Terapi insulin memainkan peranan penting dalam kehidupan penghidap diabetes. Cara cucuk insulin yang betul membantu mereka mengawal dan menguruskan tahap gula dalam darah.
Selain itu, suntikan insulin juga boleh mengelakkan sebarang komplikasi diabetes seperti kebutaan, kerosakan saraf atau buah pinggang.
Jadi, teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui cara penjagaan insulin yang betul, termasuklah cara cucuk insulin yang lebih berkesan.
Kaedah pemberian insulin
Sebelum mengetahui cara cucuk insulin yang betul, fahamilah bahawa terdapat beberapa kaedah suntikan insulin boleh diberikan kepada seseorang individu. Kaedah yang sering digunakan termasuklah:
- Penggunaan picagari
- Pen insulin
- Pam insulin
- Penyuntik jet
Di antara semua kaedah yang disenaraikan di atas, penggunaan picagari merupakan cara yang paling lazim digunakan oleh pesakit diabetes kerana kosnya jauh lebih murah.
Walau bagaimanapun, doktor akan memilih kaedah pemberian insulin yang paling sesuai buat anda, mengikut kemampuan dan kehidupan harian anda.
Bahagian tubuh yang betul untuk suntikan insulin
Insulin biasanya disuntik ke dalam lapisan lemak di bawah kulit anda. Oleh itu, saiz jarum picagari penting supaya insulin tidak disuntik ke dalam lapisan yang lain.
Jika anda mengalami rasa sakit semasa menyuntik insulin, itu bermakna anda mungkin tersuntik lapisan otot. Namun, jangan risau kerana ia tidak membahayakan, cuma kadar penyerapan ke dalam saluran darah adalah lebih cepat.
Jadi, ia tidak bagus kerana penyerapan insulin yang terlalu pantas boleh mengakibatkan paras gula darah rendah daripada normal.
Beberapa kawasan bahagian tubuh yang paling sesuai untuk suntik insulin termasuklah:
- Perut atau abdomen
- Paha
- Lengan
- Pinggul atau punggung
Suntikan yang paling kerap digunakan oleh pesakit diabetes ialah suntikan di bahagian perut atau abdomen. Apa yang unik mengenai bahagian perut ialah kadar penyerapan insulin adalah lebih cepat berbanding bahagian lain.
Baca juga:
Cara cucuk insulin yang betul
Pertama sekali, sediakan kit insulin anda dengan lengkap. Kit insulin berbeza mengikut kaedah penyuntikan seperti yang disenaraikan di atas.
Kaedah yang diterangkan di sini adalah penggunaan pen insulin. Kit insulin anda haruslah mempunyai:
- Pen insulin
- Insulin yang mencukupi seperti dos yang diperlukan
- Jarum pen baru
- Kotak pelupusan bahan tajam untuk membuang jarum yang telah digunakan
Pastikan kit anda sentiasa tersedia dan jika boleh, maklumkan ahli keluarga mengenai lokasinya jika berlaku kecemasan.
Untuk cara cucuk insulin yang betul, ikuti langkah-langkah berikut:
- Basuh tangan anda dengan air dan sabun sebelum menyuntik
- Letakkan jarum baru ke dalam pen insulin anda
- Tanggalkan penutup jarum pen
- Pegang pen dalam keadaan tegak dan lakukan aksi ‘pukulan udara’. Untuk melakukan aksi ini, anda kena mendail sekurang-kurangnya 2 unit insulin dan menekan punat untuk mengeluarkan ujian dos insulin. Hal ini penting untuk mengurangkan gelembung udara daripada jarum
- Setkan dos insulin yang ditetapkan oleh doktor
- Pilih kawasan berlemak dan lembut untuk disuntik seperti bahagian perut
- Cucuk sepantas yang mungkin, dan jika anda berada di lapisan betul iaitu lemak, anda tidak akan berasa sakit. Tekan punat secara perlahan untuk menyuntikkan dos insulin
- Setelah dos disuntik sepenuhnya, tahan jarum selama 10 saat untuk membantu pergerakan insulin dan menghalang insulin keluar
- Pastikan jarum dilupuskan ke dalam kotak khas setelah selesai.
Cara cucuk untuk kurangkan rasa sakit
Sebilangan besar cara cucuk insulin sebenarnya tidak menyakitkan. Salah satu tip utama yang penting adalah dengan menggunakan jarum baru untuk setiap suntikan.
Beberapa petua untuk mengelakkan atau mengurangkan rasa kesakitan ketika menyuntik, termasuklah:
- Sentiasa menggunakan jarum baru
- Gunakan saiz jarum yang sesuai buat anda. Doktor boleh memberi nasihat mengenai saiz jarum anda
- Gunakan insulin dan jarum yang berada pada paras suhu bilik
- Tolak jarum dengan pantas semasa menyuntik
- Kurangkan pergerakan jarum semasa anda menyuntik atau mengeluarkan jarum
Garis panduan penyimpanan insulin
Untuk memastikan insulin anda berfungsi pada tahap optimum, cara penyimpanan insulin memainkan peranan yang penting.
Berikut merupakan garis panduan penyimpanan insulin:
- Pastikan insulin anda tidak terdedah kepada haba atau sejuk yang melampau, dan cahaya matahari
- Jangan simpan insulin di dalam ruang sejuk beku atau dalam kereta
- Sekiranya insulin anda beku dalam peti sejuk, jangan gunakannya, walaupun ia telah dicairkan
- Walaupun pengeluar mengesyorkan menyimpan insulin anda dalam peti sejuk, menyuntik insulin sejuk kadangkala boleh menjadikan suntikan lebih menyakitkan. Untuk mengelakkan perkara ini, kebanyakan doktor menyarankan menyimpan botol insulin yang anda gunakan pada suhu bilik (dari 13°C hingga 27°C). Akan tetapi, suhu yang terbaik adalah di antara 2°C dan 8°C, seperti dalam peti sejuk kerana ia akan memastikannya elok sehingga tarikh tamat tempoh insulin
- Periksa botol yang mengandungi insulin dengan berhati-hati, termasuklah:
- Bau yang aneh atau perubahan warna
- Periksa jika ada ketulan putih pepejal atau kristal dalam botol atau pen. Insulin sepatutnya sentiasa jernih dan tidak kelihatan berkeladak. Insulin tersebut tidak boleh digunakan jika perkara-perkara yang dinyatakan di atas berlaku
Konklusi
Bukan sahaja cara cucuk insulin yang penting, malah bahagian suntikan dan cara penyimpanan insulin juga haruslah diambil kira untuk memastikan paras gula darah anda sentiasa terjaga.
[embed-health-tool-bmi]