Penyakit kencing manis tahap 2 adalah jenis penyakit diabetes metabolik yang berpunca daripada tahap gula darah yang tinggi, atau juga disebut sebagai hiperglisemia.
Gula darah tinggi berpunca daripada beberapa perkara iaitu tubuh badan tidak mampu menghasilkan insulin yang cukup dan berkemungkinan badan tidak dapat menggunakan insulin dengan berkesan.
Ini disebut sebagai kerintangan insulin (insulin resistance).
Antara salah satu ciri penyakit kencing manis ialah tubuh badan tidak berkemampuan untuk menggunakan glukosa dalam darah.
Apabila ini berlaku, glukosa akan kekal dalam aliran darah dan seterusnya menyebabkan hiperglisemia. Jika dibiarkan berpanjangan, ia boleh merosakkan organ-organ dalam tubuh badan.
Salah satu jenis penyakit diabetes yang terkenal ialah kencing manis tahap 2, juga dikenali sebagai penyakit kencing manis orang dewasa.
Ini kerana ia lebih kerap berlaku dalam kalangan individu yang berumur 40 tahun.
Namun kini, diabetes jenis ini juga sudah tidak asing lagi dalam kalangan remaja dan kanak-kanak disebabkan pelbagai faktor seperti pemakanan yang tidak terjaga dan terkawal.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.
Simptom kencing manis tahap 2
Bagi kencing manis tahap 2 ini, tubuh badan tidak dapat menggunakan insulin dengan baik untuk memproses glukosa dalam darah bagi kegunaan sel tubuh.
Apabila ini berlaku, tubuh badan anda akan mengunakan sumber tenaga lain yang didapati daripada tisu, otot dan organ tubuh yang lain. Ia akan menyebabkan beberapa reaksi atau simptom.
Antara simptom-simptom awal bagi diabetes jenis ini ialah:
- Sentiasa berasa lapar
- Kurang tenaga
- Kerap keletihan
- Hilang berat badan
- Sering berasa dahaga
- Kerap membuang air kecil
- Mulut kering
- Mengalami kegatalan pada kulit
- Penglihatan yang kabur
Kebanyakan simptom ini adalah sama dengan diabetes jenis 1, namun simptom-simptom ini berkembang secara perlahan-lahan bagi jenis penyakit kencing manis tahap 2 ini. Ia mungkin berlaku dalam tempoh masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun.
Oleh sebab itu, ramai yang agak sukar mengesan penyakit kencing manis tahap 2.
Jika tahap gula darah berada pada paras yang tinggi untuk jangka masa yang lama, terdapat beberapa simptom lain yang boleh berlaku. Antaranya ialah:
- Jangkitan yis
- Luka lambat sembuh
- Terdapat tompok gelap pada permukaan kulit anda iaitu satu keadaan yang dikenali sebagai acanthosis nigricans
- Rasa sakit pada kaki
- Rasa kebas pada bahagian atas tubuh badan
Apa perlu buat?
Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan jika menghidap diabetes jenis ini. Antaranya ialah:
#1. Kawal pemakanan anda
Pilihlah makanan yang rendah lemak, garam dan gula.
Selain itu, ambil juga makanan yang tinggi dengan serat seperti kekacang, buah-buahan, sayur-sayuran dan juga bijirin.
Jenis pemakanan ini boleh membantu anda untuk mengekalkan berat badan yang ideal selain memastikan paras gula darah berada dalam keadaan yang stabil.
Pemakanan yang sihat seperti ini juga boleh membantu anda mengelakkan sakit jantung dan penyakit saluran darah.
#2. Lakukan senaman dengan kerap
Amalkan gaya hidup yang aktif dalam kehidupan seharian. Anda boleh berbasikal, berjalan kaki, berenang dan terlibat dengan aktiviti sukan yang lain.
Anda juga boleh mengekalkan keaktifan dengan melakukan kerja-kerja seperti berkebun, mengemas rumah atau mencuci kenderaan di luar rumah.
Gaya hidup yang aktif boleh membantu insulin menurunkan paras gula darah dengan mudah. Selain itu, ia menggalakkan kesihatan jantung seterusnya memberikan anda lebih banyak tenaga.
#3. Buat ujian darah setiap hari
Untuk mengetahui keadaan semasa berkaitan pengurusan diabetes, anda perlulah melakukan ujian darah setiap hari.
Ujian darah boleh membantu anda melihat perkembangan semasa diri anda sama ada berjaya mengawal paras gula darah ataupun tidak.
Sekiranya ujian darah menunjukkan bahawa anda masih mempunyai paras gula darah yang tinggi, anda berkemungkinan perlu mengubah cara pemakanan, cara bersukan atau pengambilan ubat diabetes anda.
#4. Makan ubat setiap hari
Pil diabetes dan juga suntikan insulin adalah antara jenis rawatan yang digunakan untuk mengawal paras gula darah.
Bagi penghidap diabetes yang masih berkemampuan menghasilkan insulin, anda mungkin hanya perlu ambil ubat-ubatan diabetes setiap hari.
Namun, nyatakan kepada doktor jika anda mengalami sebarang perubahan atau komplikasi setelah mengambil ubat-ubatan tersebut.
Bagi penghidap diabetes yang bergantung dengan suntikan insulin, anda mestilah mengambil suntikan tersebut setiap hari.
Jangan sesekali ‘skip’ suntikan insulin walaupun anda sedang sibuk atau sakit. Doktor akan memberikan panduan apakah jenis insulin yang perlu diambil, dos suntikan dan waktu suntikan tersebut perlu dilakukan.
Jangan memandai-mandai ubah jadual tersebut tanpa berbincang dengan doktor terlebih dahulu.
