Jangkitan konjunktivitis adalah kemerahan dan keradangan pada membran yang melapisi bahagian putih pada mata dan juga membran pada bahagian kelopak mata.
Disemak secara perubatan oleh Dr. Amy Kor · Dokter Umum · Hello Health Group
Jangkitan konjunktivitis adalah kemerahan dan keradangan pada membran yang melapisi bahagian putih pada mata dan juga membran pada bahagian kelopak mata.
Ia biasa berlaku disebabkan virus atau jangkitan bakteria. Walau bagaimanapun, masalah alahan, agen kimia dan penyakit tertentu juga boleh menjadi antara faktornya.
Virus dan bakteria konjunktivitis atau dikenali sebagai Pinkeye, sangat mudah berjangkit. Ia boleh merebak melalui proses mencuci tangan yang tidak bersih atau dengan berkongsi objek seperti tuala dengan individu yang mempunyai masalah kesihatan ini. Malahan, ia boleh tersebar melalui batuk dan bersin.
Kanak-kanak yang didiagnosis dengan konjunktivitis tidak seharusnya bersekolah atau berada di pusat penjagaan untuk tempoh masa tertentu.
Bagi konjunktivitis yang disebabkan alahan; minyak wangi, kosmetik, bulu haiwan atau makanan, ataupun konjunktivitis kimia; bahan kimia atau cecair termasuk peluntur atau pengilat perabot, ia tidak akan berjangkit.
Kemerahan pada mata adalah antara tanda biasa yang boleh dilihat. Pinkeye adalah satu masalah yang biasanya tidak mendatang kesan serius dan mungkin tidak akan menyebabkan kerosakan mata atau gangguan penglihatan untuk tempoh jangka masa panjang jika ia dikesan dan diberi rawatan segera.
Ia biasanya bermula pada sebelah mata dan merebak ke mata sebelah dalam masa beberapa hari disertai dengan rasa kegatalan. Kelopak mata yang bengkak biasanya terjadi untuk konjunktivitis disebabkan bakteria dan alahan.
Konjunktivitis turut akan menyebabkan penghasilan air mata yang lebih berbanding biasa.
Anda pasti akan mengetahui tentang simptom ini apabila anda merasainya sendiri; rasa gatal yang tidak dapat ditahan dan rasa terbakar pada mata.
Ketika mata anda dijangkiti konjunktivitis, akan mengalir cecair jernih yang disebabkan virus dan alahan. Namun, jika cecair itu berlebihan dan berwarna kuning-kehijauan, ia biasanya disebabkan konjunktivitis bakteria.
Jika anda bangun dari tidur dan merasakan mata anda seperti tidak boleh dibuka, ia mungkin disebabkan cecair terkumpul yang dikeluarkan oleh mata ketika anda tidur.
Konjunktivitis akan membuatkan mata anda lebih sensitif kepada cahaya.
Anda mungkin merasakan seperti ada sesuatu yang berada dalam mata anda. Dan bagi kanak-kanak, mereka mungkin akan merasakan seperti ada pasir dalam mata.
Individu yang mempunyai simptom yang teruk, seperti gangguan pada penglihatan, sensitiviti yang teruk pada cahaya, atau kesakitan yang teramat sangat, mungkin berdepan dengan masalah jangkitan lain dan perlu mendapatkan pemeriksaan doktor.
Jangkitan konjunktivitis yang berpanjangan disebabkan alahan atau jangkitan teruk memerlukan rawatan. Kelopak mata yang bengkak mungkin dijangkiti penyakit blepharitis (jangkitan kecil pada bulu mata), atau masalah kornea yang disebabkan mata kering.
Ia jarang untuk berlaku, tetapi, konjunktivitis juga boleh menjadi tanda kepada penyakit seperti arthritis rheumatoid, systemic lupus erythematosus (lupus), atau penyakit radang usus seperti kolitis ulseratif dan penyakit Crohn.
Konjunktivitis juga boleh terjadi pada penyakit Kawasaki – penyakit yang jarang berlaku, berkaitan dengan demam pada bayi dan kanak-kanak.
Jika anda atau anak anda mendapat jangkitan konjunktivitis ini, elakkan dari menyentuh bahagian mata, dan basuh tangan anda sekerap yang boleh, terutamanya apabila anda meletakkan ubat pada kawasan berjangkit.
Jangan berkongsi tuala atau sapu tangan, dan buang terus tisu yang telah digunakan. Tukar cadar dan tuala setiap hari. Bersihkan semua permukaan yang boleh terdedah kepada jangkitan. Buang semua barang kosmetik yang digunakan ketika terkena jangkitan ini.
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen