backup og meta

Jari Tangan Mengeras Hingga Sukar Gerak? Ini Tanda Sklerosis Digital!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 15/03/2022

    Jari Tangan Mengeras Hingga Sukar Gerak? Ini Tanda Sklerosis Digital!

    Kencing manis boleh mempengaruhi seluruh badan, termasuklah kawasan kulit pesakit. Kadangkala, sebarang masalah pada tangan atau badan seperti kulit jari tangan kering dan mengeras merupakan antara tanda awal diabetes yang perlu diperhatikan.

    Penyakit kulit seperti jangkitan bakteria, jangkitan kulat, gatal-gatal dan sebagainya merupakan sesuatu yang lazim dan boleh dialami oleh semua orang.

    Walau bagaimanapun, penghidap kencing manis mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit ini.

    Malah, ada juga beberapa jenis penyakit kulit yang berlaku khas kepada pesakit kencing manis. Salah satunya ialah sklerosis digital atau kulit jari tangan kering dan mengeras. 

    Apakah sklerosis digital?

    kulit jari tangan kering dan mengeras

    Keadaan ini berlaku apabila kulit jari tangan kering dan mengeras. Tekstur kulit juga akan bertukar menebal dan bersisik seakan-akan lilin.

    Pesakit diabetes tidak akan rasa sakit disebabkan sklerosis digital. Walau bagaimanapun, sensasi pada hujung jari mereka akan berkurangan.

    Penyakit ini selalunya akan bermula pada hujung jari dan boleh merebak ke seluruh tangan. Selalunya, sklerosis digital akan berlaku pada kedua-dua belah tangan.

    Kondisi ini juga boleh berlaku pada jari kaki dan juga kulit pada bahagian dahi.

    Lama-kelamaan, penghidap sklerosis digital tidak boleh menggerakkan jari mereka kerana sendi yang sudah mengeras. 

    Kawasan lutut, siku dan buku lali juga boleh menjadi keras dan sukar untuk digerakkan, namun kondisi ini lebih jarang berlaku.

    Selain itu, sklerosis digital juga sering terjadi bersama diabetic cheiroarthropathy, yang turut dikenali sebagai sindrom tangan mengeras. 

    Pesakit yang menghidap kedua-dua kondisi ini akan mengalami masalah untuk membengkokkan atau meluruskan jari.

    Sklerosis digital berlaku kepada hampir satu pertiga penghidap diabetes jenis 1. Satu-satunya cara untuk mencegahnya adalah dengan mengawal kadar gula dalam darah.

    Punca kulit jari tangan kering dan mengeras

    Sklerosis digital boleh terjadi disebabkan beberapa faktor. Walaupun begitu, punca sebenarnya masih belum dikenal pasti.

    Namun, pakar berpendapat, kerosakan pada pembuluh darah serta saraf di kawasan jari mungkin merupakan punca jari tangan pesakit diabetes mengeras dan tidak boleh dibengkokkan.

    Penghidap diabetes tidak boleh lari daripada kerosakan saraf. Tahap gula dalam darah yang tinggi akan menyebabkan kerosakan saraf yang dikenali sebagai neuropati diabetik.

    Pesakit kencing manis boleh memperlahankan neuropati diabetik dengan cara menjaga pemakanan dan menjalani gaya hidup yang sihat.

    Selain itu, proses glikolisasi juga mungkin merupakan punca sklerosis digital. 

    Glikolisasi merupakan satu proses yang menyebabkan molekul gula berlebihan melekat pada molekul protein, termasuklah kolagen pada kulit.

    Proses inilah yang menyebabkan kulit menjadi tebal dan sendi pada kulit jari tangan kering dan mengeras.

    Trigger finger salah satu tanda sklerosis digital

    kulit jari tangan kering dan mengeras

    Salah satu tanda sklerosis digital yang lazim ialah trigger finger, satu kondisi yang menyebabkan salah satu jari tangan tersekat dan tidak boleh dibengkokkan. Trigger finger turut dikenali dengan nama stenosing tenosynovitis.

    Trigger finger lazimnya berlaku kepada penghidap kencing manis.

    Walau bagaimanapun, individu yang bekerja atau mempunyai hobi yang memerlukan tangan untuk menggenggam dengan kerap mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami trigger finger.

    Antara tanda trigger finger ialah:

  •     Jari tangan rasa keras dan ketat, sukar untuk diluruskan, terutamanya pada waktu pagi.
  •     Bunyi ‘click’ atau ‘pop’ semasa menggerakkan jari.
  •     Rasa lembut atau munculnya ketulan (nodul) di bahagian dasar jari.
  •     Jari tangan ‘terkunci’ dan sukar untuk diluruskan semula.
  •     Salah satu jari tangan tidak boleh diluruskan langsung.
  • Trigger finger boleh berlaku pada mana-mana jari termasuklah ibu jari. 

    Malah, ia juga boleh berlaku pada 2 atau 3 jari dalam satu-satu masa. Kedua-dua tangan pesakit juga berpotensi untuk mengalami masalah yang sama.

    Siapa yang berisiko?

    kulit jari tangan kering dan mengeras

    Sklerosis digital dan komplikasi seperti trigger finger akan menjadi lebih lazim jika seorang pesakit itu menghidap diabetes dalam satu tempoh yang lama.

    Masalah ini juga lebih banyak berlaku kepada penghidap diabetes jenis 1 kerana mereka menghidap kencing manis dalam tempoh yang lebih panjang.

    Namun, pesakit diabetes jenis 2 juga mempunyai risiko untuk menghidap penyakit ini, lebih-lebih lagi jika mereka tidak menjaga makan dan jarang bersenam.

    Walaupun tiada penawar untuk masalah ini, terapi fizikal dapat membantu memudahkan pergerakan jari tangan.

    Selain itu, suntikan kortikosteroid juga dapat membantu mengurangkan rasa ketat serta inflamasi yang berlaku disebabkan trigger finger.

    Dalam sesetengah kes, pembedahan mungkin diperlukan untuk membetulkan tisu di kawasan tapak tangan untuk memperbaiki fungsi jari yang terkesan.

    Kesimpulan

    Sklerosis digital atau kulit jari tangan kering dan mengeras merupakan satu bentuk komplikasi jangka panjang yang berlaku apabila kadar gula dalam darah tidak dikawal dengan baik.

    Buat masa ini, masih belum ada penawar untuk masalah ini. Walau bagaimanapun, kondisi ini boleh dielakkan jika pesakit bijak mengawal kadar gula dalam darah.

    Dengan amalan gaya hidup yang sihat seperti bersenam dan makan makanan yang berkhasiat, pesakit diabetes boleh mengelakkan sklerosis digital ataupun komplikasi jangka panjang yang lain.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 15/03/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan