Hormon insulin merupakan sejenis hormon yang dihasilkan secara semula jadi oleh organ pankreas anda. Ia berfungsi mengawal paras gula dalam darah. Namun, sekiranya paras insulin ini menjadi terlalu tinggi, anda akan mengalami satu keadaan yang disebut sebagai hiperinsulinemia.
Apakah itu hiperinsulinemia?
Ini maksud sebenar hiperinsulinemia: Hormon insulin terlalu tinggi
Namun, mereka yang mengalami hiperinsulinemia tidak semestinya akan mendapat penyakit diabetes.
Punca berlakunya hormon insulin terlalu tinggi
Seperti yang telah dinyatakan di atas, hiperinsulinemia merupakan satu keadaan di mana paras insulin berada dalam keadaan yang tinggi.
Puncanya adalah sama dengan punca penyakit diabetes jenis 2 iaitu kerintangan insulin.
Kerintangan insulin berlaku apabila sel-sel tubuh manusia tidak berkemampuan untuk bertindak balas dengan baik terhadap hormon insulin.
Kesannya, gula darah berkumpul di dalam darah lalu menyebabkan bacaan gula darah menjadi tinggi.
Apabila paras gula darah menjadi terlalu tinggi, ia boleh merangsang pankreas untuk terus menghasilkan hormon insulin dan melepaskannya ke dalam aliran darah tanpa henti untuk tujuan mengawal gula darah.
Namun, disebabkan keadaan sel-sel tubuh yang sudah rintang terhadap insulin, ia menyebabkan paras insulin menjadi berlebihan dalam aliran darah,
Punca lain penyebab hormon insulin jadi tinggi
Walaupun hiperinsulinemia bukanlah syarat seseorang akan mendapat diabetes, namun ia mungkin menandakan seseorang itu mengalami penyakit lain.
Antara punca lain yang boleh menyebabkan keadaan hiperinsulinemia ini ialah insulinoma dan juga nesidioblastosis.
Untuk pengetahuan anda, insulinoma merupakan sejenis tumor yang jarang berlaku yang wujud pada sel pankreas.
Nesidioblastosis pula ialah keadaan di mana organ pankreas menghasilkan sel beta (sel penghasil insulin) dalam jumlah yang terlalu banyak.
Kedua-dua keadaan ini juga boleh menyebabkan paras insulin menjadi terlalu tinggi walaupun ia agak jarang berlaku.
Simptom-simptom hiperinsulinemia
Pada peringkat awal, keadaan hiperinsulinemia mungkin tidak menunjukkan sebarang tanda atau simptom yang jelas.
Namun, anda juga mungkin akan mengalami salah satu daripada gejala berikut:
- Berasa ingin makan makanan yang manis
- Cepat berasa lapar
- Mengalami kenaikan berat badan
- Rasa lapar yang melampau
- Berasa cepat penat
- Berasa cemas atau panik
- Sukar untuk menumpukan perhatian ketika melakukan sesuatu
Kesan-kesan hiperinsulinemia terhadap tubuh badan anda
Apabila paras insulin menjadi terlalu banyak dalam darah, ia berpotensi menyebabkan peningkatan risiko keradangan pada organ tubuh yang lain.
Sekiranya ini berlaku, ia boleh menyebabkan kemunculan beberapa jenis penyakit yang lebih serius seperti penyakit Crohn, Alzheimer, Parkinson, reumatoid artritis dan sindrom keletihan yang kronik.
Bagi penghidap diabetes pula, paras gula darah yang terlalu tinggi juga boleh menyebabkan pembuluh darah menjadi rosak dan memudahkan jangkitan melalui aliran darah anda.
Selain itu, apabila paras insulin anda terlalu tinggi, ia boleh mengakibatkan penyakit gout, aterosklerosis, tekanan darah tinggi dan peningkatan paras trigliserida.
Hiperinsulinemia juga boleh menyebabkan diabetes
Walaupun perkara ini jarang sekali berlaku, namun hiperinsulinemia juga boleh berkembang dan menyebabkan diabetes jenis 2.
Ini terjadi apabila organ pankreas anda sudah tidak berkemampuan untuk menghasilkan jumlah insulin yang mencukupi untuk keperluan tubuh.
Apabila pankreas anda menghasilkan insulin secara terus-menerus, ia boleh menyebabkan fungsi pankreas menurun dan menyebabkan kerosakan pada sel beta (sel penghasil insulin).
Kesannya, paras gula darah menjadi semakin tinggi dan tidak terkawal sehingga menyebabkan tanda-tanda diabetes.
Oleh itu, jika anda menyedari keadaan hiperinsulinemia ini lebih awal, segeralah merawatnya dengan cepat.
Ini boleh mengurangkan risiko anda untuk mendapat diabetes.
Ini cara untuk mengelakkan keadaan hiperinsulinemia
Bagi pesakit diabetes, pengambilan ubat-ubatan bagi mengawal paras gula darah sememangnya dapat membantu mengurangkan kejadian hiperinsulinemia.
Perlu diketahui bahawa kerintangan insulin berpunca daripada gangguan metabolisme tubuh yang dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti peningkatan berat badan.
Selain itu, metabolisme tubuh juga boleh terganggu disebabkan paras kolesterol yang tinggi, tekanan darah tinggi, faktor genetik dan juga gaya hidup yang kurang sihat.
Oleh itu, bagi mengatasi masalah hormon insulin ini, anda perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Antara perkara yang boleh anda lakukan ialah:
- Mengawal pengambilan karbohidrat dalam hidangan setiap hari. Ikuti panduan makan secara sihat khusus untuk pesakit diabetes
- Amalkan pemakanan yang memfokuskan kepada jenis makanan yang kaya nutrisi
- Kekal aktif dengan melakukan senaman setiap hari. Anda juga boleh melibatkan diri dengan melakukan pelbagai aktiviti yang sihat seperti membersihkan kediaman atau memperbanyakkan berjalan kaki
- Menguruskan stres dengan baik. Pastikan anda mendapat rehat dan tidur yang mencukupi setiap hari
[embed-health-tool-bmi]