Adakalanya, sikap anda yang bersifat ‘melayan’ menjadikan diri anda sebagai sasaran mudah individu toksik ini untuk melepaskan kemarahan dan vibe negatif mereka.
Ini kerana anda kelihatan seperti terlalu baik atau tidak mempunyai pendirian yang kukuh.
Lebih baik jika anda kelihatan mempunyai pendapat, pendirian atau jati diri yang kukuh agar orang toksik ini tidak sewenang-wenangnya mempergunakan anda.
#2. Percayakan perasaan dan naluri anda sendiri
Ada individu yang terpaksa berada dalam perhubungan rakan sekerja yang bersifat toksik kerana mereka kurang percayakan diri mereka sendiri.
Mereka cuba untuk merasionalkan kelakuan toksik rakan sekerja mereka atau sering memberikan peluang yang tidak berasas.
Inilah saat di mana anda sepatutnya berhenti daripada bertindak sebegitu. Anda tidak boleh sering memaafkan kelakuan mereka atau sentiasa berfikiran positif sepanjang masa terhadap kelakuan negatif mereka.
Memberikan peluang itu sememangnya baik, tetapi perlulah ada hadnya agar tidak wujud keadaan di mana ‘mereka memijak kepala anda’.

#3. Tetapkan sempadan atau pelan untuk diri anda
Sesetengah daripada kita mungkin terpaksa berhadapan dengan orang toksik seperti ini setiap masa. Boleh jadi individu tersebut adalah rakan di sebelah meja kerja anda di mana anda terpaksa melayan kerenahnya setiap hari.
Cara terbaik adalah dengan menetapkan sempadan tertentu bagi kelakuan atau tingkah laku mereka yang anda rasakan melampau.
Anda tidak perlu bersikap kasar atau biadap dengan mereka, hanya perlu bersifat tegas dan tetap pendirian. Nyatakan apa yang benar dan apa yang salah terhadap perlakuan mereka.
Dalam situasi tempat anda bekerja, jika anda rasakan tindakan individu ini sudah berlebihan, salurkan aduan kepada saluran yang betul seperti ke Bahagian Pengurusan Sumber Manusia.
#4. Elakkan sikap normalisasi
Anda mungkin seorang yang baik hati sehinggakan bersikap positif sepanjang masa walaupun anda ditimpa bencana.
Mempunyai individu yang bersikap toksik di sekeliling anda juga ibarat satu bencana kerana ia akan menggalakkan anda untuk sentiasa berfikir positif setiap masa walaupun ia jelas salah.
Jangan sesekali menormalkan setiap tindakan salah yang dilakukan oleh individu-individu toksik ini.
Mereka mungkin berkata seperti, “Alah, cakap sikit je pun, takkan nak terasa hati” untuk menormalkan tindakan mereka.
Tetapi ingat, anda tidak perlu untuk mengiyakan segala kata-kata mereka. Salah tetap salah!
#5. Teruskan hidup anda tanpa mereka

Sekiranya hidup anda merana disebabkan oleh sikap orang toksik ini, tanya diri anda adakah anda masih memerlukan mereka dalam hidup anda?
Adakala anda mungkin perlu memaafkan, bersabar dan memberikan mereka masa, dengan harapan agar mereka dapat berubah secara perlahan-lahan. Tetapi persoalannya, sampai bila?
Jika ia kelihatan seperti janji yang tidak kunjung tiba, jangan tunggu lagi dan teruskan hidup anda tanpa mereka. Anda perlu tahu, ada masanya lebih baik untuk anda melepaskan sesuatu daripada terus memegangnya.
Kongsi pengalaman anda bersama orang toksik!
Pernahkah anda dikelilingi dengan orang toksik seperti ini di tempat kerja? Jika pernah, apakah yang telah anda lakukan untuk menghadapi individu seperti ini? Mungkin anda boleh kongsikan bersama kami berkenaan pengalaman anda dan cara anda menghadapinya di tempat kerja.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen