Komuniti merupakan platform selamat untuk anda berhubung dengan ahli lain, meinggalkan komen megenai topik yang anda pilih dan mendapatkan nasihat perubatan daripada pakar kesihatan kami.
Risau Anak Asyik Muntah? Ini Punca-Punca Anak Muntah Tetapi Tidak Demam
Muntah-muntah merupakan satu perkara yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Namun, ibu bapa pasti akan bimbang sekiranya anak muntah-muntah tanpa demam. Perkara ini boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor, salah satunya ialah masalah pencernaan anak.
Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan mengenai punca anak muntah-muntah, rawatan dan bila anda perlu bawa anak berjumpa doktor.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Punca anak muntah-muntah tanpa demam
Sebagai ibu bapa, menyaksikan anak muntah-muntah tanpa sebarang simptom demam boleh menimbulkan kebimbangan.
Pasti anda tertanya-tanya, apakah punca yang menyebabkan anak sering muntah? Adakah ia berlaku disebabkan penyakit serius atau hanya tindak balas normal?
Ada beberapa punca yang boleh menyebabkan masalah muntah tanpa demam pada kanak-kanak. Antaranya:
1. Masalah pencernaan
Masalah pencernaan merupakan punca anak muntah tanpa demam.
Muntah tanpa demam selalunya berpunca daripada masalah pencernaan seperti penyakit refluks gastroesofagus (GERD) atau keracunan makanan.
Selalunya, anak akan muntah sebagai refleks tubuh untuk membuang toksin daripada makanan yang telah dimakan.
2. Alahan atau intoleransi makanan
Tanda-tanda alahan.
Alahan makanan adalah salah satu penyebab utama anak muntah-muntah tanpa demam.
Sebagai contoh, alahan terhadap susu lembu atau kekacang boleh mencetuskan reaksi muntah selepas anak mengambil makanan tersebut.
Selain itu, terdapat juga kanak-kanak yang mengalami masalah intoleransi laktosa, iaitu ketidakupayaan untuk menghadam gula yang terdapat dalam susu.
Keadaan ini boleh menyebabkan mereka muntah selepas minum susu atau mengambil sebarang produk tenusu.
Tanda-tanda anak alami alahan
Kulit gatal, ruam atau kemerahan
Hidung berair atau tersumbat
Mata berair, gatal atau merah
Bersin atau batuk berterusan
Muntah atau cirit-birit selepas makan makanan tertentu
Bengkak pada muka, bibir atau lidah
Susah bernafas
3. Jangkitan virus atau bakteria
Sesetengah jenis virus seperti rotavirus atau norovirus boleh menyerang saluran pencernaan tanpa menyebabkan kanak-kanak demam.
Jangkitan tersebut boleh menyebabkan kanak-kanak muntah, sakit perut dan hilang selera makan.
Selain itu, jangkitan pada kawasan telinga yang dikenali sebagai otitis media juga boleh menyebabkan rasa mual pada kanak-kanak.
Selain rasa sakit, ketidakseimbangan tekanan dalam telinga boleh mencetuskan rasa mual dan muntah.
Kadangkala, perkara tersebut berlaku tanpa tanda-tanda jelas seperti demam, menjadikannya sukar dikenalpasti tanpa pemeriksaan doktor.
4. Tekanan punca anak muntah-muntah tanpa demam
Kadangkala, tekanan emosi juga boleh menyebabkan anak muntah tanpa sebab.
Tekanan emosi atau kebimbangan boleh menyebabkan anak muntah walaupun mereka tidak menunjukkan sebarang simptom fizikal.
Oleh itu, kanak-kanak yang cemas atau tertekan disebabkan akademik atau konflik di rumah, mungkin akan muntah secara tiba-tiba.
Selain itu, situasi yang menakutkan, seperti hari pertama di sekolah atau trauma tertentu juga boleh menyebabkan kanak-kanak tersebut muntah sebagai satu bentuk tindak balas badan terhadap ketegangan emosi yang dialami.
5. Anak tersedak atau ada masalah menelan
Kadangkala, kanak-kanak boleh muntah jika mereka tersedak atau mengalami kesukaran menelan makanan.
Sebagai contoh, jika makanan tersangkut di tekak, tubuh secara automatik akan cuba mengeluarkannya melalui muntah sebagai tindak balas semula jadi.
Selain itu, punca anak muntah-muntah boleh disebabkan masalah seperti penyempitan esofagus atau kelainan pada saluran tekak.
Namun, kondisi seperti ini memerlukan pemeriksaan lanjut dari pakar.
Rawatan anak muntah-muntah tanpa demam
Adalah perkara biasa bagi ibu bapa untuk berasa runsing apabila anak muntah tanpa sebab.
Untuk menguruskan masalah pencernaan anak, ibu bapa boleh mengambil langkah-langkah berikut:
Pastikan anak minum air dengan mencukupi: Berikan anak cecair seperti air kosong, larutan rehidrasi oral atau sup jernih untuk mencegah dehidrasi.
Perhatikan pemakanan mereka: Hindari makanan berminyak, pedas atau berat jika anak muntah. Pilih makanan yang mudah dihadam seperti roti bakar, nasi kosong atau biskut untuk memberi masa kepada perut pulih.
Cegah mabuk perjalanan: Jika anak mudah mabuk ketika perjalanan jauh, cuba elakkan aktiviti seperti membaca dalam kenderaan. Beri mereka ubat mabuk bagi mengelakkan simptom.
Pantau keadaan anak: Perhatikan sebarang gejala lain seperti cirit-birit, demam atau keletihan melampau.
Ibu bapa perlu mendapatkan bantuan perubatan jika anak muntah berterusan lebih daripada 24 jam.
Tindakan segera dapat membantu mencegah komplikasi yang lebih serius jika anak muntah-muntah tanpa demam.
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Causes and Management of Vomiting in Children. https://www.healthychildren.org/English/health-issues/conditions/abdominal/Pages/Vomiting.aspx. Diakses pada November 23, 2024.
Food Allergies in Children. https://www.foodallergy.org/resources/facts-and-statistics. Diakses pada November 23, 2024.
Gastroesophageal Reflux in Children.https://www.niddk.nih.gov/health-information/digestive-diseases/gastroesophageal-reflux-children. Diakses pada November 23, 2024.
Signs and Symptoms of Dehydration in Children.https://www.cdc.gov/nutrition/infantandtoddlernutrition/dehydration.html. Diakses pada November 23, 2024.
Emotional Stress and Physical Symptoms in Children. https://www.aacap.org/AACAP/Families_and_Youth/Facts_for_Families/FFF-Guide/Physical-Symptoms-of-Stress.aspx. Diakses pada November 23, 2024.
Versi Terbaru
26/11/2024
Ditulis oleh Fatin Zahra
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor