backup og meta

Katanya, Bersunat Boleh Mencegah Penyebaran Sakit Kelamin, Fakta @ Auta?

Katanya, Bersunat Boleh Mencegah Penyebaran Sakit Kelamin, Fakta @ Auta?

Bersunat atau berkhatan lelaki adalah 1 prosedur yang dijalankan untuk memotong kulup zakar.

Tidak hanya dilakukan oleh orang beragama Islam, malah ia turut menjadi amalan wajib bagi beberapa agama lain di seluruh pelosok dunia.

Ternyata, terdapat banyak manfaat dan kebaikan berkhatan lelaki dan antara yang kerap diperkatakan adalah mencegah penyebaran jangkitan penyakit kelamin (STD)!

Namun, sejauh mana kebenarannya? Wujudkah sebarang bukti saintifik yang dapat menyokong dakwaan ini?

Jika berminat untuk mengetahui jawapannya, teruskan membaca, okey?

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki, sila dapatkannya di sini.

Berkhatan lelaki, apa ertinya?

Seperti yang telah penulis sebutkan di atas, bersunat melibatkan penyingkiran kulup zakar.

Apa itu kulup zakar? Kulup merupakan lebihan kulit lembut yang menutupi kepala zakar.

Berkhatan lelaki sering dilakukan oleh pakar pediatrik, pakar obstetrik, doktor perubatan keluarga, pakar bedah, atau pakar urologi.

Bagi yang bersunat atas sebab agama kadangkala akan dilakukan oleh individu yang terlatih.

Untuk berkhatan buat bayi yang baru lahir, si comel akan berbaring dengan tangan dan kakinya dipegang kemas.

Anestetik pula akan diberikan melalui suntikan atau krim untuk membuatkan zakar kebas.

Terdapat beberapa teknik berkhatan lelaki dan pemilihan teknik yang digunakan bakal bergantung pada pilihan dan pengalaman doktor.

Mari kita terus ke persoalan utama artikel ini, adakah berkhatan lelaki boleh mencegah risiko STD?

Bersunat & risiko jangkitan kelamin

Menurut kajian, lelaki yang telah bersunat mempunyai risiko herpes kemaluan 25% lebih rendah.

Di samping itu, risiko HPV yang menyebabkan ketuat genital dan kanser turut berkurangan sebanyak 35%!

Data tersebut berasal daripada sebuah kajian di Uganda yang telah menunjukkan bahawa berkhatan lelaki berkesan dalam mengurangkan risiko seseorang dijangkiti HIV melalui hubungan seks heteroseksual.

Kajian berdurasi 2 tahun yang dijalankan oleh penyelidik Dr. Johns Hopkins Aaron A.R. Tobian dan rakan sekerjanya telah mendapati hampir 3,400 lelaki negatif terhadap HSV-2, sejenis virus herpes kemaluan.

Penemuan ini menunjukkan kaedah bersunat harus diterima sebagai intervensi yang efektif dalam mengurangkan jangkitan heteroseksual HSV-2, HPV, dan HIV dalam kalangan lelaki remaja dan dewasa.

Namun, harus ditekankan bahawa perlindungan hanyalah sebahagian daripadanya.

Jadi, adalah penting untuk mempromosikan amalan seks yang selamat dengan perlindungan menggunakan kaedah pencegah kehamilan seperti kondom.

Simptom STD bagi wanita dan lelaki.
Simptom STD bagi wanita dan lelaki.

Kajian itu juga tidak menunjukkan sama ada bersunat mempunyai kesan terhadap penularan HIV homoseksual atau penyakit STD yang lain.

Pun begitu, beberapa kajian menunjukkan lelaki yang disunat mungkin berisiko rendah untuk dijangkiti sifilis, tetapi kajian Tobian tidak menemukan sebarang bukti yang dapat menyokong tuntutan ini.

Bahkan, kadar penyebaran sifilis dalam kajian ini sama sahaja dalam kalangan lelaki yang disunat dan sebaliknya.

Walaupun begitu, lelaki yang telah dikhatankan dalam kajian ini ternyata mempunyai kadar jangkitan ulser kemaluan yang lebih sedikit!

Tapi, bagaimana berkhatan lelaki dapat mencegah STD? Ini jawapannya, iaitu dengan 3 cara berikut:

  1. Lapisan mukosa kulup memungkinkan kuman untuk menembusi sel kulit di dalamnya.
  2. Apabila kulup disingkirkan, kulit yang menutupi kepala zakar akan menjadi lebih utuh. Faktor ini boleh bertindak sebagai pelindung daripada risiko microtears semasa berhubungan seks, yang dapat menjadi punca dijangkiti kuman.
  3. Selepas berhubungan seks, kulup berisiko memanjangkan masa kulit yang rengsa untuk terdedah kepada kuman.

Selain melindungi diri sendiri, lelaki berkhatan juga mungkin dapat memberi perlindungan kepada pasangan seks mereka.

Data kajian terdahulu pula menunjukkan, wanita monogami yang bersama dengan lelaki yang disunat hanya memiliki separuh risiko kanser serviks berbanding wanita dengan pasangan yang tidak dikhatankan. Menarik, bukan?

Selain itu, kajian Tobian turut menunjukkan berkhatan berpotensi mengurangkan risiko penularan HPV, virus yang boleh memicu kanser serviks!

Banyak juga manfaat berkhatan, kan?

Bagi lelaki atau ibu bapa yang berhasrat untuk mengkhatankan anak mereka, berikut adalah perkara-perkara yang perlu anda ambil cakna.

Pasca-berkhatan dan pemulihan

Berkhatan semasa bayi adalah dibolehkan.
Berkhatan semasa bayi adalah dibolehkan.

Selepas prosedur, bayi anda mungkin akan meragam dek kerana rasa sakit bersunat.

Usah risau, doktor atau jururawat akan memberikan arahan spesifik untuk mengurangkan ketidakselesaan si comel.

Waktu penyembuhan berkhatan bagi bayi yang baru lahir adalah sekitar 7 hingga 10 hari.

Sekiranya zakar kelihatan sedikit merah atau lebam, jangan panik kerana ia adalah normal bagi tempoh beberapa hari selepas berkhatan.

Anda boleh mencuci zakar dan menukar pakaian bayi dengan setiap pertukaran lampin.

Pastikan juga lampin sedikit longgar untuk memberi ruang kepala zakar untuk sembuh.

Bagi lelaki dewasa pula, doktor akan memberikan anda arahan khusus mengenai cara merawat potongan dan mengurangkan kesakitan dialami.

Secara umumnya, anda sudah boleh kembali bekerja dan melakukan aktiviti harian seperti biasa apabila berasa selesa.

Peringatan! Elakkan senaman berat, seperti berjoging atau mengangkat berat selama 4 minggu pertama pemulihan atau sehingga mendapat persetujuan  doktor ya!

Dapat kita lihat, selain menjadi tuntutan agama, berkhatan lelaki juga berupaya mengurangkan risiko seseorang dijangkiti penyakit kelamin!

Jadi, bagi mereka yang menyimpan hasrat untuk menjalani prosedur ini, pastikan untuk melakukan konsultasi bersama doktor bertauliah terlebih dahulu okey!

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/ConditionsAndTreatments/circumcision
  2. http://www.myhealth.gov.my/berkhatan/
  3. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2907642/#:~:text=In%20an%20evaluation%20of%20multiple,CI%2C%200.28%2D0.99).
  4. https://www.frontiersin.org/articles/10.3389/fpubh.2019.00004/full
  5. https://www.frontiersin.org/articles/10.3389/fpubh.2019.00004/full

Versi Terbaru

06/11/2024

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Siti Fatihah


Artikel Berkaitan

Tahan Nafsu Jika Dijangkiti Herpes, Betul Ke Tak Boleh Bersama Pasangan? Ini Jawapan Pakar!

Pasangan Gemar Lakukan Seks Dubur? Ini Petanda STD Pada Punggung Jika Suka 'Main Belakang'


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 2 minggu lalu

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan