backup og meta

Sebagai Orang Asia, Anda Berisiko Kena Diabetes! Ambil Tahu Sebabnya, Klik Artikel Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 29/09/2022

    Sebagai Orang Asia, Anda Berisiko Kena Diabetes! Ambil Tahu Sebabnya, Klik Artikel Ini

    Ramai orang tahu perihal diabetes. Tetapi tahukah anda risiko kencing manis boleh berlaku kepada sesiapa tanpa mengira usia?

    Diabetes merupakan penyakit kronik yang dikaitkan dengan kandungan gula tinggi dalam darah menyebabkan individu mengalami simptom seperti kehausan, kerap kencing dan kelesuan.

    Walau bagaimanapun serius ke kencing manis ni? 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis sila dapatkannya di sini.

    Risiko kencing manis menjelang 2025 di Malaysia

    Malaysia merupakan negara yang mempunyai bilangan pesakit kencing manis tertinggi di rantau Asia.

    Pada tahun 2019, menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, 3.6 juta rakyat Malaysia telah didiagnosis dengan penyakit tersebut.

    Jumlah ini dijangkakan meningkat menjelang tahun 2025 kepada 7 juta individu.

    Peningkatan kepada anggaran jumlah tersebut melihat kepada beberapa faktor seperti insiden masalah obesiti dan berat badan berlebihan dalam kalangan rakyat Malaysia serta gaya hidup yang tidak aktif. 

    Baca juga:

    Masalah ini kian meruncing memandangkan mereka yang didiagnosis dengan kencing manis memerlukan rawatan jangka masa panjang yang menelan kos yang besar.

    Ia boleh mempengaruhi jumlah perbelanjaan negara, kualiti hidup rakyat secara menyeluruh dan peningkatan kepada insiden kecacatan kekal berikutan amputasi kaki yang terpaksa dilakukan bagi membendung masalah ini.

    Malaysia mempunyai sistem kesihatan yang dianggap sebagai terbaik di dunia.

    Kerajaan membelanjakan berbilion ringgit dalam menyediakan subsidi rawatan kesihatan di klinik dan hospital kerajaan bagi memastikan hak individu untuk mendapatkan rawatan tidak terbatas dek kekangan kewangan.

    Namun, dari segi kesembuhan dan pengawalan simptom, ia bergantung kepada pesakit tersebut.

    Tanpa kepatuhan terhadap ubat atau pelan pemakanan yang diberikan, keadaan pesakit akan terus menjadi bertambah buruk sehingga berlakunya komplikasi yang boleh mengancam nyawa.

    Risiko kencing manis 2x ganda buat orang Asia dan Hispanik di Amerika

    Salah satu daripada faktor risiko penting untuk seorang individu itu mendapat masalah diabetes adalah obesiti.

    Ia merupakan satu masalah kronik yang berpunca daripada pengambilan jumlah kalori secara berlebihan bersama dengan pengamalan gaya hidup tidak aktif.

    Di Amerika Syarikat, kajian yang dijalankan oleh Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) telah mendapati , mereka yang berketurunan Asia dan Hispanik mempunyai risiko dua kali ganda lebih tinggi untuk mendapat diabetes.

    risiko kencing manis

    Kencing manis dianggap sebagai pembunuh dalam diam. Majoriti mereka yang mempunyai masalah tersebut tidak tahu menahu akan hal itu menyebabkan proses penyakit berlarutan hingga ia menjadi semakin teruk.

    Menurut CDC, seramai 1.4 juta kes kencing manis didiagnosis di Amerika Syarikat setiap tahun.

    Apa yang lebih membimbangkan adalah dianggarkan 8.1 juta individu di Amerika tidak tahu berkenaan dengan status masalah kencing manis mereka.

    Ini merupakan satu perkara yang perlu diatasi memandangkan 90% daripada individu yang menghidap kencing manis jenis 2 boleh diubati dengan perubahan gaya hidup.

    Kelainan pada nilai BMI bagi orang Asia di serata dunia

    Jika anda sedar, risiko kencing manis serta penyakit kronik seperti penyakit jantung meningkat apabila nilai jisim berat badan (BMI) individu berada pada paras tidak normal.

