Realitinya, tidak semua orang ambil berat tentang kepentingan penjagaan kesihatan diri masing-masing. Sebaliknya, mereka mungkin masih percaya bahawa itu adalah tugas doktor dan bukan individu.
Adakah persepsi kuno ini tetap relevan terutama pada zaman sekarang? Jom baca artikel dengan lebih lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan, anda juga boleh klik di sini.
Apa yang individu perlu faham tentang konsep kendiri?
Dari segi istilah, konsep kendiri membawa maksud bagaimana seseorang individu itu melihat dan menilai diri mereka sendiri. Ia juga harus dibuat tanpa mempedulikan kesan positif atau negatif.
Dalam hal yang berkaitan dengan kesihatan pula, ini bermaksud individu perlu lebih bertanggungjawab terhadap diri mereka sama ada ketika tubuh badan sedang sihat atau sakit.
Mengambil contoh ketika era pandemik dan endemik COVID-19, kita semua telah didedahkan serta disarankan untuk lebih cakna tentang kepentingan penjagaan kesihatan kendiri.
Pertama, individu dapat mempelajari ilmu asas tentang kepentingan mencuci tangan dan menjaga jarak sosial. Kedua, masyarakat kini lebih sedar jika ia kunci kepada kepentingan menjaga kesihatan.
Maka dengan itu, kepentingan penjagaan kesihatan kendiri mungkin perlu jadi teras utama pada masa hadapan.
Realiti tentang penjagaan kesihatan kendiri di Malaysia!
Pada 16 Mei 2023, telah berlangsung sebuah forum yang sangat menarik. Ia dianjurkan oleh syarikat gergasi produk kesihatan, kebersihan dan nutrisi yang berasal dari England, Reckitt.
Forum yang berfokus mengenai topik kesihatan kendiri ini telah berjaya hasil kerjasama bersama Majlis Perniagaan EU-ASEAN (EU-ABC) dan Pusat Kesihatan dan Dasar Sosial Galen.
Forum ini dibuat dengan tujuan mengetengah dan mempromosikan konsep penjagaan kesihatan kendiri di Malaysia yang dilihat masih pada unjuran kurang memberangsangkan.
“Memperkasakan individu dalam usaha mengurus kesihatan kendiri itu sangat penting. Ia boleh membantu meningkatkan kualiti dan mengurangkan beban sistem penjagaan kesihatan di negara ini,” jelas Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan), Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Sri Norazman Ayob.
Pun begitu, usaha ini bukan hanya bergantung pada individu sahaja. Menurut Dato’ Sri Norazman lagi, semua pihak tidak kira sektor awam dan swasta perlu bekerjasama dengan baik.
Peranan organisasi penting dalam penjagaan kesihatan!
Untuk memberi dan menyemai ilmu tentang kepentingan penjagaan kesihatan kendiri, ia bukan kerja mudah. Ia turut memerlukan sokongan, bantuan dan peranan organisasi yang besar.
“Sebagai organisasi yang wujud untuk melindungi, merawat dan memupuk penjagaan kesihatan, kami turut akan memainkan peranan kami. Dengan penglibatan pihak penyelidik, penggubal dasar, pembuat keputusan, pemimpin kerajaan dan NGO dalam sesi dialog, ia akan berjaya,” jelas Pengurus Besar Malaysia, Singapura & Vietnam, Brian Fischel.
Forum perbincangan tersebut telah menumpukan kepada aspek utama iaitu mewujudkan persekitaran penjagaan diri secara sendiri atau lebih tepat, kendiri.
Perbincangan ini mengutamakan perkongsian pengetahuan serta klarifikasi semula ubatan atau rawatan kepada orang ramai supaya mereka lebih berwaspada.
Ahli panel juga berkongsi bahawa pengalaman negara luar seperti United Kingdom, Australia, Thailand dan Singapura telah berjaya mendapat manfaat daripada usaha klarifikasi semula ini!
Dalam pada itu, peningkatan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan kendiri juga mampu menggalakkan perubahan tingkah laku kepada individu dan masyarakat.
Evolusi penjagaan kesihatan perlu terus maju ke depan!
Hakikatnya, sistem penjagaan kesihatan di negara kita ini berdepan dengan banyak cabaran dan halangan. Ia angkara realiti dan situasi di negara kita sendiri yang kian melarat.
Selain kurang pemahaman tentang konsep kendiri dalam kepentingan penjagaan kesihatan, isu lain termasuk:
- Kos penjagaan kesihatan yang kian meningkat
- Peningkatan kadar penyakit tidak berjangkit (NCD)
- Jurang akses kesihatan di antara penduduk bandar dan luar bandar
- Jurang kualiti kesihatan di antara penduduk kaya dan miskin
- Populasi penduduk yang makin menua
Namun, penularan virus COVID-19 mungkin telah mengajar dan memberi kita pengetahuan serta pengalaman. Kini, individu dan masyarakat sudah lebih cakna dengan isu kesihatan.
“Menurut tinjauan di saat kemuncak pandemik COVID-19 di 4 negara termasuk Malaysia, telah wujud satu gelombang evolusi yang baik. Pada ketika itu, orang ramai lebih yakin untuk mengurus dan merawat penyakit ringan mereka sendiri tanpa campur tangan daripada perawat kesihatan,” jelas Pengarah Eksekutif EU-ABC, Chris Humprey.
“Pandemik COVID-19 telah menunjukkan potensi kesan buruk peristiwa kesihatan dan alam sekitar berskala besar di seluruh negara. Namun, ia juga menunjukkan kemampuan dan keupayaan penjagaan kesihatan secara kendiri,” jelas Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kesihatan dan Dasar Sosial Galen, Azrul Mohd Khalid.
Konklusinya, kepentingan penjagaan kesihatan secara sendiri atau kendiri ini sangat penting untuk isu-isu kesihatan yang ringan. Ia termasuk kondisi seperti selesema, batuk atau demam biasa.
Pun begitu, usah malu atau takut untuk berjumpa dan berbincang dengan doktor jika ada simptom penyakit-penyakit yang berbahaya. Ingat, anda perlu bertindak sebelum melarat dan terlambat.
[embed-health-tool-bmi]