backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

3

Tanya Doktor
Simpan

Kerap Kencing Dan Sakit Bawah Perut? Anda Mungkin Alami Salah Satu Daripada 3 Penyakit Ini!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 08/08/2023

    Kerap Kencing Dan Sakit Bawah Perut? Anda Mungkin Alami Salah Satu Daripada 3 Penyakit Ini!

    Bagi mereka yang sudah memasuki usia 40-an, masalah kerap buang air kecil akan mula berlaku. Masalah kerap kencing dan sakit bawah perut menjadi antara isu yang biasa dialami oleh golongan dalam kelompok umur seperti ini.

    Apakah punca atau penyakit yang menyebabkan masalah ini? Mari kita lihat penjelasan di bawah.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Urologi, anda boleh klik di sini.

    3 punca biasa sebabkan kerap kencing dan sakit bawah perut

    Walaupun terdapat beberapa keadaan atau penyakit lain yang boleh menyebabkan simptom kerap buang air kecil dan sakit bawah perut, namun tiga masalah ini adalah antara yang paling biasa berlaku.

    Apakah penyakit atau gangguan tersebut?

    Jangkitan saluran kencing atau lebih dikenali secara ringkas dengan nama UTI, merupakan sejenis jangkitan yang berlaku pada mana-mana bahagian sistem urinari anda.

    Ini termasuklah buah pinggang, salur kencing, pundi kencing dan juga uretra. Namun, kebanyakan kes-kes UTI melibatkan saluran kencing bahagian bawah iaitu pundi kencing dan uretra.

    Golongan wanita mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat UTI berbanding orang lelaki.

    Untuk makluman anda, kebanyakan kes jangkitan UTI disebabkan oleh bakteria Escherichia coli (E. coli), yang secara semula jadinya terdapat dalam badan kita.

    Bakteria ini masuk ke dalam saluran kencing melalui uretra lalu menyebabkan jangkitan.

    Antara simptom-simptom biasa jika seseorang itu mengalami UTI ialah:

    • Keinginan untuk membuang air kecil yang kuat
    • Mengalami sensasi seperti rasa terbakar sewaktu membuang air kecil
    • Kerap membuang air kecil, namun dalam jumlah yang kecil
    • Air kencing yang kelihatan keruh
    • Air kencing mempunyai warna kemerah-merahan, merah muda atau berwarna seperti air berkarbonat. Ia tanda kehadiran darah dalam air kencing anda
    • Air kencing berbau kuat tidak seperti biasa
    • Bagi golongan wanita, mereka juga akan kerap kencing dan sakit bawah perut terutamanya di kawasan tengah pelvis dan juga di sekitar tulang faraj

    #2. Penyakit batu karang juga sebabkan kerap kencing dan sakit bawah perut

    Tahukah anda, masalah kerap buang air kecil juga boleh berpunca daripada penyakit batu karang.

    Batu karang merupakan sejenis gumpalan atau mendapan keras yang terdiri daripada kandungan mineral dan garam. Ia terbentuk pada bahagian dalam buah pinggang anda.

    Apabila batu karang terbentuk, ia boleh menjejaskan keseluruhan sistem urinari anda termasuklah buah pinggang itu sendiri dan juga pundi kencing.

    kerap kencing dan sakit bawah perut

    Batu karang tidak mempunyai satu punca khusus yang menyebabkan pembentukannya.

    Namun terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada pembentukan batu karang seperti diet, keadaan penyakit, berat badan berlebihan dan juga kesan sesetengah suplemen dan ubat-ubatan.

    Selalunya, batu karang terbentuk apabila air kencing menjadi terlalu pekat, dan menyebabkan mineral bertukar menjadi kristal dan melekat bersama.

    Berikut merupakan antara simptom yang biasa berlaku jika anda mengalami masalah batu karang:

    • Mengalami sensasi rasa terbakar sewaktu membuang air kecil
    • Pancutan air kencing yang tidak sekata
    • Air kencing berwarna merah jambu, merah atau perang
    • Air kencing berbau busuk dan keruh
    • Kerap buang air kecil tetapi dalam jumlah yang sedikit
    • Mengalami muntah-muntah dan loya
    • Mengalami sakit yang tajam pada bahagian bawah tulang rusuk

    #3. Masalah berkaitan prostat

    kerap kencing dan sakit bawah perut

    Prostat merupakan sejenis kelenjar kecil yang hanya terdapat pada kaum lelaki sahaja. Ia mengelilingi tiub yang membawa air kencing keluar dari badan atau disebut uretra.

    Untuk pengetahuan anda, kelenjar prostat berperanan menghasilkan cecair putih pekat yang bercampur dengan sperma untuk menghasilkan air mani.

    Kelenjar prostat mempunyai saiz seperti kacang walnut, tetapi ia cenderung untuk menjadi lebih besar apabila anda semakin tua.

    Ia juga kadangkala boleh menjadi bengkak atau membesar disebabkan masalah seperti pembesaran prostat, prostatitis dan juga kanser prostat.

    Masalah yang berkaitan dengan prostat sememangnya boleh menyebabkan simptom kerap kencing dan sakit bawah perut.

    Sebagai contoh, antara simptom bagi masalah pembesaran prostat ialah kerap buang air kecil pada waktu malam.

    Selain itu, mereka yang mengalami masalah pembesaran prostat juga agak sukar untuk memulakan atau menghentikan pembuangan air kecil.

    Bagi masalah prostatitis pula, mereka yang menghidapinya akan kerap kencing dan sakit bawah perut di sekitar perineum (kawasan antara punggung dan skrotum).

    Begitu juga dengan pesakit kanser prostat, mereka akan lebih kerap membuang air kecil pada waktu malam selain mempunyai darah dalam air kencing atau air mani. 

    Kesimpulan

    Kini anda telah mengetahui tiga penyakit yang biasa menjadi punca kepada masalah kerap kencing dan sakit bawah perut.

    Walaupun terdapat kemungkinan penyakit lain yang menyebabkan simptom seperti ini, namun lazimnya ia disebabkan oleh tiga gangguan ini.

    Jika anda mengalami simptom-simptom seperti di atas, segeralah berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan pemeriksaan yang lebih tepat.

    Pengesanan awal boleh mengelakkan sebarang komplikasi yang lebih buruk.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 08/08/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan