backup og meta

Rawatan Untuk Fibroid Rahim Terbahagi 2, Jom Kenal Dengan Lebih Lanjut!

Rawatan Untuk Fibroid Rahim Terbahagi 2, Jom Kenal Dengan Lebih Lanjut!

Fibroid rahim adalah kondisi wanita yang kerap berlaku dan boleh menimpa sesiapa sahaja dalam lingkungan usia reproduktif. Bagaimana pula dengan pilihan rawatan? Adakah pesakit perlu untuk menjalani pembedahan fibroid?

Untuk pengetahuan kalian, hampir 60% wanita dengan masalah fibroid melaporkan, gejala dialami telah mempengaruhi kualiti hidup dan membantutkan aktiviti fizikal mereka.

Pendarahan haid yang berat, adalah antara simptom fibroid rahim yang paling banyak terjadi hingga mempengaruhi kira-kira 1.4 juta wanita setiap tahun.

Dalam artikel ini, kami di Hello Doktor akan cuba berkongsi beberapa jenis rawatan untuk fibroid. Jom terus baca!

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

Pengurusan fibroid rahim (perubatan & pembedahan)

Pengurusan fibroid boleh merangkumi daripada ‘tidak perlu’ ubatan, rawatan hingga operasi.

Kondisi fibroid yang bukan kronik biasanya tidak memerlukan perhatian, melainkan ia menyebabkan pendarahan berlebihan, ketidakselesaan, kesakitan atau masalah berkaitan pundi kencing.

pembedahan fibroid

Sekiranya mempunyai fibroid, anda harus diperiksa secara berkala untuk mengkaji simptom dihadapi, memantau ukuran fibroid dan rahim dengan pemeriksaan perut serta pelvis.

Pesakit tanpa gejala dengan fibroid berukuran kecil selalunya tidak memerlukan rawatan.

Terdapat 2 jenis pilihan rawatan yang meliputi aspek perubatan dan pembedahan sebagai pengurusan kondisi fibroid.

Rawatan perubatan fibroid

Buat masa ini, ubat-ubatan yang wujud untuk menguruskan fibroid dapat membaik pulih simptom, namun ia bukanlah bersifat kekal.

Bagi wanita yang mengalami pendarahan berat, ada baiknya untuk mencuba ubat ini sebelum menjalani prosedur pembedahan, seperti:

#1 Asid tranexamic atau mefenamic

Asid tranexamic berfungsi dengan melambatkan pemecahan darah beku. Asid mefenamic pula adalah sejenis ubat anti-radang.

Tablet ini berfungsi dengan baik jika kedua-duanya digabungkan bersama dan ia juga berkesan dalam menguruskan kesakitan yang berkaitan.

Ubat bukan hormon ini diambil untuk meredakan masalah haid yang berat.

#2 Kontraseptif hormon

Wanita yang mengalami aliran haid berat dan fibroid sering diberi ubat hormon untuk mengurangkan pendarahan dan mengatur semula kitaran menstruasi.

Ubat-ubatan ini tidak akan mengecilkan fibroid atau membuatnya tumbuh dengan kadar yang lebih cepat.

Sekiranya ubat ini tidak dapat mengurangkan pendarahan yang dialami selepas 3 bulan, pastikan untuk melakukan janji temu bersama doktor.

pembedahan fibroid

#3 GnRH analogues (Zolidex)

Ubat gonadotropin-releasing hormone analogue (GnRH-a) akan menjadikan badan anda dalam keadaan seakan menopaus sepanjang pengambilannya.

Ia dapat bantu mengecutkan fibroid, namun selepas tamat pengambilan, fibroid anda berisiko untuk tumbuh semula.

Pun begitu, penggunaan GnRH-a boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius, seperti osteoporosis!

Untuk menghadkan kesan sampingan, ia hanya boleh digunakan tidak melebihi 6 bulan.

#4 Selective Progesterone Receptor Modulators (Ulipristal/Esmya)

Pada wanita dengan ketumbuhan fibroid yang lebih kecil, ketika progesteron dipulihkan ke tahap yang normal, fibroid akan berhenti membesar dan menyusut sedikit.

Ia mungkin disebabkan oleh kemampuan progesteron untuk bantu mempercepat pembersihan estrogen dari tisu.

Selain itu, ia juga:

  • Mengurangkan ukuran fibroid dan menorrhagia (haid berlebihan dan berpanjangan)
  • Digunakan sebelum operasi atau sebagai alternatif pembedahan

Rawatan pembedahan fibroid

#1 Hysteroscopy and Rescervical Resection of Fibroid (TCRF)

Ini adalah prosedur untuk membuang fibroid yang terbentuk di bahagian dalam rahim dengan menggunakan alatan yang disebut sebagai hysteroscope.

#2 Myomectomy

Myomectomy melibatkan pembedahan pembuangan fibroid tanpa perlu menyingkirkan rahim.

Bagi wanita yang mempunyai simptom fibroid dan masih ingin hamil pada masa akan datang, myomectomy adalah pilihan rawatan terbaik.

Ya, myomectomy sangat berkesan, tetapi fibroid masih berupaya untuk tumbuh semula.

Semakin muda usia, maka semakin banyak fibroid yang dimiliki ketika menjalani myomectomy, malah besar kemungkinan untuk fibroid terbentuk kembali pada masa akan datang.

pembedahan fibroid

#3 Uterine Artery Embolization (UAE)

Uterine artery embolization adalah prosedur yang agak baru dan merupakan rawatan alternatif untuk pembedahan terbuka fibroid.

Embolisasi adalah sejenis teknik yang menyekat aliran darah ke fibroid, lantas mengakibatkan ia mengecut dan mati.

Prosedur ini juga sering kali dapat mengurangkan pendarahan haid, gejala kesakitan, tekanan, kekerapan kencing atau sembelit.

#4 Histerektomi

Pembedahan yang melibatkan pembuangan rahim ini, menjadi satu-satunya penyelesaian kekal yang terbukti untuk kondisi ini tetapi histerektomi adalah pembedahan besar!

Histerektomi bakal menamatkan kemampuan anda untuk hamil serta melahirkan anak.

Sekiranya anda juga memilih untuk membuang ovari, pembedahan ini akan menyebabkan menopaus.

Pun begitu, sebilangan besar wanita dengan kondisi ini mungkin akan memilih untuk mengekalkan ovari mereka.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Uterine Fibroids Overview, https://www.uclahealth.org/medical-services/fibroids/what-are-fibroids, Accessed Jun 3 2021.
  2. Uterine Fibroids, https://www.acog.org/womens-health/faqs/uterine-fibroids, Accessed Jun 3 2021.
  3. Uterine Fibroids: Diagnosis and Treatment, https://www.aafp.org/pubs/afp/issues/2017/0115/p100.html, Accessed Jun 3 2021.
  4. Fibroids Treatments, https://www.ucsfhealth.org/conditions/fibroids/treatment, Accessed Jun 3 2021.
  5. Uterine Fibroids, https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/9130-uterine-fibroids, Accessed Jun 3 2021.

Versi Terbaru

07/06/2024

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Keliru Antara Fibroid Dengan Sista Rahim, Nampak Sama Tapi Banyak Beza!

Kenali 14 Simptom Fibroid Rahim, Rawat Sebelum Terlambat!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 07/06/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan