backup og meta

Selalu Alami Deja Vu? Jaga-Jaga, Ini Mungkin Tanda Demensia Atau Sawan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 08/09/2022

    Selalu Alami Deja Vu? Jaga-Jaga, Ini Mungkin Tanda Demensia Atau Sawan!

    Anda baru sahaja bangun tidur. Setelah mengeliat, anda bangun sambil mencuri pandang ke luar tingkap. Ketika mengorak langkah ke tandas, tiba-tiba anda diserang rasa pelik. Eh, kenapa macam pernah alami semua ini ya? Adakah ini deja vu?

    Maksud deja vu dalam bahasa Perancis ialah‘telah dilihat’ yang bertepatan sekali dengan sensasi yang semua orang rasa ketika mengalami deja vu.

    Rasa seram, takut dan kagum kadang-kadang bergabung menjadi satu.

    Malah, lebih menarik lagi, ada juga orang yang mengalami deja vu ketika melakukan sesuatu aktiviti buat pertama kali! Pelik bukan!

    Konsep deja vu ini telah digunakan berkali-kali di dalam filem fantasi atau sci-fi, dan selalunya dikaitkan dengan filem The Matrix.

    Anda pernah menonton The Matrix? Jika belum, pastikan anda masukkan filem ini ke dalam bucket list anda. Filem yang dibintangi Keanu Reeves ini berkisar mengenai manusia yang hidup dalam dunia simulasi.

    Reeves hanya akan mengalami deja vu jika dunia simulasinya sedang mengalami glitch. Di dunia nyata pula, deja vu mungkin tidak mempunyai apa-apa maksud.

    Namun, fenomena ini merupakan sesuatu yang kompleks dan tidak dapat dijelaskan oleh sains. Untuk pengetahuan anda, hampir 70% individu yang sihat mengalami deja vu.

    Walau bagaimanapun, tahukah anda deja vu juga merupakan satu tanda masalah kesihatan? Jika anda mengalami deja vu terlalu kerap, anda mungkin perlu berjumpa doktor untuk sesi konsultasi!

    Rasa letih boleh cetuskan deja vu

    penyakit demensia

    Setiap individu yang sihat tubuh badan boleh mengalami deja vu. Namun, bukan semua yang mengalami deja vu mempunyai masalah kesihatan.

    Namun, sensasi ini didapati lebih lazim berlaku kepada individu yang suka mengembara.

    Mereka yang melanjutkan pelajaran ke universiti dan menyambung pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi seperti sarjana atau PHD juga didapati lebih kerap mengalami deja vu!

    Kajian juga mendapati deja vu akan berlaku dengan kerap apabila seseorang itu melangkah ke fasa kedewasaan. Namun, fenomena ini akan semakin berkurang seiring dengan bertambahnya umur seseorang.

    Apakah persamaan yang ada dalam kalangan individu yang mengembara, sedang belajar dan juga sedang meninggalkan zaman remaja? Jawapannya ialah stres!

    Individu yang sedang tertekan didapati mengalami lebih banyak episod deja vu berbanding orang biasa. Oleh sebab itu, keletihan mungkin mempunyai kaitan dengan deja vu yang anda alami!

    Deja vu tanda anda menghidap penyakit demensia? 

    penyakit demensia

    Deja vu boleh menjadi salah satu simptom penyakit yang lebih serius. Namun, perkara ini amat jarang berlaku.

    Deja vu selalunya merupakan salah satu tanda sawan, terutama sekali sawan epileptik. Hampir 60% individu yang pernah diserang sawan akan mengalami focal seizure yang memberi kesan kepada satu bahagian otak yang spesifik.

    Bahagian otak yang terkesan ini mungkin terletak di tempat penyimpanan memori seseorang iaitu di lobus temporal. Sebab itulah pesakit sawan lebih terdedah kepada fenomena deja vu!

    Mereka yang diserang sawan akan mengalami sensasi deja vu yang kerap dan kuat. Selain itu, pesakit juga akan mengalami masalah:

    1. Kawalan motor yang terhad dan membuatkan pesakit tidak mampu mengawal pergerakan otot.
    2. Deria seperti rasa, sentuh, bau, pendengaran dan penglihatan akan jadi bercelaru. Pesakit mungkin akan nampak dan dengar sesuatu yang tidak betul.
    3. Rasa gembira, sedih atau takut secara tiba-tiba.
    4. Pergerakan yang pelik dan tidak dapat dijelaskan seperti mulut bergerak dengan sendirinya.
    5. Sensasi yang luar biasa yang menjadi tanda sawan akan berlaku. Sensasi ini turut dikenali sebagai aura.

    Selain sawan, deja vu turut didapati berlaku kepada pesakit yang menghidap penyakit demensia.

    Individu yang menghidap penyakit demensia selalunya akan mengalami deja vu yang terlalu kerap hinggakan mereka tidak dapat membezakan realiti dan juga ilusi.

    Deja vu mungkin akan jadi masalah jika:

    1. Ia berlaku dengan kerap seperti beberapa kali sebulan.
    2. Deja vu berlaku bersama mimpi atau gangguan visual yang abnormal.
    3. Pengsan atau rasa berdebar/takut selepas mengalami deja vu.

    Jika anda mempunyai sebarang masalah mengenai deja vu yang dialami, pastikan anda berjumpa dengan ahli neurologi secepat mungkin. Doktor mungkin akan mengambil sampel darah dan melakukan EEG kepada anda.

    Kesimpulan

    penyakit demensia

    Ramai orang yang mengalami fenomena deja vu akan ditinggalkan dengan satu perasaan kagum dan seram sejuk. Walau bagaimanapun, perasaan ini selalunya akan hilang begitu sahaja.

    Fenomena deja vu, walaupun agak pelik, sebenarnya amat lazim berlaku dan bukannya sesuatu yang mempunyai maksud paranormal.

    Namun, jika anda kerap mengalami deja vu, itu mungkin petanda masalah kesihatan yang lebih teruk.

    Tetapi, bukan semuanya berkait dengan penyakit seperti sawan atau demensia. Kadangkala, anda cuma perlu tarik nafas, bawa bertenang dan cuba tidur sebentar untuk hilangkan rasa penat. Mungkin anda cuma stres atau tertekan!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 08/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan