini melibatkan pembedahan minor bagi menempatkan peranti khas untuk merangsang saraf vagus di bawah lapisan kulit dada. Penggunaannya mampu mengawal episod sawan dan meningkatkan kualiti hidup pesakit
- Amalan pemakanan ketogenik. Tahukah anda, diet tinggi lemak boleh mengawal simptom sawan. Namun, menurut kajian, individu yang tidak menunjukkan tindak balas positif apabila diberi ubat, mereka boleh menikmati kehidupan bebas sawan dengan diet tinggi lemak dan rendah karbohidrat ini. Cuma, anda kena pastikan lemak yang diambil itu adalah lemak baik seperti ikan salmon, avokado dan sebagainya
- Pembedahan otak. Sekiranya tiada kaedah berkesan dalam mengawal simptom sawan, dapatkan rujukan daripada pakar untuk penilaian pembedahan. Bergantung kepada jenis epilepsi dan kawasan otak yang terjejas, pesakit boleh jadi sesuai atau tidak menjalani pembedahan tersebut
Banyak kajian berkaitan dengan rawatan penyakit epilepsi sedang dibuat oleh ahli akademik di seluruh dunia.
Tidak mustahil suatu hari nanti, kaedah implan cip di dalam otak bagi mengawal tembakan neuron boleh dijalankan untuk mengurangkan simptom sawan.
Konklusi
Epilepsi atau penyakit sawan adalah masalah kesihatan yang lazim dialami oleh pesakit di seluruh dunia.
Walaupun kedengaran tidak berbahaya, ia boleh mempengaruhi kualiti hidup individu terlibat.
Jika anda mengalami masalah sawan, jangan terus buat rumusan anda ada masalah epilepsi.
Bukan semua yang mempunyai sawan turut didiagnosis dengan masalah tersebut.
Sebaliknya, sila berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan dan tindakan selanjutnya.
[embed-health-tool-bmi]