Kanser prostat turut boleh menyebabkan masalah kesihatan lain yang boleh mempengaruhi tahap keyakinan individu seperti:
- Kadar penghasilan air mani yang rendah.
- Kurang subur.
- Masalah berkaitan dengan usus.
- Kencing tak lawas.
Keadaan ini boleh mempengaruhi nafsu seseorang berserta dengan prestasi seks.
Walau bagaimanapun, anda perlu tahu, bukan semua individu mengalami masalah seks kesan daripada rawatan.
Terdapat segelintir penghidap yang tidak perlu menjalani rawatan sekiranya perkembangan kanser mereka berlaku pada kadar yang perlahan.
Dalam tempoh masa tersebut, doktor akan membuat pantauan secara berkala.
Sekiranya individu terbabit mengalami masalah seksual walaupun tidak dipreskripsikan dengan sebarang rawatan, maka puncanya adalah daripada proses patologi kanser itu sendiri.
Pembedahan prostat dan lemah syahwat, adakah keduanya berkaitan?

Kadangkala, rawatan kanser prostat memerlukan pembuangan sebahagian besar atau keseluruhan organ tersebut untuk membasmi sel kanser.
Urat saraf yang mengawal kebolehan zakar untuk mengalami ereksi terletak berdekatan dengan kelenjar prostat.
Sekiranya berlaku kecederaan saraf ketika pembedahan sedang dilakukan, ia boleh menyebabkan masalah mati pucuk.
Situasi ini boleh membuatkan seseorang itu lemah syahwat untuk menjalinkan hubungan intim dengan pasangan masing-masing.
Bagi memastikan integriti saraf tersebut terpelihara, pakar bedah sering menggunakan kaedah prostatektomi (pembuangan prostat) tanpa mengganggu struktur saraf.
Namun, risiko yang bakal dialami oleh pesakit adalah bukan semua sel kanser dapat dibasmi tanpa melibatkan saraf tersebut.
Pembedahan prostat tanpa mengganggu integriti saraf tidak sesuai untuk semua individu.
Bergantung kepada tahap serius kanser yang dialami, jenis pembedahan yang bakal dijalankan perlu memberikan kesan baik yang optimum kepada pesakit.
Ini bermakna, ada segelintir pesakit yang terpaksa melalui kaedah pembedahan dengan risiko kecederaan pada saraf kemaluan sehingga boleh menyebabkan masalah mati pucuk.
Prosedur biopsi biasanya akan dilakukan bagi mengetahui lokasi kanser dengan lebih tepat.
Sekiranya, ia hanya berada pada sebelah bahagian prostat, maka saraf pada sebelah yang tidak mempunyai sel kanser boleh diselamatkan.
Kaedah rawatan lain seperti terapi krio, turut berkesan dalam membasmi sel kanser prostat.
Namun ia juga boleh menyebabkan kecederaan pada saraf kemaluan.
Tip mengatasi masalah lemah syahwat bagi pesakit kanser prostat

Terdapat beberapa langkah pencegahan dan tip yang boleh diamalkan oleh mereka yang mengalami kesukaran untuk membangkitkan perasaan berahi semasa hubungan intim dengan pasangan.
Antaranya adalah:
- Eksperimen dengan cara lain bagi merangsang keinginan untuk berhubungan intim seperti urutan syahwat. Bincang dengan pasangan anda jenis hubungan intim bukan seksual mana yang menjadi fantasi mereka.
- Usah gopoh. Beri masa untuk anda merangsang diri, terutamanya jika anda lemah syahwat. Kadangkala anda memerlukan lebih banyak rangsangan fizikal dan mental berbanding individu lain untuk mengekalkan ereksi.
- Guna ubat atau produk yang telah disahkan berkesan dan selamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Minta preskripsi sildenafil atau yang berkaitan dengannya daripada doktor.
- Guna cincin tekanan pada dasar penis bagi mengurangkan kesan kencing tidak lawas.
- Anda perlu tahu bahawa rawatan kanser prostat boleh menyebabkan penurunan pada jumlah penghasilan air mani. Kesannya anda akan kerap mengalami ejakulasi angin.
- Jika anda belum berkahwin atau mempunyai pasangan, beri masa untuk membiasakan diri dengan perubahan (masalah lemah syahwat) seperti yang dinyatakan di atas.
- Beri masa kepada diri anda sendiri. Boleh jadi anda sedang penat atau mengalami masalah lain yang membuatkan anda stres. Kebiasaannya, gangguan fungsi seksual akan hilang selepas stres anda berkurangan.
- Bincang dengan pasangan anda sekiranya ada masalah lain seperti lemah syahwat dan sebagainya.
- Amalkan gaya hidup sihat seperti makanan seimbang dan senaman secara berkala.
Konklusi
Jika anda mengalami masalah lemah syahwat selepas menjalani rawatan kanser prostat, anda perlu berbincang dengan doktor bagi mengenal pasti puncanya.
Berdasarkan kepada maklumat tersebut, barulah anda akan lebih jelas berkenaan dengan apa yang anda perlu lakukan.
Setiap individu mempunyai pendekatan yang berbeza apabila ia berkaitan dengan rangsangan syahwat terutamanya jika ia terkesan akibat daripada rawatan kanser.