backup og meta

Atasi Masalah Kekurangan Hormon Tiroid Dengan Amalkan 5 Suplemen & Diet Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 13/05/2022

    Atasi Masalah Kekurangan Hormon Tiroid Dengan Amalkan 5 Suplemen & Diet Ini!

    Hipotiroidisme boleh berlaku apabila badan tidak berupaya untuk menghasilkan hormon tiroid mengikut keperluan semasa.

    Tiroid adalah organ yang terletak pada bahagian hadapan leher berbentuk rerama.

    Ia bertanggungjawab untuk merembeskan hormon tiroid bagi membantu badan mengawal penggunaan tenaga dan proses biologi penting bagi setiap individu.

    Tanpa hormon tersebut, fungsi semula jadi badan boleh menjadi perlahan sehingga menyebabkan komplikasi kesihatan.

    Artikel ini akan memfokuskan 5 penawar semula jadi bagi mereka yang menghidap masalah hipotiroidisme.

    Anda perlu ingat bahawa penawar ini tidak menggantikan ubat yang telah dipreskripsikan oleh doktor.

    #1 Selenium, elemen penting dalam metabolisme hormon tiroid

    Keadaan kesihatan seperti tiroiditis Hashimoto boleh menyebabkan bekalan selenium badan berkurangan.

    Ia merupakan penyakit yang menyebabkan sistem imun badan menyerang organ tiroid seterusnya mengakibatkan masalah hipotiroid.

    Ditambah pula dengan keupayaan penyakit untuk mempengaruhi jumlah selenium di dalam badan, ia boleh menyebabkan metabolisme hormon tiroid menjadi bertambah teruk.

    Preskripsi suplemen yang mengandungi selenium kepada penghidap masalah hipotiroidisme boleh membantu badan mereka untuk menyeimbangkan jumlah hormon tiroksin (hormon tiroid, T4) di dalam badan.

    Walau bagaimanapun, kesannya berbeza mengikut individu. Maka langkah terbaik adalah untuk merujuk kepada doktor sebelum anda mula mengambil selenium secara rutin.

    #2 Amalkan gaya pemakanan bebas gula

    masalah hipotiroid

    Seperti yang anda sedia maklum, gula dan makanan berproses bukan sahaja boleh menyebabkan masalah obesiti, ia juga boleh meningkatkan proses keradangan di dalam badan.

    Keadaan tersebut boleh mengakibatkan proses penting dalam metabolisme tiroid iaitu penukaran T4 kepada hormon triiodotironin (T3) menjadi perlahan.

    Kesannya, simptom dan manifestasi penyakit tiroid anda akan menjadi semakin teruk.

    Makanan bergula juga boleh menyebabkan pelbagai kesan negatif seperti meningkatkan tahap stres, memburukkan keadaan kulit dan masalah kelesuan.

    Bukan mudah untuk kita berpuasa gula memandangkan ia boleh menyebabkan ketagihan. Namun kesan baik yang bakal anda alami sememangnya membuatkan ia berbaloi.

    #3 Vitamin B kompleks dan tahap kesihatan tiroid

    Suplemen vitamin B kompleks sememangnya boleh memberikan kesan baik terhadap tahap kesihatan badan anda.

    Proses penyakit hipotiroidisme boleh menyebabkan paras vitamin B tertentu seperti B1 dan B12 berkurangan.

    Maka, pengambilan vitamin B kompleks boleh membantu memulihkan badan anda daripada gejala masalah hipotiroid akibat paras hormon tiroid yang rendah.

    Jika anda tidak mahu bergantung kepada suplemen, makanan berikut mengandungi kepekatan vitamin B yang tinggi:

  • Asparagus. 
  • Tuna. 
  • Keju. 
  • Susu. 
  • Telur. 
  • Kacang buncis. 
  • Seperti suplemen yang lain, sila rujuk doktor anda terlebih dahulu sebelum mula mengambil vitamin B12 secara rutin.

    #4 Komplikasi gastrousus akibat masalah hipotiroid boleh dihindari melalui pengambilan probiotik

    hormon tiroid

    Secara umumnya kita tahu probiotik baik untuk usus. Namun apa kaitannya dengan masalah hormon tiroid rendah?

    Kajian yang dibuat oleh Institut Kesihatan Amerika Syarikat menunjukkan perubahan motiliti (pergerakan) gastrousus lazim berlaku dalam kalangan penghidap hipotiroid.

    Keadaan ini boleh menyebabkan masalah seperti pertumbuhan bakteria melampau pada usus kecil (SIBO) sehingga menyebabkan simptom kronik seperti cirit-birit.

    Pelbagai kajian sains telah membuktikan probiotik berkesan dalam merawat SIBO.

    Malah kajian oleh sebuah Universiti di Argentina menunjukkan rawatan menggunakan probiotik jauh lebih berkesan berbanding dengan rawatan menggunakan antibiotik metronidazole.

    #5 Diet bebas gluten, bagus untuk mereka yang alami masalah hormon tiroid rendah

    Penyakit seliak merupakan penyakit sistem pencernaan yang berlaku akibat daripada tindak balas sistem imun terhadap gluten di dalam usus kecil.

    Menurut Yayasan Seliak Nasional di Amerika Syarikat, kebanyakan individu yang menghidap penyakit tiroid turut menghidap masalah seliak.

    Walaupun kajian tidak menunjukkan sokongan terhadap saranan diet bebas gluten untuk pesakit tiroid, namun kebanyakan penghidap berasa sihat dengan gaya pemakanan tersebut.

    Pun begitu, anda perlu tahu bahawa makanan bebas gluten agak mahal dan jika ia datang sebagai makanan segera, ia boleh mengandungi jumlah lemak yang tinggi.

    Konklusi

    Terdapat pelbagai jenis perubahan yang boleh anda terapkan dalam kehidupan sekiranya menghidap masalah hormon tiroid rendah.

    Kunci kepada kawalan penyakit tersebut adalah amalan gaya hidup sihat dan kepatuhan terhadap rejimen perubatan yang dipreskripsikan oleh doktor perubatan bertauliah.

    Pastikan anda merujuk kepada pakar kesihatan anda sebelum membuat sebarang perubahan rutin yang boleh mempengaruhi tahap kesihatan tiroid anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 13/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan