backup og meta

Nasi Sejuk Baik Untuk Pesakit Diabetes! Ini Sebabnya...

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 09/10/2023

    Nasi Sejuk Baik Untuk Pesakit Diabetes! Ini Sebabnya...

    Jika diberi pilihan sama ada nasi sejuk atau nasi panas, manakah yang anda akan pilih? Ramai yang lebih gemarkan nasi panas, tetapi tahukah anda bahawa ia bukan pilihan terbaik khususnya untuk penghidap diabetes.

    Mengapakah begitu? Ini jawapannya!

    Beza nasi sejuk dan nasi panas

    Penghidap diabetes perlu mengawal pengambilan nasi putih memandangkan ia mempunyai nilai indeks glisemik (GI) yang tinggi.

    Semakin tinggi nilai GI sesuatu jenis makanan, maka semakin pantas makanan tersebut menyebabkan kenaikan gula dalam darah.

    Namun begitu, nasi yang sejuk mungkin tidak menyebabkan kesan yang sedemikian terhadap paras gula penghidap diabetes.

    Kajian berkenaan kesan pengambilan nasi jenis sejuk ini pernah dilaksanakan oleh para penyelidik daripada Universitas Indonesia pada tahun 2015.

    Menurut kajian tersebut, nasi sejuk mempunyai kandungan kanji degil (resistant starch) yang lebih tinggi berbanding nasi panas.

    Untuk pengetahuan anda, kanji degil ini merupakan sejenis serat yang tidak boleh dicerna oleh usus kecil. Ia akan bergerak terus ke bahagian usus besar untuk ditapai.

    Secara umumnya, tubuh akan mencerna kanji menjadi glukosa dan proses inilah yang menyebabkan paras gula darah meningkat.

    Memandangkan tubuh tidak dapat mencerna jenis kanji degil ini, maka ia tidak akan berubah menjadi glukosa dan menyebabkan paras gula darah kekal stabil.

    Dengan kewujudan kanji degil ini, pengambilan nasi jenis sejuk sebenarnya boleh membantu penghidap diabetes untuk mengawal paras gula darah mereka. 

    Manfaat makan nasi sejuk

    nasi sejuk

    Terdapat beberapa manfaat yang jelas berkenaan pengambilan nasi sejuk bagi penghidap diabetes. Antaranya ialah:

    #1. Bantu kawal paras gula darah

    Seperti yang telah diterangkan sebelum ini, nasi jenis sejuk mempunyai kanji degil yang lebih tinggi berbanding nasi panas.

    Malah, nilai GI nasi jenis ini juga jauh lebih rendah berbanding nasi panas yang baru dimasak.

    Disebabkan kedua-dua hal ini, ia boleh membantu penghidap diabetes untuk mengawal paras gula darah mereka.

    #2. Membuatkan perut lebih kenyang

    Kewujudan kanji degil dalam nasi sejuk sememangnya boleh memberikan rasa kenyang yang lebih lama.

    Ini kerana, peranannya adalah sama dengan jenis serat-serat yang lain.

    Apabila anda cepat kenyang, ia boleh membantu anda untuk mengawal nafsu makan selain mengurangkan pengambilan kalori harian anda. 

    #3. Membantu tugas insulin

    Kanji degil yang terdapat pada nasi jenis ini boleh membantu tugas hormon insulin yang membawa glukosa ke dalam sel.

    Apabila sel tubuh boleh menggunakan glukosa dengan baik, maka paras gula darah anda juga tidak akan meningkat secara mendadak. 

    #4. Merangsang pertumbuhan bakteria usus

    Kanji degil tidak akan dicerna dalam usus kecil dan terus bergerak ke usus besar.

    Di usus besar, kanji degil akan berfungsi menjadi makanan untuk bakteria baik, sekali gus merangsang fungsi bakteria baik ini dalam menjaga kesihatan perut anda. 

    #5. Menurunkan kolesterol tubuh

    Satu kajian ada menyatakan bahawa, kanji degil boleh membantu mengurangkan kolesterol jahat dalam tubuh badan kita.

    Ini sangat penting bagi penghidap diabetes memandangkan kolesterol jahat yang tinggi boleh menyebabkan komplikasi kencing manis lain.

    Ini termasuklah serangan jantung dan kesan buruk terhadap pembuluh darah. 

    Tip makan nasi untuk penghidap diabetes

    nasi sejuk

    Penghidap diabetes masih boleh makan nasi, dengan syarat anda tahu cara dan teknik yang betul. 

    Jenis beras. Antara yang boleh anda lakukan adalah dengan memilih jenis beras yang betul.

    Beberapa jenis beras mempunyai nilai GI yang rendah, sekali gus membantu mengawal paras gula darah. Antara jenis beras yang boleh anda makan ialah seperti beras perang dan juga beras merah.

    Beras-beras ini juga mempunyai kandungan serat yang tinggi selain rendah kalori. 

    Elak makan nasi lembik. Nasi yang agak lembik mempunyai nilai GI yang lebih tinggi berbanding nasi yang agak keras. Oleh itu, elakkan daripada menggunakan banyak air ketika menanak nasi.

    Elak beras hancur. Jenis beras hancur mempunyai nilai GI yang lebih tinggi berbanding beras biasa. Oleh itu, kurangkan penggunaan beras hancur kerana ia tidak sesuai untuk penghidap diabetes.

    Kurang makan bubur. Jika anda penghidap diabetes, bubur bukanlah pilihan yang terbaik untuk anda. Ini kerana, seperti nasi lembik, bubur juga mempunyai nilai GI yang lebih tinggi berbanding nasi biasa. 

    Kawal saiz hidangan. Selain jenis beras, anda juga masih perlu mengawal jumlah bahagian nasi yang anda makan.

    Dapatkan nasihat doktor atau pakar pemakanan berkenaan saiz hidangan nasi yang boleh anda ambil dalam sehari.

    Walaupun nasi sejuk lebih baik daripada nasi panas, namun itu tidak bermakna anda boleh mengambilnya secara berlebih-lebihan. 

    Ambil nutrisi lengkap. Untuk menjadikan hidangan nasi anda lebih lengkap, padankan ia dengan lauk-lauk yang tinggi kandungan protein dan juga hidangan sayur-sayuran. 

    Jaga pantang makan. Paling penting, elakkan diri anda daripada mengambil jenis-jenis makanan yang menjadi pantang bagi penghidap diabetes. Ini bertujuan untuk mengawal paras gula darah anda agar kekal stabil. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 09/10/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan