Petugas barisan hadapan bukan sahaja perlu berdepan dengan risiko jangkitan COVID-19 yang lebih tinggi, tetapi juga perlu melalui keletihan dan juga tekanan sehingga boleh menyebabkan gejala burnout.
Sindrom burnout juga boleh memberi kesan negatif kepada mereka yang bekerja dari rumah atau yang kerja lebih masa.
Namun apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan burnout ini?
Apakah itu sindrom burnout?
Pada 11th Revision of the International Classification of Diseases (ICD-11), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan burnout sebagai satu fenomena pekerjaan dan bukannya satu keadaan kesihatan.
Menurut ICD-11, burnout adalah sindrom yang dikonsepkan sebagai akibat daripada tekanan kerja kronik yang belum berjaya diuruskan.
Ciri-ciri burnout ada tiga iaitu:
- Rasa hilang tenaga atau keletihan
- Peningkatan jarak mental antara seseorang dengan pekerjaannya, atau perasaan negatif terhadap pekerjaan yang dilakukan
- Kerja yang dilakukan semakin kurang efektif
Namun, sindrom burnout ini hanya merujuk kepada konteks pekerjaan sahaja, bukannya kepada aspek atau konteks kehidupan yang lain.
7 tip untuk kembalikan semula mood anda daripada sindrom burnout
#1. Kenal pasti tanda-tanda burnout
Tanda utama jika anda sedang alami burnout seperti berikut:
- Lupa atau sukar untuk memberikan tumpuan
- Kurang rasa bangga dengan kerja anda
- Tidak lagi mempunyai matlamat
- Kesukaran untuk mengekalkan hubungan bersama orang yang disayangi
- Hampa atau kecewa dengan rakan sekerja
- Ketegangan otot, sakit, keletihan dan juga insomnia yang tidak diketahui puncanya
#2. Cari puncanya
Kenal pasti punca tekanan yang berlaku dalam kerja anda seperti beban kerja yang meningkat, mempunyai masalah dalam perhubungan atau menjaga seseorang yang mempunyai keadaan kesihatan yang kronik.