Sembelit dalam Kalangan Kanak-kanak: Apa yang Ibu Bapa Patut Tahu?

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 02/07/2020 . 8 minit bacaan
Share now

Corak usus setiap kanak-kanak adalah berbeza seperti juga orang dewasa. Ini bermakna suatu kebiasaan pada anak anda boleh menjadi suatu yang berbeza bagi kanak-kanak yang lain. Kebanyakan kanak-kanak mempunyai pergerakan usus sebanyak 1 atau 2 kali sehari. Sementara kanak-kanak lain 2 atau 3 kali sehari sebelum melepaskan najis yang normal. Sebagai contoh, jika anak anda sihat dan mempunyai najis normal tanpa rasa tidak selesa atau sakit, mempunyai pergerakan usus setiap tiga hari mungkin corak biasa bagi ususnya. Kanak-kanak yang mengalami sembelit mungkin mempunyai najis yang keras, kering, dan sukar atau menyakitkan. Keadaan ini mungkin berlaku setiap hari atau kurang kerap. Walaupun sembelit boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kesakitan, ia biasanya satu keadaan yang bersifat sementara dan boleh dirawat. Keadaan ini adalah masalah biasa dalam kalangan kanak-kanak. Dan, ini adalah salah satu sebab utama kanak-kanak dirujuk kepada pakar, yang dipanggil pakar gastroenterologi pediatrik.

Simptom Sembelit 

sembelit

Bayi yang secara eksklusif menyusu susu ibunya sahaja, tidak akan mempunyai masalah seperti ini, kerana hampir semua nutrien dari susu ibu akan diserap. Namun berbeza kepada bayi yang diberi susu formula, mereka mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk diserang masalah sembelit.

Malah, masalah sembelit dalam kalangan bayi dan kanak-kanak turut berlaku disebabkan makanan tertentu yang dimakan selepas makanan pepejal diperkenalkan.

Memahami tanda sembelit, pastinya dapat membantu mengatasi masalah kesihatan bayi sebelum ia bertukar menjadi masalah yang lebih besar. Berikut simptom-simptom yang anda perlu perhatikan:

Buang air besar

Kekerapan bayi akan membuang air besar pada setiap hari akan ada turun naik, terutama apabila anda memperkenalkannya makanan baru. Jika bayi anda tidak membuang air besar selama beberapa hari dan kemudian mempunyai najis yang keras, ia kemungkinan petanda mereka mengalami sembelit. Sembelit bukan sahaja bergantung kepada jumlah kekerapan membuang air besar, tetapi juga kepada keadaan najis itu juga.

Menahan

Sekiranya berlaku perubahan wajah bayi anda ketika sedang membuang air besar, seperti kelihatan tegang atau berkerut, ia mungkin tanda sembelit. Bayi yang berdepan masalah ini biasanya akan menghasilkan najis seperti tanah liat yang sangat keras.

Najis keras boleh menyukarkan proses membuang air besar, bayi anda berkemungkinan akan menangis atau menjadi tegang.

Darah

Sekiranya anda terlihat garis-garis darah merah di atas najis bayi anda, ia adalah kerana bayi mengalami kesukaran ketika proses membuang najis dan menyebabkan luka di sekeliling dinding dubur.

Perut keras

Perut keras boleh menjadi tanda sembelit. Kembung dan tekanan yang disebabkan sembelit boleh menyebabkan bayi anda cepat berasa kenyang. Selain itu, mereka juga mengalami sakit pada bahagian abdomen seperti sakit perut, kekejangan atau loya.

Tidak mahu makan

Kehilangan selera pada bayi anda mungkin disebabkan ketidakselesaan yang dihadapinya. Malah perut yang kembung juga boleh menyebabkannya tidak mahu makan.

Selain daripada simptom-simptom di atas, anda juga dapat melihat bahawa anak anda menyilang kakinya, riak wajah tidak menyenangkan, meregang, menepuk punggungnya, atau memusingkan tubuhnya di atas lantai. Ia mungkin kelihatan seolah-olah anak anda cuba menolak najis, tetapi sebaliknya dia cuba menahannya.

Punca Sembelit

Sembelit paling biasa berlaku apabila bahan buangan atau najis bergerak terlalu perlahan melalui saluran penghadaman, menyebabkan najis menjadi keras dan kering.

Banyak faktor yang boleh menyumbang kepada sembelit dalam kanak-kanak, termasuk:

  • Tahan air besar. Anak anda mengabaikan keinginan untuk air besar kerana dia takut akan tandas atau tidak mahu berhenti daripada bermain. Sesetengah kanak-kanak akan menahan air besar apabila mereka jauh daripada rumah kerana mereka tidak selesa menggunakan tandas awam.
    • Pergerakan usus yang sakit disebabkan oleh najis yang besar, keras juga menyebabkan kanak-kanak lebih gemar untuk menahan air besar. Jika kesakitan berlaku ketika air besar, anak anda akan cuba untuk mengelakkan keadaan yang menyakitkan ini.
  • Isu latihan tandas. Jika anda mula berlatih untuk menggunakan tandas terlalu awal, anak anda mungkin akan memberontak dan menahan diri daripada membuang air besar. Sekiranya latihan tandas di luar kemahuan anak anda, tabiat sengaja untuk mengabaikan keinginan untuk buang air besar akan bertukar menjadi tabiat tanpa sengaja yang mana sukar untuk diubah.
  • Perubahan diet. Kurang mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan serat boleh menyebabkan sembelit. Salah satu sebab biasa menyebabkan kanak-kanak sembelit apabila mereka bertukar daripada diet cecair semua kepada diet yang mengandungi makanan pepejal.
  • Perubahan rutin. Sebarang perubahan pada rutin anak anda – seperti melancong, cuaca panas atau stres – boleh menganggu fungsi usus. Kanak-kanak juga lebih cenderung untuk mengalami sembelit apabila mereka mula bersekolah luar daripada rumah.
  • Ubat-ubat. Ubat antidepressan dan pelbagai ubat yang lain boleh menyumbang kepada sembelit.
    • Alahan susu lembu. Alahan kepada susu lembu atau mengambil terlalu banyak produk tenusu (keju dan susu lembu) kadang kala boleh menyebabkan sembelit.

Pemakanan Punca Menyebabkan Sembelit

sembelit

Selain daripada punca-punca di atas, pemakanan memainkan fungsi yang penting dalam kesihatan anak anda, terutama semasa tahun-tahun terawal kehidupannya. Sesetengah jenis makanan tertentu boleh menyebabkan sembelit dalam kalangan bayi. Jika anak anda mengalami sembelit, mereka mungkin makan makanan-makanan seperti di bawah:

Makanan manis

Gula-gula, biskut, dan snek adalah antara makanan manis yang digemari oleh kanak-kanak. Jenis-jenis makanan sebegini selalunya mengandungi amaun gula yang banyak dan juga kurang fiber (serat). Tambahan pula, gula-gula juga dianggap menjadi penyebab anoreksia dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Jadi, anda perlu (dan mesti) mengehadkan makanan manis dalam diet anak anda.

Produk susu dan tenusu

Mentega, keju, krim, dan produk tenusu lain menyediakan amaun kalsium dan vitamin D yang banyak untuk perkembangan tulang kanak-kanak. Akan tetapi, jenis makanan ini juga boleh menyebabkan sembelit jika kanak-kanak mengambilnya secara berlebihan. Ini kerana susu dan produk tenusu selalunya mengandungi amaun gula yang tinggi dan serat yang amat sedikit. Bagi mendapatkan kesan yang elok dengan pengambilan produk tenusu, ambilnya dalam kuantiti yang sederhana.

Pisang

Pisang ialah salah satu buah-buahan yang berkhasiat dan banyak manfaat. Pisang mengandungi banyak vitamin serta nutrien. Namun, kanak-kanak yang masih belum matang sistem penghadamannya, akan mengalami sembelit jika mengambil terlalu banyak pisang. Anda boleh memberikan anak anda sebiji pisang pada selang 2-3 hari sekali.

Daging

Walaupun protein yang ada pada daging amat baik untuk perkembangan bayi, namun tetap tidak elok jika diambil berlebihan. Kanak-kanak yang makan banyak daging akan cenderung mengalami sembelit, terlebih berat badan, atau boleh menjadi obes disebabkan pengambilan berlebihan protein dan kurang serat. Oleh itu, ibu-ibu perlu memberi anak amaun daging yang sederhana dan elakkan pengambilan daging merah seperti daging lembu. Ibu bapa juga perlu menghidangkan daging bersama dengan sayur-sayuran untuk menjadikan hidangan lebih menarik dan untuk menambah lebih nutrien dalam diet anak.

Makanan berminyak

Makanan berminyak bukanlah pilihan yang baik untuk diberikan pada anak anda kerana amaun kolesterol dan lemak tepu yang tinggi. Jika anda tidak mahu anak anda mendapat sembelit yang kronik, maka anda perlu mengehadkan jenis makanan ini dalam diet anak anda.

Makanan dan minuman yang mengandungi kafein

Kanak-kanak sukakan minuman berkarbonat, coklat atau minuman yang mengandungi tinggi kafein. Jika anda berikan anak anda terlalu banyak minuman yang berkafein, mereka cenderung untuk mendapat sembelit. Selain itu, kafein juga membuatkan kanak-kanak mengalami kebimbangan, masalah pernafasan, dan hipertensi.

Faktor Risiko Sembelit

Sembelit dalam kanak-kanak lebih biasa terjadi kepada kanak-kanak yang:

  • Tidak banyak bersenam
  • Tidak mengambil makanan berserat yang mencukupi
  • Tidak minum cecair yang cukup
  • Mengambil ubat-ubat tertentu, termasuk antidepresan
  • Mengalami keadaan perubatan yang melibatkan anus atau rektum
  • Mempunyai sejarah keluarga yang mengalami sembelit

Diagnosis Sembelit

sembelit

Doktor anak anda akan:

  • Mengumpul sejarah perubatan yang lengkap. Doktor anak anda akan bertanya mengenai penyakit yang anak anda pernah alami. Doktor juga akan bertanya mengenai diet dan pola aktiviti fizikal yang dilakukan.
  • Menjalani pemeriksaan fizikal. Pemeriksaan fizikal yang dilakukan termasuk memasukkan jari yang telah dipakaikan sarung tangan ke dalam anus anak anda bagi memeriksa sebarang abnormaliti atau najis yang tersekat. Najis yang dijumpai di dalam rektum akan diuji bagi mengesan darah.

Ujian yang lebih teliti biasanya akan dilakukan hanya untuk kes sembelit yang paling teruk. Sekiranya perlu, ujian-ujian tersebut termasuk:

  • X-ray abdomen. Ujian X-ray yang biasa dilakukan untuk melihat sama ada terdapat sekatan di dalam abdomen anak anda.
  • Manometri anorektal atau ujian motiliti. Dalam ujian ini, tiub nipis yang dipanggil kateter akan diletakkan di dalam rektum bagi menyukat koordinasi otot yang anak anda gunakan bagi mengeluarkan najis.
  • X-ray enema barium.  Dalam ujian ini, lapisan usus diselaputi dengan pewarna kontrast (barium) jadi rektum, kolon, dan kadang kala sebahagian daripada usus kecil dapat dilihat dengan jelas melalui X-ray.
  • Biopsi rektal. Dalam ujian ini, sampel kecil tisu akan diambil daripada lapisan rektum bagi melihat sama ada sel saraf yang terdapat di kawasan itu normal atau tidak.
  • Kajian penanda atau transit. Dalam ujian ini, anak anda akan menelan kapsul yang mengandungi penanda yang akan kelihatan melalui X-ray yang akan diambil selama beberapa hari. Doktor anak anda akan mengkaji cara penanda tersebut bergerak melalui saluran penghadaman anak anda.
  • Ujian darah. Jarang sekali ujian darah dilakukan, contohnya bagi kes berkaitan dengan tiroid.

Rawatan Sembelit

Bergantung kepada keadaan, doktor anak anda akan menyarankan:

  • Makanan tambahan serat tanpa preskripsi atau pelembut najis. Jika anak anda tidak mendapat serat yang cukup di dalam diet, tambahkan makanan tambahan serat tanpa preskripsi seperti Metamucil atau Citrucel, mungkin boleh membantu. Walau bagaimanapun, anak anda perlu minum sekurang-kurangnya 32 auns (lebih kurang 1 liter) air setiap hari bagi membolehkan produk ini berfungsi dengan baik. Periksa dengan doktor bagi mengetahui dos yang tepat untuk umur dan berat anak anda.
  • Supositori gliserin boleh digunakan untuk melembutkan najis bagi kanak-kanak yang tidak boleh menelan pil. Tanya doktor anak anda mengenai cara yang betul untuk menggunakan produk ini.
  • Laksatif atau enema. Jika bahan najis yang terkumpul menyebabkan sekatan, doktor akan menyarankan supaya menggunakan laksatif atau enema bagi membantu menghilangkan sekatan tersebut. Contoh termasuklah polyethylene glycol (Glycolax, MiraLax, lain-lain) dan minyak mineral.
  • Jangan beri anak anda laksatif atau enema tanpa persetujuan doktor dan arahan dos yang betul.
  • Enema hospital. Kadang kala kanak-kanak mengalami sembelit yang teruk dan perlu dirawat di hospital untuk jangka masa pendek bagi membolehkan doktor menggunakan enema yang lebih kuat untuk mengosongkan usus. Ini dipanggil disimpaksi.

