Mengapa pengurangan hari bekerja boleh meningkatkan produktiviti?

Pelaksanaan waktu bekerja selama 4 hari seminggu bukanlah pertama kali dilakukan. Pada tahun 2018, sebuah syarikat di New Zealand pernah mencuba melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan oleh Microsoft Jepun. Eksperimen lain yang direkodkan dalam Harvard Business Review turut menunjukkan bahawa waktu kerja 6 jam sehari mampu menggalakkan produktiviti pekerja.
Ini disebabkan oleh waktu kerja panjang dan juga tugas kerja yang mampu membuatkan anda berasa letih, stres dan terbelenggu. Stres yang berlarutan akan memberikan kesan buruk terhadap keadaan fizikal dan psikologi sehingga anda tidak mampu untuk bekerja secara optimum.
Waktu kerja 4 hari seminggu mampu meningkatkan produktiviti kerana perubahan ini membantu mengurangkan tahap stres pekerja. Pekerja juga boleh beristirahat dan melakukan aktiviti yang digemari memandangkan mereka memiliki waktu hujung minggu yang lebih panjang.
Apabila kembali ke tempat kerja, tubuh anda kembali diisi dengan tenaga sehingga anda mampu bekerja dengan lebih produktif. Berbanding menikmati cuti panjang setiap tahun, cuti hujung minggu selama tiga hari dinilai mampu memberikan manfaat yang lebih besar kepada pekerja dan juga syarikat.
Waktu kerja yang panjang boleh meningkatkan tahap stres seseorang individu dan sememangnya akan turut memberi kesan terhadap produktiviti. Dengan mengamalkan hari bekerja yang lebih pendek, syarikat secara tidak langsung telah menggalakkan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan pekerja mereka.