Hubungan seksual ialah satu aspek yang penting dalam rumah tangga. Ia boleh menjadi penguat hubungan jika berjalan dengan baik dan mungkin mampu menggangu keharmonian rumah tangga andai terdapat masalah. Jika perempuan selalu dipersalahkan apabila terkait dengan seks, lelaki juga sebenarnya kerap menjadi punca. Antara punca utama dalam kalangan lelaki ialah mati pucuk atau disfungsi erektil.
Apakah puncanya? Teruskan membaca.
1. Stres
Rangsangan seksual bermula daripada otak, bukan semata-mata sentuhan fizikal. Oleh itu, minda yang dalam keadaan tertekan atau stres akan menjejaskan prestasi semasa melakukan hubungan seksual. Pastikan anda mendapatkan rehat secukupnya dan dalam keadaan tenang untuk mendapatkan ereksi yang baik.
2. Ubat-ubatan
Terdapat beberapa ubat-ubatan yang boleh menjejaskan fungsi organ reproduktif anda. Ini termasuk sesetengah ubat darah tinggi, ubat tahan sakit, dan anti-depresi. Sila berbincang dengan doktor jika berkenaan kesan sampingan yang mungkin berlaku disebabkan oleh ubat-ubatan tersebut.
3. Marah
Marah boleh menyebabkan darah mengalir laju ke muka, tetapi tidak ke tempat yang anda perlukan semasa hubungan seksual. Bukan mudah untuk menjadi romantik dan menikmati suasana yang meningkatkan keinginan seksual semasa dalam keadaan marah sama ada terhadap pasangan anda atau orang lain.
4. Kebimbangan
Rasa bimbang sama ada anda akan berjaya membuatkan pasangan anda gembira semasa hubungan seksual atau tidak akan menggangu fokus. Kebimbangan lain di luar bilik tidur juga turut menjejaskan prestasi anda. Jangan terlalu fokus terhadap apa yang akan berlaku. Sebaliknya, nikmati proses tersebut.
5. Tahap kesihatan
Banyak kedaaan kesihatan yang boleh menjejaskan prestasi anda di dalam bilik tidur. Ini termasuk kencing manis, tekanan darah tinggi, aterosklerosis, dan penyakit yang melibatkan urat saraf.
6. Merokok
Amalan yang mungkin nampak ‘cool’ ini sebenarnya boleh membuatkan anda kecewa di dalam bilik. Merokok meningkatkan risiko salur darah menjadi sempit atau disebut sebagai aterosklerosis. Keadaan ini akan mengurangkan peredaran darah pada zakar yang sangat penting dalam proses ereksi.
Apa yang patut anda lakukan jika mengalami masalah mati pucuk?
Berikan masa kepada diri anda untuk rehat dan menenangkan fikiran. Tinggalkan amalan tidak sihat seperti merokok, hidup sendentari, dan pemakanan yang tidak sihat. Jika masih tidak berhasil, jangan malu untuk dapatkan nasihat perubatan daripada pakar.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, dagnosis atau rawatan.