backup og meta

Jangan Semberono Pakai Kanta Lekap! Aspek Penjagaan & Kebersihan WAJIB Dititikberatkan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 08/09/2022

    Jangan Semberono Pakai Kanta Lekap! Aspek Penjagaan & Kebersihan WAJIB Dititikberatkan

    Rutin pemakaian kanta lekap harian anda mungkin tidak pernah menimbulkan sebarang masalah. Tetapi pakar mengatakan, amalan cara pakai lens yang salah berisiko ancam kesihatan mata!

    Lebih daripada 40 juta rakyat Amerika memakai kanta lekap, dan sebanyak 90% daripadanya tidak mengikuti arahan penjagaan yang betul, menurut U.S. Centers for Disease Control and Prevention (CDC).

    Pembersihan yang salah berserta tabiat buruk lain dapat memicu pelbagai masalah, termasuk kerengsaan dan jangkitan mata!

    Mari ikuti kupasan ini kerana penulis bakal berkongsi amalan penjagaan, pembersihan dan cara pakai lens yang betul.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mata, sila dapatkannya di sini.

    Pemakaian kanta lekap, perkara yang harus diamal & ditegah

    Walaupun cara pakai lens adalah cukup ringkas, faktor penjagaan dan kebersihan di sebalik penggunaannya sangat perlu dititikberatkan.

    Demikian adalah aspek-aspek yang wajib diamalkan serta dielakkan dalam pemakaian kanta lekap.

    #1 Jangan pakai kanta lekap melebihi masa penggunaan yang disyorkan

    Sesetengah orang memakai contact lens hinggalah mereka merasa sudah tiba saatnya untuk diganti.

    Salah sekali pemikiran ini! Jika kalian menggunakan kanta lekap melebihi masa yang disyorkan, masalah mata boleh berlaku.

    Contohnya, kornea mata berupaya mengalami kesan calar atau pengumpulan bakteria di bahagian dalam kanta.

    Pakar oftalmologi, Dr. Jeffrey Goshe menjelaskan, penggunaan kanta lekap tertakluk kepada tempoh masa ditetapkan.

    Jika contact lens kalian perlu diganti setiap 2 minggu, maka pengguna harus akur.

    #2 Usah abaikan tanda-tanda jangkitan

    Jika anda mengalami rasa sakit, kemerahan, penglihatan semakin kabur atau kepekaan terhadap cahaya, ini mungkin antara tanda jangkitan mata yang memerlukan perhatian perubatan, kata Dr. Goshe.

    Secara umumnya, jika salah satu daripada gejala ini berlangsung lebih dari 24 jam, maka sudah tiba masanya untuk menemui pakar mata secepat mungkin.

    Sekiranya rawatan awal dilakukan, kebanyakan isu berkaitan kanta lekap tidak akan menyebabkan masalah penglihatan berjangka panjang, tambah Dr. Goshe.

    Namun dalam kes yang parah, kesan parut, kualiti penglihatan berkurangan, atau bahkan, kebutaan berisiko terjadi!

    #3 Cuci kanta lekap dan bekas dengan betul

    Peringatan, jangan sekali-kali membilas contact lens anda dengan air paip atau cecair lain selain larutan pencucinya!

    Ini kerana air paip bersifat tidak steril dan mungkin mengandungi organisma yang mampu memicu jangkitan yang sangat teruk.

    Kanta lekap harus dibersihkan dengan larutannya yang khusus, mengikut arahan yang diberikan oleh pengeluar.

    Selain itu, pastikan untuk membersihkan dan mengeringkan bekas kanta lekap setiap hari, kemudian isi dengan larutan yang baharu.

    #4 JANGAN tidur dengan contact lens!

    Ya, pada hari-hari yang memenatkan, nak keluarkan kanta lekap daripada mata pun terasa renyah, kan?

    Namun, tidak kiralah sepenat mana pun anda, ketahuilah tidur bersama contact lens mampu mengundang masalah besar!

    Ia berupaya mengurangkan aliran oksigen ke mata dan meningkatkan risiko jangkitan.

    Walaupun jenama yang dibeli mungkin mengatakan ia selamat untuk dipakai saat tidur, namun hampir setiap kajian mengenai jangkitan kanta lekap mengesahkan hubungan yang kuat antara risiko jangkitan dan jika tidur memakainya.

    #5 Elak menambahkan larutan, tukar air baharu dengan kerap

    Sentiasa gunakan larutan yang baharu apabila ingin menyimpan kanta lekap yang telah dipakai.

    Menambah air baharu ke dalam larutan lama yang sedia ada telah dikaitkan dengan kes Acanthamoeba keratitis, jangkitan yang jarang berlaku tetapi menyakitkan dan sukar dirawat.

    #6 Temui doktor mata dengan kerap

    Walaupun mata anda terasa elok saja, janji temu masih perlu dibuat, kata Dr. Jeffrey Walline, Ketua Bahagian Kanta Lekap dan Kornea Persatuan Optometri Amerika, dan Dekan di Ohio State University College of Optometry, Columbus.

    Kadangkala, masalah berkaitan kanta lekap dapat dikenal pasti semasa pemeriksaan rutin, sebelum mata mula alami ketidakselesaan.

    Tambah Dr. Walline, jika mata jadi berair, gatal-gatal atau kemerahan, segera keluarkan kanta lekap anda sebelum ia bertambah parah!

    #7 Jangan beli contact lens tanpa preskripsi

    Kanta Lekap Penjagaan Dan Risiko Pemakaiannya - cara pemakaian

    Disebabkan kanta lekap dihasilkan dengan warna dan corak yang pelbagai, kebanyakan orang membeli jenis tanpa power sebagai aksesori mata.

    Mereka beranggapan, membeli kanta lekap tanpa power juga tidak memerlukan sebarang preskripsi daripada pakar mata, andaian ini ternyata salah ya pembaca sekalian.

    Menurut Dr. Pamela Lowe, Ahli Majlis Bahagian Kanta Lekap dan Kornea Persatuan Optometrik Amerika, permukaan mata setiap manusia bersifat unik.

    Maka, sebarang jenis kanta lekap sama ada yang hiasan atau preskriptif, perlu dinilai oleh doktor mata sebelum dipakai.

    Konklusi

    Akhir kata, tanpa mengamalkan tahap pembersihan seperti yang penulis kupaskan di atas, risiko jangkitan mata tidak mustahil berlaku.

    Mata adalah organ penting dan sensitif, yang memerlukan penjagaan dengan teliti.

    Ingat, pemakaian kanta lekap datang dengan tanggungjawab yang besar, jangan sesekali ambil mudah okey!

    Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan atau kebimbangan, rujuk doktor atau pakar mata berdekatan untuk memperolehi maklumat yang diperlukan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 08/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan