Buat pesakit diabetes, manfaat senaman terhadap kesihatan badan merupakan sesuatu yang tidak dapat dinafikan. Senaman bukan sahaja amat baik untuk fizikal dan mental kita, tetapi ia juga dapat mengurangkan simptom diabetes. Malah, ada juga senaman kurangkan gula dalam darah yang mungkin dapat membantu penghidap kencing manis!
Bukan itu sahaja, senaman juga dapat membantu pesakit diabetes mengawal berat badan, menurunkan tekanan darah, menguatkan otot dan tulang serta meningkatkan tahap kesihatan secara am.
Banyak bukan kelebihan senaman untuk penghidap kencing manis? Sebab itulah, The National Institutes of Health (NIH) menggalakkan penghidap diabetes untuk melakukan sekurang-kurangnya 150 minit senaman aerobik setiap minggu.
Tetapi, senaman apakah yang terbaik untuk mengurangkan kadar gula dalam darah? Jika anda ingin tahu lebih lanjut, jom ikuti kupasan kami dalam artikel di bawah.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.
5 senaman kurangkan gula dalam darah
Senaman mempunyai banyak manfaat untuk kita. Walau bagaimanapun, kepentingannya lebih besar terhadap penghidap diabetes.
Ada senaman kurangkan gula dalam darah, boleh meningkatkan tenaga dan membantu kita tidur dengan lebih lena.
Anda tidak perlu lakukan senaman yang berat-berat. Cukuplah sekadar berjalan, melakukan yoga atau menari bersama yang tersayang.
Semua senaman ini, walaupun nampak mudah, dapat membantu pesakit kencing manis mengawal simptom yang mereka alami.
Sedang mencari senaman kurangkan gula dalam darah? Cubalah salah satu daripada senaman di bawah!
Baca juga:
- Ingin Cara Semula Jadi Atasi Diabetes? Ini 6 Remedi Kawal Kencing Manis
- Senarai Makanan Patut Diambil Dan Perlu Dielak Buat Pesakit Kencing Manis!
1. Cuba berjalan kaki untuk kurangkan kencing manis
Jarang bersenam? Jika ya, cubalah berjalan kaki! Anda tidak perlukan peralatan yang lengkap untuk lakukan senaman ini. Cukup dengan sepasang kasut dan satu tempat untuk dituju.
Aktiviti berjalan kaki selama 30 minit setiap hari amat bermanfaat untuk pesakit diabetes. Malah, ia dikategorikan sebagai senaman berintensiti sederhana disebabkan keupayaannya untuk meningkatkan tahap degupan jantung.
Susah untuk berjalan 30 minit setiap hari? Apa kata bahagikannya kepada 3 dan cuba berjalan selama 10 minit pada waktu pagi, tengah hari dan petang!
2. Berenang untuk turunkan kadar gula dalam darah
Berenang merupakan sejenis senaman aerobik yang ideal untuk pesakit diabetes jenis 2. Malah, untuk mereka yang sering sakit kaki, senaman ini lebih sesuai kerana ia tidak akan meletakkan tekanan pada kawasan tumit dan buku lali.
Untuk keberkesanan yang maksimum, cuba berenang sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. Walau bagaimanapun, jangan lupa untuk mula dengan perlahan. Mereka yang menghidap pradiabetes juga digalakkan untuk berenang.
Berenang bukan sahaja merupakan satu senaman kurangkan gula dalam darah, ia juga dapat merendahkan stres, membakar kalori dan memperbaiki kadar kolesterol dalam darah!
3. Menarilah untuk lebih sihat!
Anda suka menari? Kami ada berita baik untuk anda! Menari bukan sahaja dapat mengurangkan stres, ia juga boleh meningkatkan kemampuan otak untuk mengingat dengan lebih baik.
Bukan itu sahaja, menari juga merupakan satu cara senaman yang menyeronokkan. Pasang sahaja lagu kegemaran dan menarilah selama 30 minit untuk membakar sebanyak 150 kalori!
Tidak ada pasangan untuk menari bersama? Jangan risau, anda boleh buka YouTube dan lakukan pelbagai senaman aerobik. Malah, ada juga senaman yang dibuat khas untuk pesakit diabetes!
4. Cuba berbasikal sebagai senaman kurangkan gula dalam darah
Hampir separuh penghidap diabetes mempunyai masalah neuropati diabetik atau arthritis.
Oleh sebab itu, mereka akan alami masalah untuk melakukan senaman berat, terutamanya yang membebankan kawasan kaki.
Jika anda mempunyai masalah sakit sendi, pilih senaman yang berimpak rendah. Salah satunya ialah berbasikal.
Berbasikal merupakan sejenis senaman aerobik yang dapat membuatkan jantung menjadi lebih kuat dan paru-paru berfungsi dengan lebih baik.
Malah, anda tidak perlu tinggalkan rumah untuk berbasikal. Jika anda mempunyai basikal pegun, senaman menggunakan basikal ini juga mempunyai manfaat yang sama dengan berbasikal di luar rumah.
5. Pesakit kencing manis, lakukan yoga untuk lebih relaks!
Yoga merupakan senaman tradisional yang dapat membina fleksibiliti, kekuatan dan keseimbangan badan. Ia amat bermanfaat untuk penghidap penyakit kronik, terutamanya diabetes.
Yoga merupakan salah satu senaman kurangkan gula dalam darah. Pada masa yang sama, ia dapat mengurangkan stres dan membantu pesakit mengawal kondisi ini.
Tahukah anda, stres berkait rapat dengan kadar gula dalam darah? Jika anda semakin tertekan, kadar gula dalam darah pun akan meningkat!
Yoga dapat mengurangkan stres dan memperbaiki fungsi saraf. Bukan itu sahaja, yoga juga merupakan sejenis senaman yang anda boleh lakukan sebanyak mana yang anda inginkan.
Menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal Physical Activity & Health, yoga dapat mengurangkan simptom depresi dalam kalangan orang dewasa yang menghidap diabetes jenis dua.
Lakukan senaman dengan selamat
Jika anda menghidap diabetes, mungkin sukar untuk anda memulakan sebarang regimen senaman.
Oleh sebab itu, pastikan anda berhubung dengan doktor terlebih dahulu dan dapatkan pendapat mereka sebelum memulakan apa-apa jenis senaman.
Jangan lupa, mulakan senaman secara perlahan-lahan. Jangan paksa diri, lebih-lebih lagi jika anda merupakan seorang yang tidak aktif secara fizikal.
Sebagai langkah berjaga-jaga, kami ada beberapa tip untuk mereka yang ingin lakukan senaman kurangkan gula dalam darah:
- Periksa kadar gula dalam darah sebelum dan selepas senaman. Pantau perubahannya selepas anda bersenam.
- Pastikan anda mulakan dan menamatkan senaman dengan regangan.
- Minum air dengan mencukupi untuk elakkan dehidrasi.
- Bersedia untuk menghadapi episod kurang gula dalam darah. Bawa sesuatu yang manis seperti jus atau gula-gula untuk meningkatkan kadar gula dalam darah.
- Sentiasa bawa telefon bimbit bersama anda.
- Pakai kasut yang betul dan stoking untuk lindungi kaki anda.
[embed-health-tool-bmi]