backup og meta

Masih Resah Walaupun Guna Teknik Bernafas Yang Betul?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 17/11/2019

    Masih Resah Walaupun Guna Teknik Bernafas Yang Betul?

    Jika anda berasa resah, apakah yang anda akan lakukan? Mandi? Bersenam? Tidur? Melakukan teknik pernafasan dalam? Menurut pakar terapi, teknik nafas dalam, walaupun berkesan, tidak membantu individu resah itu sendiri. Teruskan membaca untuk mengetahui selanjutnya. 

    “Tarik nafas dalam-dalam.” Tak berkesan pun.

    Air peluh membasahi dahi Ahmad. Dia sedang menunggu giliran untuk mengambil ujian memandu namun pengalamannya di masa lampau membuatkan jantungnya berdegup laju. Ahmad telah gagal beberapa kali sebelum ini berikutan tahap keresahannya yang tinggi ketika memandu di atas jalan raya. Ini merupakan cubaan kali ketiga buat dirinya namun perasaan tersebut masih ada.. Tatkala, pegawai ujian pemanduan tersebut menghampiri Ahmad, dia menjadi semakin tidak keruan. “Bertenang, tarik nafas dalam-dalam. Nanti okaylah.” ujar pegawai tersebut. 

    Jika dilihat pada situasi Ahmad, ramai yang sering mengungkapkan perkara yang sama apabila ternampak seseorang yang resah. Kadangkala, ia merupakan refleks mulut namun nasihat tersebut tidak selalunya berguna. Keresahan individu yang seringkali menjadi stigma perlu diuruskan dengan baik. Senaman pernafasan dalam merupakan salah satu teknik yang berkesan namun ia bukanlah satu-satunya teknik yang berkesan buat setiap individu. Menurut pakar terapi Melissa Fisher Goldman, tindakan menyuruh mereka yang resah untuk menarik nafas dalam-dalam adalah seperti merendahkan tahap kesusahan yang dialami oleh mereka. Ingat keresahan boleh diatasi dengan hanya mengawal pernafasan? Mudah lah kalau begitu.

    Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna cara tersebut tidak berkesan. Jika dibuat dengan teknik yang betul, keresahan tersebut boleh hilang buat sementara waktu. Namun, itulah yang menjadi permasalahan. Keresahan tersebut selalunya hilang buat sementara waktu sahaja. Menurut Goldman lagi, walaupun teknik pernafasan dalam berkesan, tindakan menahan keresahan tersebut boleh menyebabkan individu mengalami impuls yang berganda kelak. Pemprosesan perasaan individu yang sedang resah adalah amat penting bagi mengelakkan keresahan tersebut timbul di masa akan datang. 

    Teknik yang betul

    Teknik pernafasan dalaman perlu dilakukan dengan betul untuk memberikan kesan fisiologikal baik yang maksimum. Bagi mereka yang tidak terlatih, teknik tersebut kelihatan seperti jalan penyelesaian mudah yang dapat membantu mana-mana individu yang resah tanpa memikirkan kesannya. Bayangkan jika anda menyuruh mereka yang sedang menghadapi keresahan untuk bernafas dalam-dalam, dan ia tidak berkesan. Perkara ini boleh membuatkan perasaan resah itu menjadi lebih teruk. Individu tersebut akan menjadi lebih negatif berkenaan dengan simptom yang dialami oleh mereka. 

    Hakikatnya, terdapat pelbagai jenis teknik pernafasan yang dapat membantu meredakan perasaan resah. Ada individu yang lebih suka untuk mengira durasi pernafasan seperti tarik nafas untuk tiga saat, tahan untuk satu saat dan hembus untuk 5 saat. Ada individu yang cenderung untuk mengamalkan pernafasan melalui hidung dan menghembus melalui mulut. Tanpa pengetahuan dan teknik yang betul, sukar buat individu untuk mengawal tahap keresahan individu lain. Ini akan memberikan ilusi bahawa teknik pernafasan yang cuba dipraktikkan itu tidak berkesan dalam mengawal keresahan walhal ia disebabkan oleh teknik yang salah atau tidak sesuai.

    Anda turut berasa resah

    Agak sukar bagi mereka yang resah untuk bertenang sekiranya individu yang cuba menenangkannya kelihatan resah. Jika anda seorang yang tahu akan teknik pernafasan bagi menghilangkan keresahan, sebelum menenangkan seseorang, anda sepatutnya boleh melakukannya terlebih dahulu. Tiada gunanya jika anda sendiri bergelut dengan keresahan ketika hendak melakukan teknik pernafasan tersebut. Ia akan membuatkan keresahan individu lain menjadi bertambah teruk. 

    Selain daripada memberikan tumpuan kepada teknik pernafasan, melakukannya bersama dengan individu yang resah dapat membantu mereka kembali normal dalam masa yang singkat. Berikan sokongan emosi kepada mereka tanpa memberitahu apa yang mereka perlu buat ketika menghadapi keresahan. 

    Konklusi

    Jika anda tidak mempunyai pengetahuan berkenaan dengan teknik meredakan keresahan, tidak mengapa. Sokongan moral dan kata-kata positif juga boleh memberikan impak positif kepada tahap keresahan mereka. Jika teknik yang cuba dipraktikkan gagal untuk meredakan keresahan seseorang, jangan anda pula yang panik. Bertenang dan ingatlah, kadangkala, teknik ini kurang berkesan untuk sesetengah individu. Penyelesaiannya? Dengarkanlah keluhan mereka. Ia sedikit sebanyak boleh membantu.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 17/11/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan