backup og meta

Takut Ada Fibroid Di Rahim? Ini 7 Cara Doktor Diagnosis!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 20/06/2022

    Takut Ada Fibroid Di Rahim? Ini 7 Cara Doktor Diagnosis!

    Fibroid di rahim atau fibroid uterus, turut dikenali sebagai Leiomyoma/Myoma, merupakan sejenis ketumbuhan bukan kanser yang tumbuh pada permukaan rahim wanita. Kondisi ini berlaku kepada hampir 20% wanita yang berada dalam umur reproduktif.

    Fibroid rahim jarang sekali berlaku pada wanita yang belum datang haid. Selain itu, fibroid ini juga akan mengecut setelah wanita mengalami menopaus.

    Saiz fibroid rahim berbeza mengikut individu. Kadangkala, ia sukar untuk dikesan kerana tidak boleh dilihat dengan mata kasar. 

    Namun, ada juga yang mempunyai fibroid yang besar sehingga ia boleh mengembangkan rahim.

    Fibroid boleh menyebabkan wanita menjadi tidak selesa. Malah, ada juga yang mengalami komplikasi yang lebih serius seperti anemia, ketidaksuburan dan keguguran disebabkan fibroid yang dialami. 

    Ia juga boleh mendatangkan masalah terhadap wanita yang sedang hamil.

    Fibroid di rahim, bagaimana doktor mengesannya?

    Selalunya fibroid uterus ditemui secara tidak sengaja ketika pemeriksaan pelvis. 

    Doktor mungkin mengesan abnormaliti pada bentuk uterus yang menandakan kehadiran fibroid.

    Antara diagnosis yang dijalankan oleh doktor untuk mengesan fibroid di rahim ialah:

    1. Imbasan ultrasound

    fibroid di rahim

    Salah satu ujian yang lazim dilakukan untuk mendiagnosis fibroid rahim adalah imbasan ultrasound.

    Imbasan ini menggunakan gelombang bunyi untuk menjana imej rahim. Melalui imbasan inilah, doktor boleh menentukan kewujudan fibroid di rahim wanita.

    Ada dua jenis imbasan ultrasound yang boleh membantu mendiagnosis fibroid rahim:

    1.     Imbasan ultrasound pada kawasan perut.
    2.     Imbasan ultrasound pada kawasan vagina.

    Jika anda mempunyai fibroid, kes anda akan dirujuk kepada pakar sakit puan.     

    3. Imbasan MRI

    Berbeza dengan imbasan ultrasound, MRI dapat membantu mengesan fibroid uterus dengan lebih tepat. Doktor juga boleh mengenal pasti saiz dan jenis fibroid tersebut serta menentukan rawatan yang paling sesuai.

    MRI selalunya dilakukan ke atas wanita yang mempunyai rahim bersaiz besar atau mereka yang mencecah usia menopaus atau pramenopaus.

    Bukan semua wanita yang mempunyai fibroid rahim perlu mendapatkan MRI.

    Ujian ini mengambil masa sekitar 45 hingga 60 minit. Ketika imbasan dijalankan, pesakit akan diminta untuk berdiam diri. Imbasan ini juga tidak menggunakan radiasi.

    4. Hysteroscopy

    Hysteroscopy merupakan satu prosedur yang melibatkan satu teleskop kecil yang dikenali sebagai hysteroscope. Teleskop ini akan dimasukkan ke dalam rahim melalui bukaan vagina.

    Prosedur ini hanya memakan masa selama 5-10 minit untuk dijalankan. Ia juga lazim dijalankan dengan tujuan untuk mengesan fibroid di dalam rahim (submucosal fibroids).

    Doktor mungkin akan menggunakan anestesia supaya anda tidak akan rasa sakit sewaktu prosedur ini dijalankan. Walau bagaimanapun, kebanyakan wanita tidak perlukan bantuan anestesia.

    5. Laparoscopy

    Laparoscope merupakan satu teleskop kecil dengan sumber cahaya dan kamera pada hujungnya. 

    Kamera ini akan mengambil imej di dalam abdomen dan memaparkannya pada satu monitor.

    Ketika laparoscopy dijalankan, pakar bedah akan melakukan pemotongan kecil pada perut pesakit.

    Kemudian, laparoscope akan dimasukkan ke dalam abdomen melalui pemotongan tersebut.

    Prosedur ini dijalankan dengan bantuan anestesia. Oleh sebab itu, pesakit akan tertidur sepanjang prosedur.

    Laparoscopy dijalankan untuk mengesan fibroid yang tumbuh pada luar kawasan rahim (subserosal fibroids) atau fibroid di dalam lapisan otot yang membaluti rahim (intramural fibroids).

    6. Biopsi

    Tisu pesakit juga mungkin diambil untuk tujuan biopsi sewaktu hysteroscopy atau laparoscopy dijalankan untuk pemeriksaan lanjut.

    7. Ujian lain untuk kenal pasti fibroid

    Jika anda mengalami pendarahan yang teruk, keguguran yang berulang kali atau kesukaran untuk hamil, doktor mungkin akan menjalankan beberapa ujian untuk menentukan punca sebenar simptom yang anda alami.

    Selain fibroid uterus, simptom yang sama mungkin berlaku disebabkan endometriosis atau penyakit inflamasi pelvis.

    Apakah simptom fibroid di rahim?

    fibroid di rahim

    Kebanyakan wanita tidak sedar mereka mempunyai fibroid uterus kerana ia jarang sekali menyebabkan sebarang simptom.

    Namun, ia bergantung pada lokasi, saiz dan juga bilangan fibroid yang wanita tersebut alami.

    Antara simptom fibroid ialah:

    1. Rasa sakit pada kawasan abdomen.
    2. Sakit atau lenguh di bahagian bawah pinggang.
    3. Senggugut yang teruk.
    4. Pendarahan vagina yang abnormal.
    5. Jika fibroid bersaiz besar, wanita mungkin akan rasa sakit ketika melakukan seks.
    6. Kerap membuang air kecil.
    7. Kencing tidak lawas.
    8. Sembelit disebabkan tekanan pada kawasan rektum.

    Kesimpulan

    fibroid di rahim

    Fibroid di rahim merupakan sesuatu yang lazim berlaku terutamanya sebelum menopaus. Selalunya, fibroid tidak akan mencetuskan sebarang simptom. Ia juga bukanlah satu ketumbuhan yang bersifat kanser. 

    Oleh sebab itu, kadangkala doktor akan mengambil langkah tunggu dan lihat sebelum melakukan rawatan lanjut.

    Jika pesakit alami simptom yang teruk, ada banyak rawatan yang selamat dan berkesan untuk merawat kondisi ini.

    Rawatan juga boleh dilakukan mengikut situasi serta kondisi pesakit, lebih-lebih lagi jika pesakit ingin mengandung pada masa hadapan.

    Bercakap dengan doktor jika anda mempunyai simptom seperti kembung perut, sakit pelvis dan haid yang teruk.

    Pengesanan awal amat penting untuk memastikan masalah fibroid uterus dapat ditangani. 

    Kualiti hidup pesakit juga boleh ditingkatkan setelah mendapatkan rawatan yang sesuai.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 20/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan