Diet tanpa nasi – Bagaimana anda boleh amalkannya?

Ada banyak cara anda boleh mengamalkan diet tanpa nasi.
Walau bagaimanapun, bukan nasi yang menjadi punca kegemukkan, sebaliknya jumlah nasi yang kita makan setiap hari. Di sini kami kongsikan beberapa cara atau tip untuk makan nasi semasa diet:
1. Diet tanpa nasi, mulakan dengan kawal saiz hidangan
Selepas ini, jangan ambil terlalu banyak nasi dan kawal saiz hidangan anda. Jika anda sudah mengambil nasi pada waktu pagi, cuba skip nasi untuk makan tengah hari dan makan malam. Ada banyak lagi makanan lain yang sedap dan berkhasiat tanpa nasi.
Selain itu, anda juga boleh amalkan kaedah suku-suku separuh. Buat mereka yang tidak tahu, kaedah ini merupakan satu langkah yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Cuba ambil separuh buah-buahan dan sayur-sayuran, suku daging seperti ikan, ayam dan sebagainya dan suku lagi nasi, mi, bijirin ataupun roti.
2. Makan lebih banyak sayur dan buah-buahan
Cuba kurangkan nasi dan tambah lebih banyak sayur ke dalam hidangan anda selepas ini.
Sayur seperti brokoli, asparagus, bayam, dan kubis bukan sahaja berkhasiat. Tetapi ia juga akan membuatkan anda lebih kenyang dalam jangka masa yang lebih lama.
Pastikan anda sentiasa menyimpan buah-buahan di dalam peti ais. Setiap kali makan, cuba penuhkan separuh pinggan anda dengan sayur atau buah yang anda gemari.
3. Gunakan kaedah masakan rendah kalori

Tip ketiga untuk mereka yang sedang diet, elakkan menggunakan kaedah memasak seperti menggoreng atau menambah santan, susu atau krim ke dalam makanan.
Cuba bakar atau rebus sayur atau daging yang anda ingin makan kerana ia akan mengandungi kalori yang lebih sedikit.
Dengan menggunakan cara memasak yang sihat seperti merebus, membakar, gril dan sebagainya, anda boleh mengurangkan lemak tepu di dalam makanan anda.
Malah, dengan menggunakan kaedah memasak yang sihat dan rendah kalori, anda dapat menyediakan makanan yang sedap dan mempunyai rasa yang asli tanpa menambah lemak atau garam berlebihan.
Kesimpulan
Tidak kiralah apa jua cara diet yang anda ingin lakukan, anda mungkin tidak akan mengalami sebarang penurunan berat badan jika tidak bersenam atau lebih aktif setiap hari.
Selain itu, bersederhanalah di dalam diet yang anda lakukan. Kadangkala, ada yang menjadi terlalu taksub dengan diet masing-masing dan tidak makan nasi untuk satu jangka masa yang lama.
Namun, setelah mengalami penurunan berat badan, mereka kembali makan nasi seperti biasa dan mengalami pertambahan berat badan semula.
Oleh sebab itu, pastikan anda konsisten di dalam diet anda, barulah anda boleh nampak perbezaannya! Jangan lupa, gunakan tip yang kami berikan di atas untuk melakukan diet tanpa nasi untuk lebih kurus dan langsing pada masa hadapan.