backup og meta

Tak Mahu Vaksinkan Anak? Parents Jangan Menyesal Jika Jadi 3 Benda Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 18/05/2022

    Tak Mahu Vaksinkan Anak? Parents Jangan Menyesal Jika Jadi 3 Benda Ini!

    Pelan Imunisasi Kebangsaan telah melibatkan pelbagai jenis imunisasi kanak kanak di Malaysia. Antara salah satu kepentingan imunisasi ini adalah untuk membendung penularan wabak penyakit dalam kalangan kanak-kanak.

    Namun kini, ada sesetengah golongan ibu bapa yang mementingkan diri dengan menolak suntikan vaksin ke atas anak mereka.

    Anda mungkin belum tahu tetapi inilah tiga kesan jangka panjang jika anak anda tidak divaksin.

    Sempena Minggu Imunisasi Sedunia yang berlangsung dari 24 hingga 30 April ini, kami bawakan topik mengenai apa yang ibu bapa perlu tahu jika anak tidak divaksin.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Imunisasi kanak kanak di Malaysia telah bermula sejak tahun 50-an

    Pelan Imunisasi Kebangsaan bukanlah satu perkara yang baharu kerana ia telah diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia sejak tahun 1950.

    Antara jenis vaksin yang telah diberikan sepanjang program imunisasi ini ialah vaksin BCG (tuberkulosis), Hepatitis B, DTap (difteria, tetanus & pertussis), MMR (campak, rubella, beguk) dan Polio (IPV).

    Kesemua jenis imunisasi kanak kanak di Malaysia ini telah berjaya mengekang jangkitan wabak secara besar-besaran dan menyelamatkan jutaan nyawa rakyat di negara ini setiap tahun.

    imunisasi kanak kanak

    Malah, disebabkan pelaksanaan Pelan Imunisasi Kebangsaan ini, Malaysia telah diisytiharkan sebagai negara bebas polio oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2010.

    Namun sejak kebelakangan ini, wujud trend di mana ada golongan ibu bapa yang enggan membenarkan anak-anak mereka mendapatkan suntikan vaksin yang diberikan secara percuma oleh kerajaan.

    Keengganan ini kebanyakannya disebabkan termakan hasutan dan dakyah tidak berasas golongan anti vaksin di negara ini. 

    Ini kesan kalau anak tidak mendapat vaksin di Malaysia

    Kesan anak yang tidak mendapat vaksin di Malaysia ini tidak boleh dilihat dalam jangka masa pendek.

    Ini kerana kewujudan sesuatu penyakit atau wabak itu bukanlah berlaku secara serta-merta atau sepanjang masa.

    Kesan terhadap kanak-kanak yang tidak mendapat suntikan vaksin ini boleh dilihat dalam tempoh jangka masa panjang.

    Antara kesan jangka panjang yang boleh dialami oleh kanak-kanak yang tidak divaksin ialah:

    #1. Mudah terkena penyakit

    imunisasi kanak kanak

    Fungsi dan kepentingan imunisasi kanak kanak adalah untuk merangsang tubuh badan kita bagi menghasilkan antibodi melawan jangkitan penyakit tertentu.

    Vaksin bukanlah sejenis ubat, tetapi ia adalah satu kaedah pencegahan yang akan mengurangkan simptom atau kesan jangkitan penyakit sekiranya ia berlaku kelak.

    Sekiranya anak anda tidak divaksin, mereka akan mudah dijangkiti penyakit jika jangkitan tersebut berlaku kepada mereka.

    Dengan kata yang lebih mudah, tanpa vaksin, anak anda akan lebih mudah dijangkiti dan mengalami kesan jangkitan yang lebih teruk.

    Kadangkala, kesan jangkitan penyakit ini bukan hanya boleh berlaku selama berminggu-minggu, malah boleh menyebabkan komplikasi teruk sekali gus mengakibatkan kematian. 

    #2. Menyebarkan penyakit kepada orang lain

    Jangkitan sesuatu wabak penyakit itu boleh dielakkan sekiranya majoriti penduduk di sesebuah kawasan itu mengambil suntikan vaksin.

    Apabila jumlah pengambilan vaksin ini tinggi, maka ia boleh membantu mengurangkan jangkitan dalam kalangan mereka yang berisiko mendapat jangkitan.

    Inilah yang disebut sebagai imuniti berkelompok atau herd immunity.

    Namun, sekiranya lebih ramai individu tidak mengambil suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan, maka lebih ramai yang akan mendapat jangkitan dan tidak mustahil wabak akan kembali menapak dalam masyarakat.

    Kanak-kanak yang tidak divaksin berisiko untuk menyebarkan penyakit kepada orang lain sekiranya wujud trend golongan kanak-kanak yang tidak mendapat imunisasi.

    Kanak-kanak pula adalah antara golongan yang memiliki sistem pertahanan tubuh yang lemah.

    Oleh itu, mereka bukan sahaja boleh menyebarkannya kepada orang lain tetapi juga merisikokan diri mereka sendiri kepada maut.

    #3. Anak anda berisiko untuk dipulau atau diasingkan daripada kanak-kanak lain

    imunisasi kanak kanak

    Salah satu kesan jangka panjang kanak-kanak yang tidak mendapat imunisasi kanak kanak di Malaysia ialah, mereka berisiko untuk dipulaukan.

    Terdapat kemungkinan bahawa budak yang tidak divaksin akan dihalang daripada hadir ke sekolah atau pusat jagaan kanak-kanak.

    Tindakan seperti ini dilakukan bagi melindungi kanak-kanak lain daripada mendapat jangkitan yang berpunca daripada anak anda.

    Sekiranya situasi seperti ini berlaku, anak anda akan ketinggalan dari sudut pembelajaran formal mereka.

    Selain itu, anda juga mungkin perlu menjaga anak anda sendiri memandangkan anak anda tidak divaksin dan tiada pihak yang mahu merisikokan diri mereka menjaga anak anda.

    Anak anda juga mungkin akan berasa dipulaukan apabila dia kehilangan rakan sekolahnya dan tidak dibenarkan hadir ke sekolah.

    Situasi seperti ini mungkin kelihatan agak kejam, namun ia adalah gambaran realiti yang boleh berlaku. 

    Kepentingan imunisasi kanak kanak

    Secara umumnya, salah satu kepentingan imunisasi yang paling utama adalah untuk melindungi anak anda sendiri daripada jangkitan.

    Perlu difahami bahawa kanak-kanak adalah golongan yang mempunyai sistem imun yang lemah.

    Tanpa suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan, maka anak anda sangat mudah terdedah kepada jangkitan dan boleh mengakibatkan kesan yang sangat serius sekiranya dijangkiti.

    Selain itu, antara kepentingan imunisasi kanak kanak adalah untuk mengawal jangkitan daripada merebak.

    Jangan disebabkan tindakan kita menyekat anak-anak daripada mendapat vaksin, maka anak kita pula yang akan dipersalahkan kerana menjadi punca penyebaran penyakit.

    Jangan menjadi ibu bapa yang kejam dengan menafikan hak anak-anak untuk mendapat perlindungan daripada suntikan vaksin.

    Kepentingan vaksinasi ini bukan hanya untuk anak anda, tetapi juga demi kesejahteraan semua pihak.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 18/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan