home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Buat Pesakit Diabetes, Ini Yang Perlu Anda Lakukan Jika Terlupa Ambil Suntikan Insulin!

Buat Pesakit Diabetes, Ini Yang Perlu Anda Lakukan Jika Terlupa Ambil Suntikan Insulin!

Ada ketikanya, penghidap kencing manis berdepan dengan situasi terlupa suntikan insulin mereka. Malahan mereka terlupa cara suntik insulin dengan betul pada peringkat awal penggunaannya.

Apa yang perlu anda lakukan sekiranya terlupa mengambil suntikan insulin seperti biasa? Ini cara suntik insulin yang betul jika anda telah terlupa melakukannya.

Teruskan membaca artikel ini.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.

Sebab mengapa orang selalu terlupa suntikan insulin

Terdapat beberapa faktor atau punca yang menyebabkan seseorang itu selalu terlupa atau tidak mengambil suntikan insulin mereka. Antaranya ialah:

  • Terlupa mengambil suntikan insulin
  • Tidur berlebih-lebihan
  • Kit suntikan tidak ada bersama-samanya
  • Kehabisan stok insulin
  • Takutkan jarum suntikan
  • Insulin hilang secara sengaja

Ini yang mungkin berlaku pada tubuh anda saat terlupa suntikan insulin

suntikan insulin

Adakah terdapat sebarang kesan yang akan saya alami jika terlupa menyuntik insulin? Jawapannya adalah ya.

Jika anda terlupa satu dos suntikan insulin anda, ia akan menaikkan paras gula darah dan/atau keton. Keadaan paras gula darah dan keton yang meningkat ini disebut sebagai hiperglisemia dan juga ketoasidosis.

Sekiranya anda terlupa satu dos suntikan tersebut, anda mungkin akan alami perkara-perkara seperti berikut:

  • Kerap rasa dahaga
  • Kerap membuang air kecil
  • Berasa keliru atau rasa mengantuk
  • Nafas daripada mulut anda akan berbau seperti buah-buahan
  • Rasa loya atau seperti ingin muntah
  • Hilang selera makan
  • Kulit yang mengering dan berwarna kemerah-merahan
  • Peningkatan kadar degupan jantung

Apa yang perlu dilakukan sekiranya terlupa suntikan insulin?

suntikan insulin

Tiada sebarang aturan tetap yang perlu dilakukan sekiranya anda terlupa mengambil suntikan insulin anda.

Ia sebenarnya bergantung kepada seberapa lama suntikan tersebut tidak diambil daripada masa yang sepatutnya. Ia juga bergantung kepada jenis suntikan insulin yang diambil oleh anda.

#1. Jika anda mengambil jenis insulin jangka panjang…

Jika anda mengambil jenis suntikan insulin jangka panjang (basal insulin), anda masih boleh menyuntiknya dalam tempoh 2 jam daripada masa suntikan tersebut sepatutnya diambil.

Sebagai contoh, jika suntikan tersebut sepatutnya dijadualkan pada pukul 12 tengah hari, anda masih boleh menyuntiknya dalam tempoh sebelum pukul 2 petang.

Ini adalah cara suntik insulin yang tepat jika anda terlupa menyuntiknya sebelum ini. Memandangkan suntikan yang anda ambil telah terlewat, maka kesannya juga akan berlaku sedikit lewat dalam tubuh anda.

Anda mungkin akan mengalami simptom hiperglisemia dalam tempoh sebelum insulin tersebut aktif. Sekiranya anda telah terlupa melebihi tempoh 2 jam, sila rujuk doktor yang merawat anda.

Jangan sesekali menangguhkan pertanyaan anda kepada doktor kerana semakin lama anda menangguhkannya, maka semakin meningkatlah paras gula darah anda sehingga ke tahap yang berbahaya.

#2. Jika anda mengambil jenis insulin jangka pendek…

Jenis suntikan jangka pendek (bolus insulin) biasanya diambil pada waktu makan. Jika anda terlepas daripada waktu pengambilannya, anda masih boleh menyuntiknya dalam tempoh 2 jam daripada masa yang dijadualkan.

Anda juga perlu tahu bahawa kesan untuk insulin tersebut aktif dalam tubuh badan akan mengambil sedikit masa memandangkan anda terlewat mengambilnya.

Perhatikan sebarang tanda atau simptom gula darah terlalu tinggi atau terlalu rendah.

Lakukan ujian gula darah dengan lebih kerap daripada biasa dan bertanya kepada doktor anda sekiranya terdapat sebarang persoalan.

Sekiranya anda terlupa mengenai suntikan ini dalam tempoh melebihi 2 jam, ia mungkin akan menjadi lebih rumit kerana anda mungkin perlu menunggu waktu makan lain yang lebih lama sebelum boleh menyuntiknya kembali.

Jika tidak pasti berkenaan jumlah insulin yang patut diambil, hubungi doktor anda dengan segera untuk mendapatkan kepastian.

Kerap perhatikan paras gula darah sekiranya terlupa

suntikan insulin

Dalam apa jua keadaan, sekiranya anda telah terlupa mengambil insulin dalam tempoh yang sepatutnya, anda perlulah melakukan ujian gula darah dengan lebih kerap daripada biasa dalam tempoh 24 jam.

Ini bagi mengelakkan daripada paras gula darah anda menjadi terlalu tinggi (hiperglisemia) atau pun terlalu rendah (hipoglisemia).

Selain itu, keraplah menghubungi doktor atau klinik berdekatan bagi mendapatkan kepastian berkenaan waktu dan dos yang tepat jika anda tidak begitu pasti untuk menyuntik suntikan tersebut pada waktu seterusnya.

#HelloHealthCare #WorldDiabetesDay #HelloDoktor

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan

Josse RG, Woo V. Flexibly timed once‐daily dosing with degludec: a new ultra‐long‐acting basal insulin. Diabetes, Obesity and Metabolism. 2013;15(12):1077-84.

https://www.diabetes.co.uk/insulin/missing-insulin-injection.html

http://pendidikanpesakit.myhealth.gov.my/en/missed-medication-what-to-do/

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/diabetes/symptoms-causes/syc-20371444

https://www.cdc.gov/diabetes/managing/manage-blood-sugar.html#:~:text=

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz Disemak pada 4 minggu lalu
Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan