backup og meta

Ada Janji Temu Dengan Doktor Pakar Sakit Puan? Ini 10 Soalan Yang Boleh Anda Tanya!

Ada Janji Temu Dengan Doktor Pakar Sakit Puan? Ini 10 Soalan Yang Boleh Anda Tanya!

Janji temu bersama doktor pakar sakit puan kini merupakan sesuatu yang lazim. Wanita sudah mula berjumpa dengan dr pakar sakit puan untuk pelbagai perkara, bukan disebabkan kehamilan semata-mata.

Dalam artikel kali ini, kami akan senaraikan 10 soalan yang boleh ditanya sekiranya anda berkunjung ke klinik pakar sakit puan kerajaan mahupun swasta.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

10 soalan anda perlu tanya pada doktor pakar sakit puan

Sebelum anda pergi ke klinik pakar sakit puan kerajaan ataupun swasta, pastikan anda bersedia dengan soalan yang perlu ditanya.

Jika boleh, catat dahulu semua soalan anda dalam buku atau telefon bimbit sebelum menghadiri janji temu.

Antara soalan yang boleh anda tanyakan pada doktor sakit puan ialah:

1. Adakah haid saya normal?

Kitaran haid semua wanita berbeza-beza, termasuklah masa haid dan juga jumlah pendarahan yang dialami.

Sekiranya anda mempunyai masalah period, jangan malu untuk bertanya pada doktor.

Kitaran haid seorang wanita berbeza mengikut kadar hormon, tahap aktiviti, diet dan juga gaya hidup seseorang.

Kitaran haid yang teratur sangat penting untuk wanita, terutamanya bagi mereka yang menginginkan cahaya mata.

2. Bolehkah saya berjumpa doktor pakar sakit puan sekiranya sedang haid?

doktor pakar sakit puan
Simptom senggugut yang teruk.

Jawapannya ya! Jangan malu, doktor sakit puan sudah biasa berhadapan dengan masalah seperti ini. Anda tidak perlu tunggu atau tunda janji temu.

Anda juga tidak perlu bercukur sekiranya ingin berjumpa dr pakar sakit puan.

Namun, jika anda rasa tidak selesa, tidak salah sekiranya anda potong sedikit bulu kemaluan, asalkan ia tidak menimbulkan sebarang ketidakselesaan.

3. Saya malu dengan doktor pakar sakit puan, faraj saya berbau!

Semua wanita mempunyai bau faraj yang tersendiri.

Pada permukaan faraj, ada jutaan bakteria baik yang bertindak sebagai barisan perlindungan utama. Bakteria ini menghasilkan asid laktik yang membuatkan Miss V kita berbau sedikit masam.

Ada banyak faktor yang mempengaruhi bau faraj seperti:

  • Diet
  • Cuaca
  • Kitaran haid
  • Tahap kecergasan
  • Jenis seluar dalam yang dipakai

Pendek kata, bau faraj adalah sesuatu yang normal. Anda tidak perlu malu apabila berhadapan dengan doktor sakit puan hanya disebabkan bau vagina.

4. Jika faraj saya berbau abnormal, adakah ia tanda penyakit?

Cecair vagina yang normal sepatutnya berwarna putih atau jernih. Ia tidak sepatutnya berbau pelik. Kelikatannya pula mungkin berubah-ubah mengikut kitaran haid anda.

Walau bagaimanapun, sekiranya faraj berbau pelik, mungkin sudah tiba masanya agar anda bertanyakan soalan tersebut pada doktor pakar sakit puan anda.

3 daripada 4 wanita akan mengalami jangkitan yis sekali seumur hidup. Namun, jangkitan ini boleh dirawat dengan mudah dengan ubat-ubatan di farmasi.

Walau bagaimanapun, sekiranya keputihan anda menyerupai susu basi; berketul dan berbau pelik, anda perlu berjumpa doktor secepat mungkin.

Ketahui tanda keputihan abnormal di sini.

5. Perlukah saya beritahu doktor pakar sakit puan tentang keputihan?

doktor pakar sakit puan
Masalah keputihan wanita yang tidak normal.

Keputihan merupakan sesuatu yang normal. Namun, warna dan kelikatannya mungkin berubah mengikut kitaran haid.

Wanita yang hamil juga selalunya akan mempunyai keputihan yang lebih berat daripada biasa.

Sekiranya anda mengalami masalah lain seperti rasa gatal di kawasan kemaluan, pedih atau sakit, pastikan anda beritahu doktor dan dapatkan pemeriksaan lanjut.

6. Mengapa saya tidak mahu melakukan seks?

Ada banyak faktor yang menyebabkan wanita tidak mempunyai mood untuk melakukan seks. Kerja, kekangan masa dan terlalu sibuk menguruskan keluarga mungkin adalah puncanya.

Walau bagaimanapun, sekiranya masalah ini mengganggu kehidupan anda, doktor pakar sakit puan mungkin dapat membantu anda untuk memahami mengapa ia berlaku dan menyalakan kembali api kemesraan yang hilang.

7. Saya ingin hamil, apa yang perlu saya lakukan?

Bincang dengan doktor mengenai rancangan anda. Dapatkan rekomendasi doktor mengenai vitamin yang perlu anda ambil sebelum hamil.

Wanita digalakkan mengambil vitamin pranatal 3-6 bulan sebelum hamil.

Dengan cara ini, kaum Hawa dapat memastikan asid folik dalam badan mencukupi untuk menanggung kehamilan.

8. Saya tidak pasti apakah jenis kontraseptif yang boleh digunakan?

doktor pakar sakit puan
Kaedah kontraseptif untuk merancang keluarga.

Anda tidak bersedia untuk hamil? Sekiranya anda tidak pasti tentang kaedah kontraseptif yang boleh digunakan, doktor pakar boleh mencadangkan kaedah yang terbaik untuk anda.

Ada banyak kaedah kontraseptif yang tersedia. Antara yang paling lazim ialah penggunaan kondom, pil perancang dan IUD.

Dapatkan info lengkap kontraseptif di sini.

9. Adakah saya perlu mengambil suntikan HPV?

HPV (human papillomavirus) menjangkiti hampir 14 juta manusia di seluruh dunia. Pada waktu ini, dianggarkan 1 daripada 4 orang mempunyai virus HPV.

HPV boleh menyebabkan kanser serviks, vagina dan vulva dalam kalangan wanita. Dapatkan konsultasi doktor pakar sekiranya anda ingin mengambil suntikan HPV.

10. Saya telah berkahwin. Perlukah saya mengambil ujian STI?

Pesakit yang mempunyai jangkitan kelamin seperti gonorea atau klamidia selalunya tidak menyedarinya sehinggalah ia sudah terlambat.

Walaupun anda mempunyai pasangan yang sama, tidak salah sekiranya anda melakukan ujian STI. Ujian STI juga dapat memastikan pasangan anda bebas daripada penyakit kelamin.

Wanita yang melakukan seks boleh dijangkiti STI. Walaupun dengan penggunaan kondom, masih ada risiko STI lebih-lebih lagi jika anda aktif secara seksual.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Human Papillomavirus (HPV). https://www.plannedparenthood.org/learn/stds-hiv-safer-sex/hpv. Accessed on December 4, 2022.
  2. Symptoms of vaginal discharge. https://familydoctor.org/condition/vaginal-discharge/. Accessed on December 4, 2022.
  3. Vaginal Discharge. https://my.clevelandclinic.org/health/symptoms/4719-vaginal-discharge. Accessed on December 4, 2022.
  4. What is the difference between OB/GYN and gynecology? https://www.woosterhospital.org/what-is-the-difference-between-ob-gyn-and-gynecology/. Accessed on December 4, 2022.
  5. Your contraception guide. https://www.nhs.uk/conditions/contraception/. Accessed on December 4, 2022.

Versi Terbaru

05/12/2024

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Diperbaharui oleh: Annes Nadia


Artikel Berkaitan

Jom Bongkar 7 Mitos Penyakit Kelamin HPV, Mitos No. 1 Paling Popular

Perhatian! Ini Cara Untuk Periksa Payudara


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada seminggu lalu

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan