Hiperplasia endometrium merupakan satu kondisi luar biasa yang menyebabkan lapisan uterus atau dinding rahim wanita menebal secara abnormal.
Penyakit ini amat jarang berlaku. Ia berlaku kepada 133 daripada 100,000 wanita di seluruh dunia.
Ada 4 jenis hiperplasia endometrium iaitu hiperplasia endometrium mudah, hiperplasia endometrium kompleks, hiperplasia endometrium mudah atipikal dan hiperplasia endometrium kompleks atipikal.
Semua jenis penyakit ini berbeza mengikut perubahan sel dan juga jumlah abnormaliti yang ada.
Penyakit ini bukanlah sejenis kanser. Namun, dalam sesetengah kes, ia boleh menyebabkan kanser uterus.
Apa itu hiperplasia endometrium atau lapisan uterus menebal?
Hiperplasia endometrium merupakan satu kondisi yang mempengaruhi sistem reproduktif wanita. Lapisan di dalam uterus atau rahim (endometrium) menebal disebabkan terlalu banyak sel yang tumbuh (hiperplasia).
Lapisan uterus akan berubah setiap kali wanita datang bulan disebabkan perubahan hormon. Pada tahap pertama kitaran haid, badan akan merembeskan hormon estrogen.
Hormon estrogen akan menyebabkan dinding uterus menebal sebagai persediaan untuk kehamilan.
Fasa seterusnya pula, ovum akan dilepaskan daripada ovari. Proses ini turut dikenali sebagai proses ovulasi.
Selepas ovulasi, badan akan merembeskan satu lagi hormon iaitu progesteron. Progesteron akan memastikan lapisan rahim bersedia untuk menerima ovum jika ovulasi berlaku.
Namun, jika wanita tersebut tidak hamil, tahap estrogen dan progesteron akan berkurang.
Lapisan uterus akan mulai luruh dan satu lagi kitaran akan bermula. Inilah yang menyebabkan wanita mengalami pendarahan ketika haid!
Walau bagaimanapun, wanita yang menghidap hiperplasia endometrium akan merembeskan terlalu banyak hormon estrogen tanpa progesteron. Apabila proses ovulasi tidak berlaku, lapisan rahim tidak akan luruh dan semakin menebal.
Sel ini akan berkumpul pada dinding uterus dan menjadi abnormal. Sebab itulah, kondisi ini boleh berubah menjadi kanser jika tidak dikesan awal.
Tanda-tanda hiperplasia endometrium
Salah satu simptom uterus menebal ialah pendarahan yang abnormal. Jika anda mempunyai masalah ini, berjumpalah doktor dengan kadar segera.
Antara simptom hiperplasia endometrium ialah:
- Pendarahan yang lebih berat atau lebih lama daripada biasa ketika datang bulan.
- Kitaran haid yang pendek.
- Mengalami pendarahan selepas menopaus.
Selalunya berlaku selepas menopaus
Hiperplasia endometrium selalunya akan berlaku kepada wanita yang sudah menopaus. Pada waktu ini, ovulasi tidak lagi berlaku dan badan tidak menghasilkan hormon progesteron.
Wanita yang sedang mengalami pramenopaus juga berhadapan risiko yang hampir sama.
Selain itu, ada juga kondisi lain yang boleh meningkatkan risiko hiperplasia endometrium dalam kalangan wanita.
Antaranya:
- Wanita yang mengambil ubat yang berfungsi seperti estrogen seperti tamoxifen untuk rawatan kanser.
- Menggunakan estrogen untuk terapi hormon, tetapi tidak menggunakan progesteron atau progestin jika mempunyai rahim.
- Mempunyai kitaran haid yang tidak teratur, terutamanya wanita yang menghidap PCOS atau mempunyai masalah kesuburan.
- Mempunyai berat badan berlebihan atau obes.
- Penggunaan tembakau.
- Tidak pernah hamil.
- Mengalami menopaus awal.
- Datang haid pada usia yang muda.
Hiperplasia endometrium tidak boleh dielakkan. Namun, ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk menurunkan riskonya:
- Menurunkan berat badan jika obes.
- Mengambil ubat yang mengandungi progestin (progesteron sintetik) jika anda mengambil estrogen.
- Mengambil pil perancang atau ubat lain untuk meregulasi hormon.
- Berhenti merokok.
Komplikasi yang mungkin berlaku
Semua jenis hiperplasia boleh menyebabkan pendarahan yang mengakibatkan anemia. Anemia akan berlaku apabila badan tidak mempunyai sel darah merah yang mencukupi.
Jika kondisi ini tidak dirawat, ia boleh menjadi kanser.
Mengikut statistik, kanser endometrial atau kanser uterus berlaku sebanyak 8% wanita yang mengalami hiperplasia endometrium mudah atipikal.
Malah, 30% wanita yang menghidap hiperplasia endometrium kompleks atipikal akan menghidap kanser.
Bolehkah masalah lapisan uterus tebal dirawat?
Dalam kebanyakan kes, hiperplasia endometrium boleh dirawat. Namun, jika penyakit ini serius, doktor mungkin akan mengatur janji temu yang lebih kerap untuk tujuan pemantauan.
Jika anda mempunyai peningkatan risiko kanser disebabkan hiperplasia endometrium, doktor mungkin akan mencadangkan prosedur histerektomi untuk membuang rahim.
Selepas prosedur ini, wanita tidak lagi boleh mengandung.
Namun, kebanyakan pesakit yang mengalami simptom yang teruk dapat menjalani hidup yang lebih berkualiti selepas pembedahan.
Pastikan anda mendapatkan pemeriksaan lanjut sekiranya:
- Berlakunya pendarahan yang abnormal.
- Pendarahan vagina selepas menopaus.
- Senggugut yang teruk.
- Masalah ketika membuang air kecil.
- Sakit ketika melakukan hubungan seks.
- Keputihan yang abnormal.
- Kitaran haid yang tidak teratur.
Kesimpulan
Hiperplasia endometrium merupakan satu kondisi yang akan menyebabkan dinding uterus menebal secara abnormal.
Simptomnya juga sangat teruk dan boleh mendatangkan ketidakselesaan kepada penghidapnya.
Selain itu, wanita yang mempunyai masalah lapisan uterus menebal ini juga berhadapan dengan risiko kanser rahim yang lebih tinggi.
Mereka juga mengalami simptom yang lebih teruk ketika datang haid, di samping risiko untuk menghidap anemia.
Salah satu rawatan yang boleh pesakit lakukan adalah melakukan prosedur histerektomi untuk membuang rahim.
Jika anda mengalami sebarang simptom seperti yang digariskan di atas, berjumpalah doktor untuk pemeriksaan lanjut.
[embed-health-tool-ovulation]