Kesan memakai pendakap gigi boleh buat gigi rongak? Pasti ramai yang sedang memakai braces atau bercadang untuk pakai pendakap gigi ini akan takut apabila membaca kenyataan ini, kan?
Mana tidaknya, kini, penggunaan braces merupakan salah satu trend yang popular dalam negara kita.
Namun, sejauh manakah kebaikannya kepada si pemakai? Benarkah antara kesan memakai pendakap gigi ini boleh membuatkan gigi rongak?
Artikel ini bakal menjawab persoalan anda.
Apa itu pendakap gigi?
Pendakap gigi ataupun nama popularnya braces, adalah peralatan berasaskan dawai yang digunakan oleh pakar gigi (ortodontik) untuk membetulkan gigi atau rahang yang sesak dan tidak sejajar.
Seringkali, rawatan braces dibuat semasa awal remaja, tetapi orang dewasa juga boleh mendapat manfaat daripada pemakaiannya.
Pendakap gigi besi sering digunakan, walaupun terdapat variasi lain seperti plastik kini.
Rawatan pembetulan braces
Pendakap gigi besi menawarkan rawatan pembetulan untuk beberapa masalah seperti:
- Susunan gigi yang terlalu padat atau bengkok
- Ruang di antara gigi terlalu besar
- Gigi depan bahagian atas yang terlalu bertindih dengan gigi bawah, sama ada secara menegak (overbite) atau melintang (overjet)
- Gigi bahagian bawah yang melunjur ke luar lebih jauh daripada gigi atas (underbite)
- Masalah ketidakseimbangan rahang lain yang boleh menyebabkan gigitan tidak sekata
Keselarasan gigi dan rahang yang betul dapat memperbaiki bukan sahaja penampilan gigi anda, tetapi kesihatan mulut, cara menggigit, mengunyah dan bercakap.
Kesan memakai pendakap gigi: Benarkah braces boleh terukkan kesihatan mulut?
Pemakaian braces biasanya merupakan prosedur yang selamat. Namun, terdapat beberapa risiko atau kesan memakai pendakap gigi yang dibuktikan dengan kajian.
#1 Gusi menyusut
Gusi menyusut atau resesi gingiva merupakan keadaan di mana tisu gusi akan hilang secara berperingkat, dan boleh mengakibatkan pendedahan akar gigi jika tidak dirawat.
Jika gusi anda mula menyusut, bentuk gigi anda boleh berubah dan gigi anda akan menjadi lebih sensitif.
Dr Kelly Blodgett, doktor gigi dari Portland menyuarakan pendapat beliau di mana sepanjang proses menggunakan braces, anda memberikan tekanan pada tulang gigi dan gusi anda.
Keseluruhan proses ini bertentangan dengan struktur dan anatomi gigi berdasarkan genetik anda.
Tekanan yang berterusan pada gigi boleh menyebabkan keradangan dan kehilangan tulang pada mulanya. Jika berterusan, ia boleh mengakibatkan gusi menyusut.
Selain itu, satu kajian telah mendedahkan logam yang digunakan juga bertanggungjawab atas penyusutan gusi.
Kesan memakai pendakap gigi #2 Penyakit gusi
Sisa makanan akan terkumpul di celah gigi jika tidak dibersihkan. Ia boleh bergabung dengan bakteria yang ada dalam mulut dan menghasilkan plak.
Plak yang tidak dibersihkan akan mengeras dan menjadi karang gigi atau tartar. Apabila sudah menjadi tartar, ia tidak boleh dibersihkan dengan berus gigi lagi.
Memakai pendakap gigi besi meningkatkan risiko anda untuk mendapat penyakit gusi jika anda tidak menjaga kesihatan mulut dengan baik.
Kajian mendedahkan jika pengguna braces tidak menjaga kebersihan gigi dan mulut, ia akan menyebabkan pengumpulan plak dan tartar.
Hal ini secara tidak langsung akan menyebabkan penyakit gusi kerana peningkatan bakteria yang tidak baik dalam mulut anda.
Selain itu, keradangan gusi juga membolehkan jangkitan berlaku dengan lebih mudah.
Penyakit gusi dianggap berbahaya kerana ia meningkatkan risiko penyakit lain seperti penyakit jantung, keradangan paru-paru, kanser pankreas dan diabetes.
Dalam jangka masa pendek, penyakit gusi adalah penyebab utama kehilangan gigi.
#3 Akar gigi menjadi lebih pendek
Semasa pergerakan gigi berlaku, sebahagian tulang lama akan larut sementara tulang baru tumbuh di belakangnya.
Kepanjangan akar gigi akan hilang secara kekal semasa proses ini berlaku, yang boleh mengakibatkan gigi kurang stabil.
#4 Gigi sensitif, antara kesan memakai pendakap gigi
Gigi sensitif berlaku apabila lapisan bawah gigi anda terdedah akibat gusi menyusut.
Akar gigi anda, yang tidak dilindungi oleh enamel keras mengandungi ribuan tiub yang menuju ke pusat saraf gigi.
Apabila terdedah, ia membolehkan rangsangan kepada saraf seperti makanan panas atau sejuk dan ia menyebabkan kesakitan.
Sesiapa sahaja boleh mengalami gigi sensitif, tetapi pemakai braces lebih berisiko.
Hal ini kerana keadaan gigi yang lebih sukar untuk dibersihkan dan kesihatan mulut yang tidak dijaga boleh mengakibatkan keradangan atau penyusutan gusi.
#5 Pembetulan gigi tidak kekal
Keadaan ini boleh berlaku jika anda tidak mengikuti arahan pakar ortodontik selepas membuka pendakap gigi.
Selepas dibuka, anda sepatutnya selalu memakai retainer seperti yang diarahkan oleh doktor gigi anda.
Jika anda tidak rajin memakainya, anda berisiko untuk kehilangan sebahagian daripada pembetulan struktur gigi yang diperoleh semasa memakainya.
Konklusi
Oleh itu, jika anda sedang mempertimbangkan rawatan ortodontik ini untuk diri sendiri ataupun anak anda, jumpalah doktor gigi untuk menilai kesihatan gusi sebelum memulakan rawatan. Sebelum pasang, pastikan anda tahu kesan memakai pendakap gigi terlebih dahulu.
[embed-health-tool-bmi]