Perubahan Gaya Hidup & Rawatan Sampingan

Berikut merupakan perubahan gaya hidup dan kaedah rawatan sampingan yang mungkin membantu anda mengatasi sembelit dalam kanak-kanak:

Menukar susu

Jika anda memberi bayi anda susu ibu, anda mungkin perlu untuk menyeimbangkan diet anda. Ini kerana bayi anda mungkin sensitif terhadap sesuatu yang anda makan dan mengakibatkan sembelit, walaupun kes seperti ini jarang berlaku.

Bagi bayi yang diberikan susu formula, anda boleh menukar kepada susu yang lain. Alahan kepada bahan-bahan tertentu yang terkandung dalam susu formula itu boleh menyebabkan sembelit.

Makanan pejal

Sesetengah makanan pejal boleh menyebabkan sembelit, tetapi hal ini boleh diperbaiki. Jika anda baru mencuba memberikan makanan pepejal kepada bayi anda, cuba tambahkan beberapa makanan serat tinggi seperti:

  • Brokoli
  • Buah pear
  • Buah prun
  • Buah peach
  • Epal tanpa kulit

Kurangkan memberi bijirin yang diproses atau nasi, sebaliknya cuba berikan barli, oat atau quinoa. Roti atau biskut bijirin penuh, juga dapat membantu mengatasi sembelit.

Puri

Jika bayi anda berusia 6 bulan ke atas dan belum membuat peralihan kepada makanan pepejal, cuba beberapa jenis makanan yang disenaraikan di aras dalam bentuk puri. Buah-buahan dan sayur-sayuran mempunyai banyak serat semula jadi yang akan membantu pembuangan najis bayi anda.

Kuantiti air

Penghidratan yang betul adalah penting untuk melancarkan proses membuang air besar. Air dan susu sangat baik untuk mengelakkan bayi anda dari terhidrat. Untuk bayi lebih dari 6 bulan, jus prun atau pear boleh diberikan sekali-sekala untuk mempercepatkan kontraksi kolon bayi anda, sekali gus dapat membantu proses membuang air besar.

Jika jus terlalu manis atau kuat rasanya untuk bayi anda, tambahkan secawan air untuk mencairkannya. Bagi bayi yang di bawah usia 6 bulan, pastikan anda mendapat nasihat dan pandangan doktor sebelum memberikan apa-apa kepadanya selain susu ibu atau formula.

Banyakkan pergerakan

Bayi yang banyak bergerak akan membantu mempercepatkan proses pencernaan, sekali gus membantu pergerakan benda di dalam usus. Sekiranya bayi anda masih belum berjalan, pergerakan basikal di kakinya (leg bicycles) pasti akan membantu.

Urutan

Lakukan urutan lembut di bahagian perut dan bawah perut bayi untuk merangsang pergerakan usus. Ulangi senaman beberapa kali sehari, sehingga bayi anda ada membuang air besar.

Bagaimana jika masih tidak berjaya?

Melakukan perubahan dalam diet bayi anda (atau anda sendiri) pasti akan dapat membantu mengatasi masalah sembelit bayi anda. Namun jika masih tidak berjaya, anda perlu berjumpa dengan doktor anak anda untuk mendapat nasihat dan rundingan khusus.

Doktor anak anda juga akan dapat membantu melihat simptom atau tanda lain (seperti demam) yang boleh menjadi petunjuk masalah yang lebih besar yang mungkin memerlukan rawatan perubatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"
    Rujukan

    Artikel lain untuk anda

    manfaat susu

    Susu Kambing VS Susu Lembu, Yang Mana Lebih Baik Untuk Si Kecil?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 08/09/2020 . 3 minit bacaan
    alahan laktosa

    Benarkah Susu Mentah Mengurangkan Simptom Alahan Laktosa?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Shelby
    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab
    Diterbitkan pada 20/02/2019 . 2 minit bacaan
    lactose-intolerance-know

    Ketahui Apa Itu “Inteloransi Laktosa”

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Farah Aziz
    Diterbitkan pada 05/04/2018 . 2 minit bacaan