backup og meta

Kudis Api, Masalah Kulit Kanak-Kanak Yang Lebih Bahaya, Ibu Bapa Perlu Awasi Tanda Ini!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 2 minggu lalu

Kudis Api, Masalah Kulit Kanak-Kanak Yang Lebih Bahaya, Ibu Bapa Perlu Awasi Tanda Ini!

Mungkin ramai yang pernah terdengar atau terbaca tentang kondisi kudis buta bukan? Namun, bagaimana pula dengan masalah kudis api? Jika ingin tahu dengan lebih lanjut, teruskan membaca artikel ini!

Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Keibubapaan, anda boleh klik di sini.

Apa maksud kondisi kudis api?

Untuk pengetahuan anda semua, kondisi yang juga dikenali dengan nama impetigo dalam istilah perubatan ini lebih kerap berlaku kepada golongan bayi dan kanak-kanak berbanding orang dewasa.

Umumnya, ia akan menyebabkan kulit anak anda mengalami masalah kudis berwarna kemerahan yang mudah pecah dan mungkin mengeluarkan lendir atau nanah.

Apabila kudis itu mula pecah, maka akan keluar cecair dari situ yang kemudian bakal mengering dan mencipta keruping berwarna seakan kekuningan atau kecoklatan.

kudis api
Masalah kudis pada kulit bayi dan kanak-kanak.

Masalah kulit impetigo ini boleh dikelaskan kepada dua kategori iaitu jenis bullous dan bukan bullous.

Terdapat dua jenis masalah kudis pada kulit ini iaitu:

  1. Jenis bullous – Kudis berair yang selalu dikelirukan dengan cacar air atau kayap. Ia boleh muncul tanpa sebarang luka atau trauma pada kulit. Ia ditandakan dengan ulser yang akan terbentuk selepas kudis itu pecah.
  2. Bukan bullous – Kudis bernanah, melepuh dan melecet yang meliputi lebih separuh daripada kes masalah kulit ini. Ia biasa muncul akibat luka dan boleh merebak ke kawasan kulit di sekitar atau kepada individu lain.

Persoalannya, apa punca masalah kulit ini berlaku? Adakah ia berpunca daripada tabiat buruk si manja itu sendiri?

Apa punca impetigo?

Selain kudis buta, tidak kurang ramai ibu bapa yang tersalah anggap kudis api ini adalah penyakit tangan, kaki dan mulut sedangkan HFMD itu hanya terjadi angkara jangkitan virus Enterovirus.

Manakala, masalah kulit impetigo ini pula adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria bernama Staphylococcus Aureus atau Streptococcus Pyogenes. Jelas, ketiga-tiganya merupakan kondisi kulit yang berlainan.

Dalam pada itu, jangkitan kuman itu turut berpunca daripada faktor risiko berikut:

  • Umur, kanak-kanak berumur 2 ke 5 tahun paling berisiko
  • Luka akibat trauma pada kulit
  • Tabiat menggaru
  • Cacar air
  • Kondisi kayap
  • Masalah ekzema
  • Gigitan serangga
  • Jangkitan kurap
  • Sistem imuniti yang lemah
  • Cuaca yang panas dan lembap
kudis buta
Jangkitan skabies di kulit yang boleh berjangkit.

Tahap penjagaan kebersihan dan kesihatan juga boleh menyumbang kepada peningkatan risiko impetigo. Jadi, para ibu bapa wajar memantau dan memberi lebih perhatian kepada perkara ini ya?

Ini ubat kudis api paling mujarab!

Sekiranya masalah kulit ini sudah menyerang anak anda, haruslah cepat untuk mencari penawar. Selepas pemeriksaan, doktor mungkin memberikan preskripsi ubatan dalam bentuk topikal dan oral.

Terdapat ubat kudis api di farmasi yang mungkin boleh membantu merawat kondisi itu:

Krim antibiotik

Bagi mengurangkan kegatalan dan keradangan pada kudis di kulit anak anda, penggunaan krim antibiotik Mupirocin sebanyak 2 – 3 kali sehari selama – 10 hari boleh membantu merawat masalah itu.

Namun, ibu bapa perlu ingat untuk membasahkan kawasan sekitar kudis kulit anak anda sebelum menyapukan krim supaya antibiotik itu pantas meresap dan mencegah keruping daripada terkopek sendiri.

Perkara lebih penting, elakkan daripada menggaru kudis dan mengopek keruping agar ia lebih cepat sembuh!

kudis api
Sapuan krim antibiotik ke atas kulit berkudis.

Ubat antibiotik

Untuk jangkitan yang lebih teruk pula, doktor mungkin akan mempreskripsikan ubat antibiotik dalam bentuk oral. Ia perlu diberikan dan dihabiskan oleh anak walaupun jangkitan tampak sudah sembuh.

Ini penting untuk membunuh semua bakteria yang masih ada di dalam badan di samping bagi mencegah komplikasi lebih teruk seperti demam panas, sepsis, selulitis, osteomielitis serta glomerulonefritis.

Sekiranya pengambilan krim dan ubat antibiotik ini dilihat masih tidak berkesan, segera berjumpa doktor semula!

Langkah untuk membantu mencegah impetigo

Sesungguhnya, mencegah itu lebih baik daripada mengubati bukan? Jadi, ibu bapa perlu sentiasa memastikan kebersihan dan kesihatan anak di tahap yang terbaik.

Caranya, pastikan mereka tidak berkongsi pakaian atau alas tempat tidur, kerap memotong kuku kaki dan tangan serta sentiasa membersihkan diri terutama selepas bermain atau beraktiviti di luar rumah.

Dalam erti kata lain, masalah kudis api ini mungkin tidak begitu berbahaya namun masih boleh berlaku dan berjangkit kepada individu lain. Jadi, jangan biar dan segera rawat sebelum terlambat.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 2 minggu lalu

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan