backup og meta

Elak Disambar Kilat Petir, Ketahui Fakta & Mitos Mengenainya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 03/01/2022

    Elak Disambar Kilat Petir, Ketahui Fakta & Mitos Mengenainya!

    Anda sedang berada di taman dan tiba-tiba terdengar bunyi guruh. Kemudian anda terlihat kilat petir, apa yang perlu anda lakukan? Teruskan berjalan di taman atau terus naik kereta dan memandu pulang?

    Teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk mengetahui jawapannya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan, sila dapatkannya di sini.

    Bahaya kilat petir 

    Mungkin peratusan risiko untuk disambar petir adalah kecil tetapi terdapat beberapa faktor yang membuatkan anda lebih berisiko.

    Umumnya, kilat paling kerap menyambar individu yang bekerja di luar atau terlibat dengan aktiviti rekreasi luar.

    Kesan daripada serangan kilat adalah serius. Malahan kilat menjadi salah satu penyebab utama kematian berkaitan cuaca.

    Perlindungan daripada bunyi guruh & kilat 

    Satu perkongsian di laman Facebook rasmi Public Health Malaysia menyarankan individu awam untuk melakukan kiraan 30 saat untuk mengetahui sama ada petir tersebut berdekatan atau tidak.

    Sekiranya bunyi guruh kedengaran sebelum kiraan berakhir, anda disarankan mencari perlindungan dalam bangunan.

    Anda juga dinasihatkan menangguhkan seketika aktiviti yang dilakukan terutamanya seperti mandi, membasuh baju atau pinggan mahupun tangan ketika ribut petir.

    kilat petir
    Sumber: Public Health Malaysia

    Di samping itu, berikut antara langkah berjaga-jaga lain yang perlu anda ambil apabila terlihat kilat dan petir.

    Langkah keselamatan di luar rumah

    Anda boleh melindungi diri daripada risiko dipanah petir ketika berada di luar dengan melakukan perkara seperti:

    • Jika ramalan cuaca menyatakan kemungkinan ribut petir akan berlaku, tunda perjalanan atau aktiviti anda
    • Apabila bunyi guruh kedengaran, cari tempat perlindungan selamat dan tertutup seperti rumah, bangunan atau kenderaan
    • Jika berada di kawasan lapang, jauhi tempat berbahaya. Bercangkung atau merendahkan badan ke tanah boleh mengurangkan kemungkinan disambar kilat petir tetapi masih ada bahayanya. Tindakan berikut boleh mengurangkan risiko anda jika berada di luar tanpa tempat perlindungan selamat:
      • Segera turun dari kawasan bertingkat seperti bukit, rabung gunung atau puncak
      • Jangan berbaring di tanah. Duduk bercangkung, selitkan kepala antara kedua lutut serta tangan menutup telinga – untuk meminimumkan sentuhan dengan tanah
      • Jangan berlindung di bawah pokok terasing
      • Jangan menggunakan tebing atau batu tergantung (rocky overhang) sebagai tempat berteduh
      • Segera keluar dan menjauhkan diri daripada kolam, tasik dan punca air lain
      • Jauhi objek yang mengalirkan elektrik seperti pagar dawai, talian kuasa atau kincir angin

    kilat petir

    Perlindungan daripada kilat petir: Tip keselamatan di dalam rumah

    Berada di dalam rumah atau bangunan tidak secara automatik melindungi anda daripada kilat. Bahkan dianggarkan ⅓ daripada kecederaan daripada disambar kilat berlaku di dalam rumah. 

    Berikut beberapa petua untuk menjaga keselamatan dan mengurangkan risiko disambar petir semasa berada di dalam rumah:

    • Elakkan daripada bersentuhan dengan air paip semasa ribut petir kerana kilat boleh bergerak melalui paip
    • Hindari penggunaan semua peralatan elektronik. Kilat boleh bergerak melalui sistem elektrik dan sistem penerimaan radio dan televisyen.
    • Jangan menggunakan telefon berkabel. Sebaliknya, penggunaan telefon selular atau tanpa wayar lebih selamat digunakan semasa ribut
    • Jauhkan diri daripada lantai atau dinding konkrit. Jangan berbaring di atas lantai konkrit semasa ribut petir. Kilat boleh bergerak melalui wayar atau palang logam di dinding atau lantai konkrit

    Serangan kilat mungkin jarang berlaku, tetapi masih boleh terjadi dan wujud risiko kecederaan serius atau kematian. Jadi, sentiasalah berwaspada! 

    Baca juga:

    5 mitos tentang kilat petir yang perlu dibongkar

    Berikut Hello Doktor kongsikan beberapa salah faham mengenai kilat.

    Mitos #1 – Kilat tidak menyambar 2x di tempat sama

    Fakta: Kilat boleh menyambar tempat yang sama berulang kali, terutamanya jika ia merupakan bangunan tinggi, runcing dan terpencil.

    Mitos #2 – Kilat petir hanya menyambar objek paling tinggi

    Fakta: Kilat menyambar apa sahaja termasuklah diri anda! Petir boleh menyambar tanah dan bukannya pokok atau tempat letak kereta dan bukannya bangunan.

    Mitos #3 – Terperangkap dalam ribut petir & bunyi guruh, berteduh di bawah pokok pilihan terbaik daripada tidak berteduh langsung 

    Fakta: Berlindung di bawah pokok adalah perkara paling berisiko anda lakukan. Ini kerana jika pokok disambar petir, caj elektriknya boleh menyebar ke semua arah.

    Berada di bawah pokok adalah penyebab kedua kematian akibat kilat.

    kilat petir

    Mitos #4 – Jika menyentuh mangsa kilat, anda akan terkena renjatan elektrik

    Fakta: Tubuh manusia tidak menyimpan elektrik, maka selamat untuk memegang mangsa bagi memberikan pertolongan cemas.

    Mitos #5 – Rumah tempat perlindungan daripada kilat & bunyi guruh

    Fakta: Walaupun rumah adalah tempat paling selamat untuk berlindung semasa ribut, tetapi berada di dalamnya sahaja tidak mencukupi.

    Anda perlu mengelakkan barangan elektrik, wayar, kabel televisyen, paip, pintu logam atau bingkai tingkap logam.

    Elakkan diri daripada berdiri di tepi tingkap untuk melihat kilat petir juga perlu dilakukan. 

    Secara amnya, berada di dalam bilik adalah selamat, tetapi sebuah rumah yang dilengkapi sistem perlindungan kilat yang dipasang secara profesional adalah tempat perlindungan paling selamat!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 03/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan