backup og meta

Trend Hangat Dunia Kecantikan, Tidur Beralas Sutera Untuk Kulit & Rambut Sihat, Betul Ke?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 29/09/2021

    Trend Hangat Dunia Kecantikan, Tidur Beralas Sutera Untuk Kulit & Rambut Sihat, Betul Ke?

    Kalau nak cantik, mendapatkan beauty sleep menjadi 1 kewajipan! Tubuh memerlukan tidur yang secukupnya untuk menggantikan sel pada waktu malam. Walaupun sudah banyak produk penjagaan kulit dan rambut di pasaran, namun terdapat 1 lagi keluaran yang telah menggegarkan dunia kecantikan; sarung bantal kain sutera!

    Buat mereka yang masih asing dengan idea ini, sarung bantal yang diperbuat sepenuhnya daripada kain sutera ini dikatakan dapat bantu mencegah kedutan kulit, jerawat dan rambut bercabang.

    Dalam erti kata yang mudah, tidur beralaskan sarung bantal ini bermanfaat buat kesihatan kulit dan rambut secara menyeluruh!

    Tapi sejauh mana kebenarannya? Berikut ada perkongsian daripada pakar dermatologi mengenai faedah sarung bantal sutera, jom baca!

    Sarung bantal sutera, betul ke bagus?

    Tidak ada bukti saintifik yang kukuh menyatakan sarung bantal kain sutera dapat mencegah jerawat atau kedutan, menurut Dr. Elizabeth Tanzi, Pengasas & Pengarah Capital Laser & Skin Care dan Profesor Klinikal Bersekutu, Jabatan Dermatologi di Pusat Perubatan Universiti George Washington.

    Tetapi itu tidak bermakna anda harus menolak potensi manfaat sarung bantal sutera sepenuhnya.

    Sutera boleh menjadi pilihan yang baik untuk seseorang yang mempunyai kulit sensitif, jelas Dr. Tanzi.

    Menurut Laura Dyer pula, Pembantu Doktor yang Diperakui di Dr. Amy Wechsler Dermatology di New York City, sarung bantal kapas sebenarnya berupaya menyerap kelembapan daripada rambut dan wajah, yang berpotensi mengeringkan dan merengsakan kulit.

    Kelembapan yang diserap ke bantal juga berisiko memicu alergen dan bakteria, menyebabkan kerosakan dan reaksi alergi pada rambut dan kulit anda.

    Maka, tidur beralaskan permukaan kain sutera bagus untuk mengurangkan kelembapan yang akan diserap daripada kulit dan rambut..

    Tambahan itu, permukaan sutera juga mengurangkan geseran antara kulit dan rambut terhadap bantal, lantas mengurangkan kerosakan pada rambut dan kerengsaan atau reaksi terhadap kulit semasa tidur.

    Katanya, bantal sutera boleh cegah jerawat?

    punca jerawat

    Mungkin… Perkara pertama yang perlu kalian fahami, sebarang produk yang anda letakkan di rambut pada siang hari, kemungkinan akan berakhir diserap oleh bantal, jelas Dryer.

    Tambah beliau lagi, apa sahaja yang diserap oleh bantal akan terpalit ke wajah anda. Logik bukan?

    Produk rambut di pasaran boleh mengandungi ramuan keras yang diperbuat daripada minyak atau silikon, dan kesemuanya boleh menyebabkan keradangan atau bahkan jerawat!

    Sekiranya kelembapan itu masuk ke sarung bantal dan anda tidur pada sisi wajah, keradangan dan jerawat mungkin berlaku.

    Secara dasarnya, apa sahaja yang melekat di bantal anda berpotensi untuk naik ke wajah, terutamanya jika anda sejenis yang gemar tidur mengiring tanpa mengira jenis sarung bantal digunakan.

    Pun begitu, kain sarung bantal sutera mungkin masih bermanfaat untuk keadaan atau individu tertentu!

    Bagaimana pula dengan kedutan kulit?

    Melawan kedutan menjadi dakwaan utama yang digahkan mengenai sarung bantal kain sutera.

    Malangnya, tidak ada bukti konkrit yang mengatakan ia berkesan dalam mencegah kedutan.

    Menurut Dr. Tanzi, sebenarnya corak tidur anda berperanan jauh lebih penting berbanding bahan yang anda jadikan sebagai alas kepala apabila berbicara mengenai kedutan.

    Konsepnya ringkas sahaja, sekiranya anda gemar tidur di sebelah kiri, anda akan mempunyai lebih banyak kedutan di sebelah kiri wajah.

    Ditambah dengan faktor penuaan dan kerosakan akibat selaran matahari, kulit tidak mempunyai sifat elastik yang sama.

    Jadi apabila anda tidur dengan 1 posisi mengiring untuk jangka masa panjang, lama-kelamaan kulit akan mulai berkedut dan kesannya menjadi kekal.

    Sarung bantal sutera boleh elak rambut bercabang?

    Jawapan pendek adalah, ya!

    Disebabkan tekstur sutera yang sangat halus, rambut dapat bergerak di atasnya tanpa geseran, lantas mengurangkan risiko rambut kusut atau bercabang saat bangun tidur!

    Tidur di atas permukaan sutera telah menjadi rahsia para wanita dengan rambut bertekstur dan keriting selama bertahun-tahun untuk mengekalkan gaya rambut asli mereka.

    rambut

    Jadi, benarkah sarung bantal sutera boleh membuatkan rambut sihat?

    Dalam beberapa cara, mungkin kerana ia membantu rambut kekal hidrat, dan pakar menyatakan sutera dapat membantu masalah rambut rapuh.

    Fabrik kapas lebih berpori berbanding sutera, sarung bantal yang biasa berupaya menyerap kelembapan daripada rambut anda, berbeza dengan kain sutera.

    Patutkah anda dapatkan sarung bantal ini?

    Anggap saja sarung bantal sutera sebagai makanan tambahan kepada penjagaan kulit dan rambut, bukan penyelesaian terbaik tetapi ia mampu membekalkan beberapa kebaikan.

    Sarung bantal sutera boleh menjadi lebih menyelesakan dan ‘mesra’ rambut. Untuk kulit pula, kain sutera pastinya dapat membantu dengan penghidratan!

    Jika anda benar-benar idamkan kulit sihat dan bebas cela, ikuti rutin penjagaan kulit yang diluluskan oleh ahli dermatologi ya!

    Pastikan juga untuk menanggalkan semua kesan solekan sebelum tidur, gunakan produk yang selamat dan tidak bersifat merengsakan, okey!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 29/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan