Selalunya tiada sebarang masalah tapi kenapa tiba-tiba pula kemaluan kesemutan selepas hubungan intim. Apa sebabnya ya? Adakah ia berbahaya?
Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Wanita di sini.
Rasa kemaluan kesemutan atau kebas
Adakah anda berdepan dengan rasa kesemutan, kebas atau mungkin tidak dapat merasai klimaks?
Rasa kemaluan kesemutan tidak jauh berbeza dengan kesakitan seperti “dicucuk jarum” yang dialami pada tangan atau kaki.
Sensasi kebas atau tajam ini selalunya berkaitan dengan saraf.
Terdapat individu yang merasainya semasa terangsang dan sesetengah yang lain mengalaminya selepas melakukan hubungan intim yang ‘keras’.
Keadaan ini sangat berbeza dengan ketidakupayaan anda berasa apa-apa langsung pada kemaluan.
Sekiranya anda tidak mengalami sebarang rasa sentuhan semasa melakukan aktiviti seks, ia mungkin disebabkan satu keadaan yang lebih serius serta memerlukan rawatan klinikal.
Sebarang jenis rasa kebas pada kemaluan atau vaginal numbness ini tidak semestinya normal tetapi ia bukanlah sesuatu yang terlalu luar biasa untuk dialami.
Vaginal numbness tidak berbahaya
Biasanya rasa kesemutan yang dialami untuk tempoh yang sekejap, bukanlah sesuatu perkara yang perlu dibimbangkan.
Terdapat beberapa faktor yang mungkin menjadi punca, antaranya:
- Rangsangan saraf berlebihan
Kalau rasa vaginal numbness berlaku selepas hubungan intim, sering kali ia kerap disebabkan oleh rangsangan saraf yang berlebihan pada alat kelamin atau hipersensitiviti.
Dalam kebanyakan kes, rasa kebas selepas seks ini lebih seperti kesemutan tetapi ia mungkin sedikit berbeza bagi setiap individu.
Bagi sebilangan individu, kepekaan yang dirasai boleh terjadi seperti hilang fungsi sentuhan.
Keadaan tersebut mungkin akan menimbulkan rasa kecewa apabila pasangan masih mempunyai keinginan untuk meneruskan persetubuhan tetapi anda tidak berasakan apa-apa.
Berita baiknya, keadaan kemaluan kesemutan yang dialami selepas seks ini biasanya bersifat sementara dan ia dapat diatasi apabila anda berehat.
- Aktiviti berbasikal
Melakukan aktiviti berbasikal untuk tempoh yang lama juga boleh memberikan tekanan pada saraf pudendal di perineum – iaitu saraf yang wujud antara faraj dan dubur.
Jika ia berlaku, rasa kebas atau mati rasa pada faraj akan berlaku. Tetapi jangan bimbang, biasanya anda akan mengalaminya untuk sementara waktu sahaja.
Pun begitu, jika anda ragu-ragu, lakukanlah pemeriksaan dengan doktor untuk mendapatkan kepastian.
- Alat mainan seks
Alat mainan seks jenis vibrator atau alat getaran seks juga boleh menyebabkan berlaku kekebasan. Eh, takkanlah?
Memang benar. Rangsangan dari mainan seks boleh menimbulkan rasa kesemutan sementara selepas orgasme.
Vibrator yang diletakkan pada mod getaran ‘lebih kuat’ atau ‘lebih tinggi’ boleh meninggalkan rasa kemaluan kesemutan.
Ia boleh terjadi sebelum anda mencapai klimaks. Bahkan ada kalanya, mungkin mengakibatkan rasa klimaks tidak tercapai.
Tetapi usah bimbang, keadaan ini tidak menjejaskan anda untuk tempoh yang lama. Cuma anda perlu menghentikannya dan nikmatilah hubungan intim dengan pasangan.
- Tekanan dan perubahan hormon
Perubahan hormon yang berpunca daripada menopaus juga boleh menjadi penyebab berlakunya kebas dan mengurangkan sensasi rasa pada faraj.
Keadaan ini disebabkan oleh tahap estrogen yang lebih rendah. Ia akan mengakibatkan tisu vulva dan faraj lebih tipis, kering dan kurang elastik.
Kesemutan yang dialami juga boleh disebabkan oleh tekanan, terutamanya jika dialami secara berterusan.
Umumnya, fungsi seksual sangat bergantung pada apa yang berlaku dengan atau tanpa disedari. Ia juga berkaitan dengan perkara yang melibatkan keadaan fizikal badan.
- Kesan komplikasi kelahiran
Proses bersalin normal boleh memberikan tekanan, regangan atau mencederakan saraf pada lantai pelvik.
Keadaan ni akan lebih cenderung terjadi jika bayi yang dilahirkan adalah besar.
Apabila terdapat saraf yang luka atau saluran darah yang membawa darah ke bahagian tersebut terjejas, ia boleh menurunkan tahap deria rasa.
Pastinya ia akan menjejaskan perasaan semasa seks. Sesetengah individu yang mengalaminya menyifatkan rasa itu seperti kebas atau kemaluan kesemutan.
Seperti disebabkan rangsangan saraf yang berlebihan, keadaan ini juga bersifat sementara. Apabila saraf pulih dan aliran darah bertambah baik, rasa kebas ini akan hilang.
Biasanya ia mengambil masa hingga 3 bulan. Namun untuk bahagian yang lebih besar, tempohnya mungkin lebih lama.
- Disebabkan trauma
Sekiranya anda pernah mengalami serangan seksual atau trauma lain, ia juga berkemungkinan boleh menyebabkan rasa vaginal numbness semasa hubungan intim.
Ia mungkin berikutan kecederaan fizikal yang anda alami atau reaksi psikologi terhadap apa yang berlaku.
Jika anda berada dalam situasi ini, sama ada melibatkan sejarah serangan seksual atau trauma, cara terbaik adalah untuk berbincang dengan doktor bagi mendapatkan rawatan yang bersesuaian.
Rasa kemaluan kesemutan yang berterusan untuk tempoh yang lama mungkin disebabkan oleh keadaan kesihatan tertentu.
Ia boleh jadi tanda masalah berkaitan neurologi termasuk herniated disc atau tekanan daripada tumor pada saraf dalam badan.
Jika anda berasa bimbang, lakukan pemeriksaan doktor secepat mungkin.
[embed-health-tool-ovulation]