    Ini disebabkan pelbagai jenis kajian menunjukkan peningkatan insiden penyakit kronik jika BMI individu berada di bawah paras normal (masalah kurang berat badan).

    Nilai ideal berada di antara 18.5 hingga 24.9 kg/m2. Namun tahukah anda, nilai tersebut tidak boleh diguna pakai dalam populasi orang Asia?

    Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat tiga faktor  menjadi sumber kepada perubahan nilai BMI bagi orang Asia.

    risiko kencing manis

    • Peningkatan risiko kencing manis jenis 2 dan penyakit kardiovaskular kalangan orang Asia yang mempunyai BMI di bawah 25 kg/m2
    • Terdapat bukti kajian yang menunjukkan bahawa kaitan di antara BMI, peratusan lemak badan dan distribusi lemak badan berbeza antara populasi. Orang Asia yang mempunyai BMI 24 kg/mmempunyai peratusan lemak badan yang lebih tinggi berbanding dengan populasi Eropah pada nilai BMI yang sama
    • Terdapat banyak cubaan bagi menyelaraskan nilai BMI penduduk populasi spesifik dengan nilai BMI yang ditetapkan oleh WHO. Ini jelas menunjukkan keperluan untuk menetapkan nilai BMI bagi populasi yang berbeza

    Walaupun jelas menunjukkan bahawa nilai BMI orang Asia berlainan berbanding dengan populasi lain, namun kebanyakan maklumat yang diberikan kepada populasi umum menggunakan nilai BMI yang tidak bersesuaian. 

    Akibatnya, majoriti individu Asia menggunakan 25.0 kg/m2 sebagai tanda aras bagi BMI normal walhal bagi populasi Asia, nilai tersebut sepatutnya berada pada tanda aras 22.9 kg/m2.

    Ambil tahu berkenaan dengan perkara ini dan nilai BMI boleh digunakan untuk mengetahui risiko seseorang mendapat penyakit kronik.

    Risiko kencing manis & Obesiti 

    Obesiti faktor risiko utama bagi kebanyakan penyakit kronik dan kanser tertentu.

    Pengambilan kalori berlebihan ditambah lagi dengan gaya hidup tidak aktif merupakan punca utama sukar dibendung dalam usaha untuk mewujudkan masyarakat sihat.

    Secara teorinya, apabila sel mempunyai terlalu banyak sumber tenaga glukosa untuk diproses, signal bagi mengurangkan reseptor insulin pada permukaan sel akan terbentuk.

    Ini merupakan asas kepada terbentuknya permasalahan berkaitan dengan kerintangan insulin.

    risiko kencing manis

    Perubahan gaya hidup elak risiko kencing manis

    Mereka didiagnosis dengan kencing manis pada tahap awal kebiasaannya tidak memerlukan ubat untuk mengawal kadar gula dalam darah.

    Apa yang perlu adalah perubahan corak pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat melalui senaman, tidur yang mencukupi dan penjagaan kesihatan mental.

    Malaysia bukan sahaja negara yang mempunyai pesakit diabetes tertinggi, ia juga digelar negara tergemuk di rantau Asia.

    Tidak pelik jika difikirkan secara logik, negara yang mempunyai kadar obesiti tertinggi kebiasaannya memegang rekod pesakit diabetes tertinggi pada masa sama.

    Oleh sebab orang Asia sangat terdedah untuk mendapat penyakit diabetes, saringan awal perlu dilakukan terutamanya bagi mereka yang mempunyai faktor risiko tertentu.

    Di Malaysia, bagi individu tidak mempunyai faktor risiko, mereka perlu menjalani ujian saringan diabetes seawal usia 30 tahun.

    Konklusi

    Kencing manis bukanlah satu penyakit kronik boleh dipandang ringan. Komplikasinya boleh mempengaruhi kualiti hidup individu dan menyebabkan kecacatan kekal.

    Jika anda mempunyai risiko kencing manis atau simptom seperti kerap kencing, kerap haus dan lesu, lakukan pemeriksaan doktor sekarang.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 29/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan