Masalah berkaitan lantai dan tulang pelvik dalam kalangan wanita bukanlah perkara baharu dan ia sering kali dibincangkan, namun tahap kesedaran mengenainya masih agak rendah.
Bahagian pelvik bantu menjaga kawalan pundi kencing, usus, fungsi seksual, dan berfungsi sebagai ‘rumah’ bagi organ pelvis.
Organ ini pula meliputi pundi kencing, usus, dan faraj, mengekalkan mereka di posisi yang betul.
Isu berkaitan otot lantai dan tulang pelvik sering menimpa wanita khususnya mereka yang sudah melalui proses bersalin, obesiti, penuaan, sembelit atau mengamalkan cara hidup tidak sihat.
Malangnya, ramai wanita mengabaikan masalah ini, hingga mempengaruhi kehidupan seharian mereka selama bertahun-tahun sebelum mendapatkan rawatan.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkan di sini.
Kenali apa itu tulang dan kondisi pelvik!
Pelvis, juga disebut bony pelvis atau pelvic girdle, dalam anatomi manusia merujuk kepada kompleks tulang berbentuk seakan lurah.
Tulang pelvik merupakan tulang yang penting di mana ia bertanggungjawab menampung berat badan ke atas kedua-dua belah kaki, di samping melindungi dan menyokong usus, pundi kencing, serta organ seks dalaman.
Lantai pelvik adalah sekumpulan otot yang melintang, terbentuk daripada sebahagian rangka axial iaitu tulang sacrum dan tulang coccyx.
Untuk makluman, ia akan berfungsi untuk:
- Memainkan peranan dalam aktiviti seksual.
- Menyokong organ dalaman seperti rahim dan pundi kencing.
- Membantu kekalkan kestabilan tulang pelvik.
- Menyokong penutupan uretra semasa peningkatan tekanan dalam abdomen; bersin dan batuk.
Kesakitan bahagian pelvik juga boleh menjadi tanda masalah dengan salah satu organ pembiakan.
Antara yang kerap berlaku merangkumi masalah kencing, kehilangan sokongan organ pelvis atau prolaps organ pelvis, dan disfungsi usus.
Jenis kondisi pelvik yang biasa berlaku
#1. Masalah kawalan pundi kencing
Kondisi ini acap kali dikaitkan dengan inkontinen urin atau kehilangan kawalan pundi kencing, satu kondisi yang sering terjadi dan memalukan.
Keparahannya berkisar daripada kencing yang kadangkala bocor ketika batuk atau bersin hingga keinginan untuk membuang air kecil yang mengejutkan.
Walaupun lebih kerap berlaku dalam kalangan warga emas, namun inkontinen urin bukanlah satu kondisi yang tidak dapat dielakkan.
Sekiranya kondisi ini mempengaruhi aktiviti harian anda, jangan ragu-ragu untuk merujuk doktor.
Bagi kebanyakan pesakit berkaitan pelvis ini, perubahan gaya hidup dan diet atau rawatan perubatan yang ringkas sudah mampu merawat gejala inkontinen urin.
#2. Masalah pada usus
Inkontinen usus, juga dikenali sebagai inkontinens najis terjadi apabila anda tidak dapat mengawal pergerakan usus, menyebabkan najis bocor secara mengejut dari rektum.
Ia boleh diakibatkan oleh rektum (bahagian bawah usus) tergerak dari tempatnya atau berlaku kerosakan pada kumpulan otot yang bantu menutup dubur.
Tahap keparahan inkontinens najis berkisar daripada kebocoran tinja saat mengeluarkan gas (kentut) hingga kehilangan kawalan usus sepenuhnya.
Penyebab umumya merangkumi cirit-birit, sembelit, dan kerosakan otot atau saraf.
Kerosakan otot atau saraf ini juga boleh terjadi dek faktor penuaan atau kelahiran.
#3. Prolaps organ pelvik
Prolaps pelvis adalah satu kondisi di mana organ pelvik seperti usus, pundi kencing atau rahim ‘jatuh’ dari tempatnya di kedudukan yang lebih rendah atau dalam sesetengah kes, hingga ke saluran faraj.
Hal ini berpunca oleh otot dan ligamen yang menyokong organ ini menjadi semakin lemah dari masa ke masa.
Keadaan ini mengakibatkan rasa sakit bahagian pelvis seperti tekanan pada faraj atau belakang. Ia turut disertai dengan kesakitan saat bersenggama.
Jenis prolaps
Prolaps secara ringkasnya membawa maksud ‘jatuh’ sama ada ke bawah atau ke hadapan. Kondisi ini boleh berlaku pada salah satu organ di dasar pelvis.
Doktor anda mungkin akan menggunakan pelbagai nama saintifik untuk berbagai jenis prolaps, namun jangan risau kerana kami di Hello Doktor telah menyenaraikannya untuk pemahaman kalian.
Antara jenis prolaps pelvis meliputi:
- Cystocele: Pundi kencing jatuh ke dalam faraj
- Urethrocele: Uretra, tiub yang menghubungkan pundi kencing ke bahagian luar badan untuk kencing, jatuh ke dalam faraj
- Enterocele: Usus kecil jatuh dan menolak bahagian belakang faraj
- Rectocele: Sejenis herniation (bonjolan) dinding hadapan rektum ke dinding belakang faraj
- Prolaps uterus: Rahim jatuh ke dalam faraj
- Vaginal vault prolapse: Bahagian atas faraj jatuh ke saluran faraj atau di luar badan
[embed-health-tool-ovulation]