Selain menjaga pemakanan, pesakit kencing manis juga harus menitikberatkan penjagaan kaki. Tetapi adakah perlu untuk memakai kasut diabetes? Ikuti penjelasannya dalam artikel ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.
Kasut khas untuk pesakit diabetes
Individu yang menghidap diabetes boleh mengalami masalah dengan peredaran darah, saraf, imun dan kecacatan. Biasanya mereka akan alami lebih daripada satu keadaan dalam masa yang sama.
- Peredaran: Individu dengan keadaan ini tidak mempunyai bekalan darah beroksigen ke kaki, menyebabkan wujud kesukaran untuk menyembuhkan sebarang luka
- Saraf: Masalah saraf boleh menyebabkan lepuh dan selalunya pesakit tidak mengetahui mengenainya sehingga menanggalkan kasut
- Keimunan: Sesetengah pesakit diabetes kurang tindak balas terhadap sistem imun. Kesannya mereka mudah mendapat jangkitan daripada luka atau lepuh dan lebih sukar merawatnya
- Kecacatan bentuk: Pesakit diabetes boleh mengalami kecacatan pada bentuk kaki yang menjadikan ia sukar dimasukkan ke dalam kasut kerana risiko lepuh berkembang di kawasan tekanan tinggi
Oleh itu, memakai kasut khas untuk pesakit kencing manis adalah sangat penting.
Pakar ortopedik kaki dan buku lali boleh membantu memilih kasut diabetes yang bersesuaian dan mengesyorkan pengubahsuaian kasut bagi melindungi kaki.
Bagaimana kasut diabetes berfungsi?
Biasanya kasut akan diubahsuai oleh sekumpulan profesional yang dikenali sebagai pedorthotist.
Rekaan bentuk kasut akan mempunyai tapak kaki yang stabil dan dapat meratakan pengagihan berat pada kaki. Ia juga direka tanpa mempunyai sebarang jahitan di dalam kasut untuk mengelakkan daripada bergesel dengan kaki.
Terdapat beberapa faedah memakai kasut khas untuk pesakit kencing manis:
- Melegakan bahagian dengan tekanan tinggi pada kaki yang boleh menyebabkan kerosakan kaki. Kasut sepatutnya membantu melegakan tekanan ini dan mengurangkan risiko mengembangkan masalah lain yang berkaitan
- Dapat menurunkan tekanan menegak atau kejutan pada bahagian bawah kaki serta mengurangkan pergerakan mendatar kaki dalam kasut
- Boleh menampung, menstabilkan dan menyokong kecacatan – perubahan bentuk kaki, kehilangan tisu lemak, jari kaki tukul (hammer toe) dan amputasi. Ia perlu bagi melegakan kesakitan dan mengurangkan risiko perkembangan kecacatan
- Mengehadkan pergerakan sendi tertentu di kaki selalunya boleh mengurangkan keradangan, melegakan kesakitan dan menghasilkan kaki yang lebih stabil serta berfungsi
Tanda anda perlukan kasut diabetes
Jika bentuk kaki mula berubah atau anda melihat berlaku kerosakan kulit, kemerahan atau bengkak, lakukan pemeriksaan dengan pakar ortopedik kaki dan buku lali untuk penilaian.
Walau bagaimanapun, pemakaian kasut khas untuk pesakit kencing manis ini hanyalah sebagai salah satu kaedah yang mungkin dapat membantu selepas mengambil kira masalah perubatan yang lain dan pilihan rawatan tersedia.
Apabila wujud kebimbangan untuk ulser dan jangkitan, pakar ortopedik kaki dan buku lali mungkin akan mengesyorkan rawatan lain terlebih dahulu termasuklah penjagaan kulit dan pembedahan.
Baca juga: