Mata atau urat mata merah bukan sahaja akan menyebabkan ketidakselesaan, rasa sakit yang datang sekali dengannya juga akan membuatkan kita sukar untuk melakukan aktiviti harian.
Walau bagaimanapun, apakah yang menyebabkan mata jadi merah? Adakah disebabkan masa di hadapan skrin yang terlalu lama atau tanda penyakit?
Mata yang berwarna merah atau bloodshot eyes merupakan satu kondisi ringan yang tidak perlu dirisaukan. Tetapi, jika ia berlaku sekali dengan sakit mata dan masalah penglihatan, ini mungkin tanda penyakit yang serius.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mata, sila dapatkan di sini.
Apakah urat mata merah berbahaya?
Sebenarnya, ada banyak perkara yang menyebabkan mata menjadi merah dan sakit. Sebagai contoh:
1. Alahan menyebabkan sakit mata
Cuba ingat kembali kali terakhir anda keluar rumah. Adakah anda terdedah dengan terlalu banyak debunga, habuk dan debu? Jika ya, ini mungkin punca di sebalik sakit mata yang anda alami.
Sama juga jika anda tersalah makan dan terkena reaksi alergi. Simptom alahan seperti mata gatal dan kemerah-merahan selalunya akan berlaku sekali dengan simptom lain seperti hidung tersumbat, kerap bersin dan sebagainya.
Jika anda diserang alahan, doktor akan memberikan ubat dan juga titisan mata untuk merawat alahan yang anda alami. Lama-kelamaan, mata anda akan menjadi normal setelah alahan anda surut.
2. Urat mata merah disebabkan salur darah pecah
Pernah tak anda bangun pagi dan dapati bahagian putih pada mata anda mempunyai tompok berwarna merah?
Kondisi ini dikenali dengan nama subconjunctival hemorrhage dan selalunya berlaku tanpa membahayakan mata anda.
Punca sebenar subconjunctival hemorrhage tidak diketahui. Tetapi, ia boleh berlaku disebabkan batuk atau bersin yang teruk, terlalu lama memandang skrin atau selepas anda mengami muntah yang teruk.
Kadangkala, ia juga boleh berpunca disebabkan luka akibat menggosok mata terlalu kuat atau kemasukan objek asing ke dalam mata.
Walau bagaimanapun, kondisi ini selalunya akan pulih dengan sendirinya dalam masa beberapa hari. Namun, jangan sesekali abaikannya jika urat mata merah ini menyakitkan dan menyebabkan perubahan penglihatan.
3. Sakit mata disebabkan mata kering
Sukar nak melelapkan mata ketika tidur? Rasa mata macam berpasir dan sensasi ini makin teruk pada waktu malam?
Jika jawapan anda kepada kedua-dua soalan ini adalah ya, anda mungkin sedang mengalami mata kering!
Ramai orang mengalami mata kering dan ia bukanlah sesuatu yang serius. Selalunya, mata kering berlaku disebabkan cuaca yang sejuk, kering dan berangin.
Ia juga boleh berlaku kepada pemakai kanta lekap dan kepada mereka yang bekerja di hadapan komputer dalam satu tempoh masa yang panjang.
4. Urat mata merah disebabkan iritasi
Mata rasa gatal-gatal dan pandangan menjadi kabur?
Ini merupakan salah satu tanda iritasi pada bahagian mata. Kadangkala, kita tidak sedar ada ‘sesuatu’ yang masuk ke dalam mata kita.
Rawatan yang akan diberikan oleh doktor mungkin bergantung kepada penyebab iritasi tersebut. Walau bagaimanapun, anda mungkin perlu lebih berhati-hati jika memakai kanta lekap.
Jangkitan mata yang berlaku disebabkan pemakaian kanta lekap boleh menjadi serius sekelip mata. Malah, ia boleh bertukar menjadi ulser jika tidak dirawat dengan segera.
5. Pink eye atau conjunctivitis
Seperti namanya, pink eye akan menyebabkan bola mata menjadi merah. Selalunya, conjunctivitis berlaku pada sebelah mata dan akan merebak ke sebelah lagi dalam masa beberapa hari.
Selain itu, mereka yang menghidap pink eye juga akan kerap rasa pedih dan gatal-gatal pada kawasan mata.
Conjunctivitis merupakan penyakit mata yang mudah berjangkit. Oleh sebab itu, elakkan berkongsi tuala jika anda atau ahli keluarga anda menghidap penyakit mata ini.
Perlukah anda berjumpa doktor jika menghidap pink eye? Sudah tentu! Doktor akan memberikan ubat-ubatan mengikut jenis conjunctivitis yang anda alami.
Jangan berlengah lagi, jumpa doktor secepat mungkin!
Walaupun urat mata merah selalunya tidak memerlukan perhatian daripada doktor, namun ada kondisi tertentu yang perlu diperiksa oleh pakar secepat mungkin.
Malah, doktor juga menggalakkan anda untuk melakukan pemeriksaan jika anda tidak yakin tentang penyakit yang anda alami.
Kebanyakan sakit mata mempunyai simptom yang hampir sama. Oleh sebab itu, sukar untuk kita sebagai orang biasa untuk menentukan sama ada kondisi tersebut berbahaya ataupun tidak.
Bak kata pepatah, jangan sampai nasi menjadi bubur. Mata merupakan salah satu deria yang amat bernilai. Oleh sebab itu, jangan sesekali pandang remeh apabila mata menjadi merah atau sakit.
Selain itu, perhatikan juga simptom urat mata merah berikut:
- Mata merah menyala.
- Mata merah tapi sebelah sahaja.
- Bengkak pada kawasan kelopak mata.
- Sakit pada bola mata.
- Perubahan dari segi penglihatan.
- Lebih sensitif terhadap cahaya.
Semua simptom di atas merupakan tanda penyakit mata yang serius. Berjumpalah doktor dengan kadar yang segera untuk mengenal pasti apakah penyakit sebenar di sebalik simptom yang anda alami.