Komplikasi
Jika keadaan kencing manis tahap 2 tidak diuruskan dengan baik, ia boleh menyebabkan beberapa komplikasi yang serius terhadap organ tubuh anda. Antaranya ialah:
- Masalah kulit seperti jangkitan bakteria atau kulat
- Kerosakan saraf atau neuropati. Apabila kerosakan saraf berlaku, ia boleh menyebabkan hilang rasa sensasi atau menyebabkan kekebasan. Anda juga mungkin akan mempunyai masalah berkaitan pencernaan seperti muntah-muntah, cirit-birit dan sembelit
- Peredaran darah yang kurang baik pada bahagian kaki. Ini akan menyebabkan luka menjadi lambat sembuh sekiranya berlaku sebarang luka atau jangkitan
- Gangguan pendengaran
- Kerosakan pada retina mata yang menyebabkan gangguan pada penglihatan, glaukoma dan katarak
- Penyakit kardiovaskular seperti tekanan darah tinggi, arteri darah yang sempit, serangan jantung dan juga strok
Perbezaan diabetes 1 & 2
Berikut adalah antara perbezaan utama bagi diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2:
Bagi diabetes jenis 1, sistem imun tubuh tersalah anggap dengan menganggap sel sihat tubuh sebagai satu ancaman atau bendasing yang menyerang tubuh.
Apabila ini terjadi, sistem imun menyerang dan merosakkan sel beta yang menghasilkan insulin dalam pankreas. Apabila sel beta ini telah musnah, tubuh badan anda tidak lagi berkemampuan untuk menghasilkan insulin.
Antara faktor yang mungkin menyebabkan diabetes jenis 1 ini berlaku adalah genetik atau faktor persekitaran.
Bagi penghidap kencing manis tahap 2 pula, ia adalah disebabkan oleh kerintangan insulin yang berlaku dalam tubuh.
Tubuh badan anda masih menghasilkan insulin seperti biasa, namun tubuh tidak dapat menggunakannya dengan berkesan.
Antara faktor yang menyebabkan kejadian ini adalah disebabkan berat badan yang berlebihan dan menjalani kehidupan yang tidak aktif.
[embed-health-tool-bmr]
Fungsi insulin dan glukosa
Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan daripada organ yang disebut sebagai pankreas. Insulin memainkan peranan yang pelbagai dalam proses metabolisme tubuh.
Salah satu fungsinya adalah bagi menukarkan glukosa atau gula dalam darah untuk dijadikan sebagai sumber tenaga bagi sel dan juga organ tubuh.
Ia juga membantu tubuh anda menyimpan tenaga ini dalam otot, sel lemak dan hati untuk kegunaan pada masa akan datang.
Selepas anda makan, glukosa dalam darah anda meningkat naik dan memicu pankreas untuk menghasilkan insulin. Insulin kemudiannya akan dilepaskan dalam aliran darah anda dan pergi ke sel tubuh badan melalui aliran darah ini.
Insulin akan memberitahu sel tubuh untuk menerima kemasukan glukosa dan menukarkan glukosa tersebut menjadi tenaga setelah glukosa masuk ke dalam sel.
Tanpa kehadiran insulin, tubuh badan anda tidak akan dapat memproses glukosa atau menyimpannya sebagai sumber tenaga dan ia akan kekal dalam aliran darah.
Bagi kencing manis tahap 2, kerintangan insulin dicirikan oleh keadaan tubuh yang tidak memberikan respons yang baik terhadap insulin.
Pada peringkat awal jenis kencing manis tahap 2 berlaku, tubuh badan anda akan menghasilkan lebih banyak insulin daripada apa yang diperlukan oleh tubuh.
Apabila penyakit ini berlaku selama beberapa tahun, akan berlaku permintaan yang tinggi terhadap insulin yang dihasilkan oleh pankreas. Jika ia terus berlaku, maka sel beta yang menghasilkan insulin ini akan rosak dan tidak dapat menghasilkan insulin lagi.
Jika keadaan atau kerintangan insulin yang berlaku ini berada pada tahap yang tinggi, mereka yang menghidap diabetes mungkin memerlukan suntikan insulin bagi mengawal tahap gula darah mereka.
Jumpa doktor
Tidak semua individu mempunyai simptom yang sama yang menunjukkan bahawa mereka mengalami jenis penyakit diabetes 2.
Malah, ada yang mungkin tidak mengalami sebarang simptom walaupun sedang menghidap jenis kencing manis tahap 2.
Namun, anda mestilah berjumpa dengan doktor sekiranya mengalami sebarang penyakit atau perubahan yang tidak normal pada tubuh badan anda.
Jika anda mempunyai simptom-simptom seperti di bawah ini, sila berjumpa dengan doktor segera:
- Penglihatan yang kabur
- Rasa kebas atau kesemutan pada kaki
- Bengkak pada kaki, muka atau tangan
- Kekejangan atau kesakitan pada kaki
- Mengalami sakit pada bahagian dada
- Mengalami sesak nafas
- Rasa kebas atau rasa lemah pada sebelah bahagian badan anda
- Mempunyai berat badan yang tidak normal
Doktor akan memantau perkembangan pengurusan diabetes anda, dan melihat sekiranya anda mengalami sebarang komplikasi ringan ataupun yang lebih teruk.
Mereka yang bergantung kepada suntikan insulin untuk mengawal diabetes perlu lebih kerap untuk berjumpa dengan doktor.
Anda juga perlu kerap berjumpa pakar sekiranya paras gula darah tidak terkawal atau mengalami komplikasi yang lebih teruk.
#WorldDiabetesDay #DiabetesAwareness4All