backup og meta

Biasa Muncul Di Luar Kelopak, Tahukah Anda Ada Juga Ketumbit Dalam Mata?

Biasa Muncul Di Luar Kelopak, Tahukah Anda Ada Juga Ketumbit Dalam Mata?

Kami yakin bahawa hampir kesemua orang pernah mengalami masalah ini di kelopak namun tidak tahu jika wujud juga masalah ketumbit dalam mata.

Kondisi ini sudah tentu menyebabkan penderita mulai rasa tidak selesa serta tidak yakin dengan penampilan yang juga akan menjejaskan penglihatan.

Jadi, jom sama-sama kita ikuti artikel ini dengan lebih lanjut untuk memahami apa sebenarnya ketumbit di mata yang sangat mengganggu ini.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mata, sila dapatkannya di sini.

Apa itu kondisi ketumbit?

Untuk pengetahuan anda, ketumbit (stye) adalah sejenis kondisi di mana wujud benjolan atau ketulan seakan jerawat yang muncul pada kawasan kelopak mata.

Kondisi ini sering kali dikaitkan dengan tabiat mengintai namun tentu sekali ia tidak ada kena-mengena dengan keadaan kesihatan ini.

Ia boleh terjadi pada kawasan kelopak mata tidak kira di luar, dalam, atas dan bawah bahagian tersebut lantas menyebabkan ketidakselesaan.

ketumbit dalam mata

Terdapat dua jenis ketumbit utama yang mungkin boleh terjadi kepada anda iaitu:

Hordeolum

Ia berlaku disebabkan oleh jangkitan kuman bernama Staphylococcus aureus pada 3 kawasan kelopak mata yakni kelenjar Zeis, Moll, dan Meibom.

Jangkitan pada kelenjar Zeis dan Moll akan mengakibatkan kondisi bernama Hordeolum Eksternal yang akan menyebabkan ketumbit pada luar kawasan kelopak mata.

Manakala jangkitan pada kelenjar Meibom pula akan menyebabkan kondisi bernama Hordeolum Internal yang akan mengakibatkan ketumbit dalam mata.

Kebiasaannya, jangkitan kuman pada kelopak mata ini akan menyebabkan rasa sakit, pedih dan gatal selain dipenuhi dengan nanah.

Chalazion

Ia berlaku disebabkan oleh kelenjar minyak yang terdapat pada kelopak mata menjadi tersumbat tanpa adanya sebarang jangkitan kuman.

Penyumbatan tersebut seterusnya akan menyebabkan isi minyak dalam kelenjar terkumpul dan mendorong keradangan pada kelopak mata.

Tidak sama seperti jenis Hordeolum, kondisi ini tidak akan mendatangkan rasa sakit, pedih dan gatal namun masih memerlukan rawatan lanjutan.

Bagaimana pula dengan ketumbit dalam mata?

Jika masalah ini berlaku di dalam kelopak mata, maka yang terjadi kepada anda adalah kondisi bernama Hordeolum Internal.

Meskipun sangat jarang berlaku, ia lebih berbahaya berbanding Hordeolum Eksternal kerana kedudukannya yang lebih dekat dengan mata.

Kondisi ini boleh berlaku pada dalam kelopak mata tidak kira pada bahagian atas atau bawah serta kedua-duanya sekali secara serentak.

Berikut adalah simptom-simptom berlakunya masalah ini di bahagian dalam kelopak mata:

  • Sukar melihat ketumbit dengan jelas
  • Bengkak pada kawasan hujung bulu mata
  • Bengkak pada kawasan dalam kelopak mata
  • Mata menjadi sakit dan pedih
  • Mata menjadi bengkak
  • Mata menjadi gatal
  • Mata menjadi berair
  • Rasa seperti ada sesuatu dalam mata
  • Penglihatan terjejas

Persoalannya, apakah punca sebenar kondisi ini berlaku dalam mata? Adakah ia sama dengan sebab ia berlaku pada luar kelopak mata?

ketumbit dalam mata

Apa punca sebenar ketumbit dalam mata terjadi?

Seperti mana yang telah kami nyatakan di atas tadi, ketumbit jenis ini berlaku disebabkan oleh jangkitan kuman bernama Staphylococcus aureus.

Bakteria ini akan menjangkiti kawasan kelopak mata Meibom yang merupakan tempat penghasilan minyak pada kelopak mata.

Bakteria ini mungkin datangnya daripada sinus pada hidung atau mulut yang tersebar pada mata sekali gus membawa jangkitan.

Dalam pada itu, ia juga mungkin boleh tersebar daripada penggunaan kanta lekap, cermin mata ataupun bulu mata palsu yang telah sedia terjangkit.

Namun kuman ini tidak boleh tersebar daripada seorang individu yang dijangkiti dengan individu lain hanya dengan kontak rapat.

Melainkan jika kontak rapat tersebut melibatkan sentuhan pada mata yang dijangkiti, ia mungkin boleh menyebabkannya.

Apa yang boleh anda lakukan untuk elak & rawat?

Berbeza dengan masalah yang berlaku pada luar kelopak, ketumbit dalam mata kebiasaannya akan lebih menyakitkan dan menjangkiti lebih lama.

Ia juga kadangkala boleh menjadi kronik terutamanya jika kuman tersebut merebak pada hidung, tekak, sinus dan mata sekali gus mendorong komplikasi lain.

Oleh itu, sesuatu mungkin perlu dilakukan dengan kadar segera untuk elak dan rawat kondisi ini.

ketumbit dalam mata

Pertama sekali, anda perlu terus berjumpa doktor untuk menjalankan diagnosis bagi menentukan jenis ketumbit yang dialami.

Ujian pada mata akan dilakukan dan kemudiannya anda mungkin akan diberikan ubatan atau rawatan bergantung pada jenisnya.

Sementara itu, wujud juga beberapa tip umum yang dikatakan boleh bantu rawat dan elak segala jenis ketumbit termasuklah dalam mata di rumah:

  • Jangan pernah picit ketumbit
  • Tuam dengan tuala suam
  • Tuam dengan beg teh
  • Sapu salap antibiotik
  • Urut dengan cermat dan perlahan
  • Cuci dengan air dan putik kapas
  • Elak menggunakan kanta lekap
  • Elak menggunakan alat solek

Untuk mengelakkan sebarang komplikasi lain akibat ketumbit dalam mata, segera jumpa doktor untuk rawatan lanjut okay!

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Stye, https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/17658-stye, Accessed Jul 25 2021.
  2. Stye, https://patient.info/eye-care/swollen-eyelid/stye, Accessed Jul 25 2021.
  3. What Are Chalazia and Styes?, https://www.aao.org/eye-health/diseases/what-are-chalazia-styes, Accessed Jul 25 2021.
  4. Hordeolum (stye), https://www.aoa.org/healthy-eyes/eye-and-vision-conditions/hordeolum?sso=y, Accessed Jul 25 2021.
  5. Hordeolum (Stye), https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/hordeolum-stye, Accessed Jul 25 2021.

Versi Terbaru

20/10/2022

Ditulis oleh Ahmad Farid

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Ketumbit Mata Gara-gara Mengintai?

Mata Bengkak Sebab Ketumbit? Ini Cara Merawatnya Di Rumah!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 20/10/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan