Selalu tak anda cek kadar gula dalam darah? Ini kerana, Diabetes adalah antara penyakit yang paling banyak berlaku dalam kalangan penduduk dunia termasuklah di negara kita, Malaysia.
Menurut kajian terbaharu, kira-kira 3.9 juta individu berusia 18 tahun ke atas menghidap penyakit kencing manis di negara kita.
Cara paling ideal untuk mengawalnya adalah dengan menjaga pemakanan dan sentiasa kerap periksa kadar gula dalam darah di rumah.
Namun, bagaimana pula situasinya dengan pandemik COVID-19 ketika ini?
Usah berlengah lagi, jom sama-sama kita ikuti artikel ini dengan lebih lanjut!
Baca lebih lanjut tentang Kencing Manis di sini.
Kadar gula dalam darah – Apa itu diabetes?
Sebelum pergi dengan lebih mendalam lagi, adalah wajar untuk kita semua berkenalan dengan penyakit berbahaya ini terlebih dahulu.
Untuk pengetahuan anda, diabetes atau kencing manis adalah satu kondisi yang berlaku apabila kandungan gula dalam darah anda adalah tinggi berbanding kadar normal.
Ia mungkin tidak boleh dirawat namun boleh dikawal dengan cara menjaga pemakanan dan memeriksa kandungan gula dalam darah sekerap yang mungkin.
Jika tidak, akan berlaku pelbagai komplikasi yang tidak diingini dan antara yang paling ditakuti adalah amputasi, iaitu pemotongan anggota badan akibat mereput.
Dalam pada itu, tahukah kalian bahawa penyakit ini ada banyak jenis?
Sebelum tahu kadar dalam darah, fahami jenis penyakit kencing manis dahulu
Ya, kita tidak boleh mengandaikan bahawa diabetes hanya ada satu variasi kerana berikut adalah jenis-jenis penyakit kencing manis:
#1. Diabetes jenis 1
Ia berlaku akibat masalah autoimun yang disebabkan oleh tubuh badan yang menyerang organ pankreas sendiri dengan antibodi.
Akibatnya, pankreas tersebut akan rosak lantas tidak boleh menghasilkan insulin yang sangat penting untuk mengawal kadar gula dalam darah.
#2. Diabetes jenis 2
Ia berlaku akibat pankreas yang masih mampu menghasilkan insulin namun jumlahnya tidak mencukupi untuk keperluan tubuh badan.
Diabetes jenis ini cenderung untuk menjadi lebih teruk, malahan penghidapnya perlu sering mengambil ubat bagi mengawal paras gula dalam darah.
Baca juga:
-
Diagnosis Diabetes Jenis 2, WAJIB Buat Pemeriksaan Kesihatan Berkala
-
Nak Jaga Pesakit Diabetes Jenis 2 Bukan Sesuatu Yang Mudah, Cara Penjagaan Ini Perlu Anda Tahu
#3. Kencing manis gestasi
Kencing manis yang berlaku semasa mengandung dipanggil sebagai diabetes gestasi dan ia sering didiagnosis semasa pertengahan atau lewat kehamilan.
Oleh sebab tahap gula darah yang tinggi disalurkan melalui plasenta kepada bayi, ia haruslah dikawal untuk melindungi pertumbuhan dan perkembangan bayi.
Kebiasannya, ia akan pulih selepas tamat tempoh kehamilan.
#4. Diabetes di usia muda
Turut dikenali sebagai maturity onset diabetes of the young (MODY), ia adalah sejenis penyakit yang diwarisi.
Ia berpunca daripada perubahan salah satu daripada 11 gen di dalam tubuh individu dan kira-kira 5% daripada seluruh kes kencing manis disebabkan oleh MODY.
Seiring dengan penderita lain yang menghidap diabetes, individu yang didiagnosis dengan MODY juga mempunyai masalah untuk mengawal tahap gula darah mereka.
#5. Pradiabetes
Pradiabetes adalah satu keadaan di mana seseorang individu tersebut dikesan mempunyai tahap gula darah yang tinggi tetapi tidak berada dalam julat yang boleh diklasifikasikan sebagai menghidap diabetes.
Dalam erti kata yang lebih mudah, penderita kencing manis jenis ini adalah berisiko tinggi untuk menghidapi sebarang jenis diabetes kelak.
Bagi mereka yang dikesan berada dalam fasa pradiabetes, maka masih ada masa lagi untuk mereka mengawal diri daripada terus mendapat diabetes.
Periksa kadar gula dalam darah dengan kerap
Ya, ini adalah salah satu daripada inisiatif untuk mengawal kadar gula dalam darah atau glukosa bagi memastikan ia terkawal dan tidak terlalu tinggi.
Terdapat beberapa jenis ujian yang mungkin akan disarankan untuk dilakukan bersama doktor pakar antaranya:
- Ujian tahap gula dalam darah (GDS)
- Ujian puasa gula dalam darah (GDP)
- Ujian glukosa selama 2 minggu (GD2PP)
- Ujian toleransi glukosa lisan (TTGO)
- Hemoglobin A1c (HbA1c) atau glycohemoglobin
Persoalannya, bolehkah ia dilakukan di rumah? Ya, terutamanya ketika pandemik COVID-19 sedang melanda dan orang ramai tidak berani ke hospital!
Apa yang diperlukan hanyalah sebuah alat bernama glukometer yang perlu digunakan dengan cara yang betul agar bacaan glukosa anda itu adalah tepat.
Ini kesilapan apabila periksa gula darah di rumah
Apa yang membimbangkan adalah tidak semua individu tahu atau arif tentang tatacara penggunaan alat ini lantas membaca kadar yang salah.
Berikut adalah antara kesilapan apabila melakukan ujian pemeriksaan kadar gula dalam darah di rumah sendiri:
#1. Waktu
Ramai individu yang melakukannya pada waktu yang sama setiap hari dan ini adalah salah kerana ia perlu dilakukan pada masa yang berbeza.
#2. Jari
Pemeriksaan menggunakan hanya satu jari setiap kali dengan berulang adalah salah kerana ia hanya akan menyebabkan kesakitan dan kecederaan.
#3. Kepanjangan jarum
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa kepanjangan jarum glukometer boleh ditetapkan mengikut tahap ketebalan kulit jari yang ingin dicucuk dan ia adalah satu kesilapan besar.
#4. Ketahanan jarum
Ada yang menyangka bahawa jarum glukometer boleh bertahan lama lantas menggunakannya berulang kali. Ini juga cara yang salah kerana satu jarum hanya untuk satu jari sahaja.
#5. Sanitasi
Dalam kebanyakan pemeriksaan di rumah, penderita mungkin tidak akan mementingkan hal sanitasi lantas meningkatkan risiko terkena jangkitan kuman, bakteria atau virus.
Jadi, sila berwaspada ketika menggunakan glukometer untuk memeriksa kadar gula dalam darah ya?
#WorldDiabetesDay #NoTimeLikeNow #HelloDoktor
[embed-health-tool-bmi]