Boleh ke ambil supplement untuk kencing manis? Bagi penghidap diabetes, pasti ramai yang ingin mengambil sebarang makanan tambahan yang dapat membantu mengawal kadar gula dalam darah. Walau bagaimanapun, bukan semua suplemen untuk kencing manis selamat diambil!
Pengambilan suplemen mungkin datang dengan kesan sampingan yang tidak diingini, lebih-lebih lagi jika ia bertindak balas dengan ubat-ubatan yang sedia ada.
Oleh sebab itu, penghidap diabetes yang ingin mengambil sebarang jenis makanan tambahan perlulah merujuk kepada doktor terlebih dahulu.
Bahan yang terkandung di dalam suplemen boleh menyebabkan hipoglisemia, turut dikenali sebagai kadar gula dalam darah rendah. Malah, ada juga yang mengalami kesan sebaliknya daripada pengambilan suplemen ini.
Jika anda ingin tahu lebih lanjut mengenai pengambilan suplemen untuk kencing manis, jom ikuti penerangan kami dalam artikel di bawah.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kencing Manis, anda boleh klik di sini.
5 jenis supplement untuk kencing manis
Buat masa ini, masih belum ada sebarang kajian yang membuktikan bahawa pengambilan suplemen boleh mengurangkan simptom kencing manis.
Malah, tidak ada sebarang ubat yang boleh memulihkan diabetes. Jadi, berhati-hati sebelum membeli sebarang ubat atau suplemen yang kononnya dapat menjadi penawar kencing manis.
Ada beberapa jenis suplemen yang mungkin dapat membantu mengawal kadar gula dalam darah, sesuai untuk penghidap kencing manis. Antaranya ialah:
1. Kromium
Kekurangan kromium mungkin boleh menyebabkan peningkatan kadar gula dalam darah.
Menurut sebuah kajian yang dilakukan pada tahun 2014 terhadap 1,600 orang pesakit diabetes, suplemen yang mengandungi kromium mungkin dapat membantu menurunkan kadar gula dalam darah.
Walau bagaimanapun, ada banyak kesan sampingan yang negatif daripada pengambilan kromium. Antaranya ialah kerosakan buah pinggang, masalah kulit dan juga otot.
Benar, kekurangan kromium boleh menjurus kepada diabetes. Walau bagaimanapun, suplemen ini mungkin berkesan jika anda benar-benar kekurangan kromium; satu masalah kesihatan yang sangat jarang berlaku.
Anda mungkin berminat:
- Rahsia Gula Darah Terkawal, Penghidap Kencing Manis MESTI Amal Diet Terapeutik!
- Ini 10 Mitos Selalu Orang Dengar Mengenai Suntikan Insulin Diabetes, No. 2 Paling Ramai Percaya!
Supplement untuk kencing manis #2. Magnesium
Sama seperti kromium, kekurangan magnesium juga boleh menjadi punca kencing manis. Walau bagaimanapun, anda mungkin tidak perlukan suplemen untuk kencing manis.
Magnesium boleh ditemui di dalam pelbagai jenis makanan, terutamanya kekacang dan juga sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam. Magnesium merupakan nutrisi yang sangat penting untuk membantu badan memproses glukosa.
Ada banyak kajian yang telah dijalankan untuk mengkaji hubungan antara magnesium dan kencing manis. Walau bagaimanapun, kajian yang dilakukan selalunya bersaiz kecil dan tidak konklusif.
Pengambilan dos magnesium yang tinggi, lebih daripada 5,000 mg sehari boleh membawa maut. Jadi, hati-hatilah jika anda ingin mengambil magnesium. Ia juga boleh menyebabkan kesan sampingan seperti cirit-birit dan kejang perut.
3. Asid lemak omega-3
Menurut sebuah kajian, pengambilan asid lemak omega-3 sebagai supplement untuk kencing manis mungkin dapat mengurangkan risiko diabetes.
Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian yang perlu dijalankan pada masa hadapan.
Ikan dan makanan laut lain mengandungi banyak asid lemak omega-3. Namun, tidak dinafikan, asid lemak omega-3 mempunyai banyak manfaat lain terhadap kesihatan.
Selalunya, suplemen ini tidak akan menyebabkan sebarang kesan sampingan. Jika ada pun, ia akan menmbuatkan mulut berbau, masalah penghadaman atau cirit-birit.
4. Asid alfa lipoik (ALA)
Asid alfa lipoik atau ALA mungkin dapat membantu pesakit neuropati diabetes.
Dalam sebuah kajian kecil, individu yang menghidap neuropati diabetes dapat mengurangkan kesakitan selepas mengambil suplemen ALA.
Walau bagaimanapun, individu yang mengalami kekurangan vitamin B1 mungkin akan menghadapi masalah kesihatan selepas mengambil ALA. Mereka yang sering minum alkohol juga tidak digalakkan mengambil ALA.
Sekiranya anda ingin mengambil sebarang supplement untuk kencing manis, dapatkan konsultasi daripada doktor terlebih dahulu.
5. Supplement untuk kencing manis lain
Kulit kayu manis telah digunakan secara turun-temurun untuk merawat diabetes.
Tidak dinafikan, ia mungkin dapat mengawal kadar gula dalam darah dan mempunyai beberapa kebaikan lain. Namun, ia tidak mempunyai sebarang kesan yang besar atau signifikan terhadap pesakit kencing manis.
Selenium, vitamin B1, C dan D juga dikatakan dapat membantu pesakit diabetes. Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang perlu dilakukan.
Pendek kata, diet yang sihat paling penting!
Walaupun supplement untuk kencing manis mungkin dapat membantu menurunkan kadar gula dalam darah, namun pemakanan yang sihat merupakan kunci untuk mengawalnya.
Malah, jika anda fokus pada diet yang sihat, sebarang komplikasi seperti neuropati diabetes dapat diatasi.
Tambahkan makanan yang kaya dengan pelbagai nutrisi tetapi rendah lemak dan kalori. Jangan lupa, makan lebih sayur dan buah. Pilih produk tenusu yang rendah lemak. Anda juga boleh makan daging atau ayam, tapi buang kulit dan lemaknya terlebih dahulu ya!
[embed-health-tool-bmi]