Cukup ke hidangan makan tiga kali sehari untuk anak? Apakah cara pemakanan yang sihat harus diamalkan untuk menyokong tumbesaran mereka? Baca selanjutnya untuk jawapan.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Cara pemakanan yang sihat & waktu makan saling berkaitan
Mencipta jadual makan dan snek membantu anak mendapat pelbagai nutrien yang diperlukan dalam diet hariannya.
Memahami jenis kumpulan makanan berbeza dan cara memasukkannya ke dalam makanan harian membantu anak lebih dekat dengan keperluan nutriennya.
Apabila anak mendapat nutrien yang diperlukan, mereka akan membesar dan dapat mengekalkan tahap kesihatan dengan baik. Ini boleh diterjemahkan dengan kurangnya risiko jangkitan penyakit.
Gabungan pemakanan seimbang dan jadual makanan tetap membantu anak mengenali dan mengekalkan isyarat selera makan yang normal dan mengurangkan rasa kelaparan tidak menentu.
Diet sihat: Hidangan sepinggan lengkap
Cara makan dengan betul atau amalan pemakanan yang sihat adalah dengan mengamalkan diet seimbang berdasarkan kumpulan makanan yang disarankan seperti protein, makanan tenusu (atau pengganti bukan tenusu), buah-buahan, sayuran dan bijirin penuh.
Hidangan sepinggan lengkap, MyPlate merupakan ikon makanan sihat baharu yang menggantikan Piramid Makanan.
Dalam menyediakan amalan pemakanan yang sihat, sasarkan untuk memasukkan kebanyakan kumpulan makanan. Selain itu, anda juga boleh menggabungkan pelbagai jenis makanan dalam setiap kumpulan.
Sebagai contoh makanan sihat, dalam kumpulan buah, tawarkan pelbagai pilihan seperti pisang, epal dan mangga.
Elakkan daripada menawarkan jenis makanan yang sama berulang kali. Gabungkan makanan berlainan agar anak terdedah kepada beberapa nutrien berbeza sepanjang hari.
Peraturan asasnya adalah untuk menawarkan 4-5 kumpulan makanan semasa hidangan waktu makan utama dan 2-3 kumpulan untuk snek.
Cara pemakanan yang sihat: Waktu makan terbaik
Waktu makan dan snek berubah apabila anak semakin membesar. Apabila usia anak meningkat, saiz perut mereka juga akan membesar dan membolehkan mereka makan lebih banyak.
Ini kerana perut mereka sudah mampu menampung lebih banyak makanan. Situasi tersebut sekali gus akan memanjangkan tempoh masa antara makan dan snek.
Jadual makan anak kecil
Si kecil sehingga 6 tahun, memerlukan 3x waktu makan utama dan sehingga 3x waktu snek setiap hari bagi memenuhi keperluan pemakanan mereka untuk tumbesaran dan perkembangan.
Saiz perut yang kecil menjadikan amat penting untuk menawarkan waktu makanan kerap.
Cara pemakanan yang sihat untuk kanak-kanak
Anak bersekolah memerlukan antara 3x hidangan utama bersama 1-2 snek harian. Si kecil yang baru memulakan sesi persekolahan, mungkin perlu beralih secara beransur-ansur kepada 2x snek setiap hari.
Manakala anak yang lebih tua, akan mampu bertahan dengan hanya satu hidangan snek setiap hari.
Berita baiknya, setiap sekolah akan memberikan masa rehat. Jadi anda boleh menyediakan hidangan snek untuk anak.
Berikut antara beberapa idea contoh makanan sihat atau snek sihat untuk dicuba:
- Yogurt adalah makanan ringan yang sangat baik untuk kanak-kanak kerana ia adalah sumber protein dan kalsium yang baik.
- Anda mungkin menganggap popcorn atau bertih jagung sebagai makanan ringan, tetapi ia sebenarnya antara cara pemakanan yang sihat untuk kanak-kanak. Selagi anda tidak menambahkan sebarang topping yang tidak sihat, popcorn merupakan snek berkhasiat.
- Mentega kacang semula jadi (tanpa gula tambahan dan jenis lemak lain) adalah pilihan snek yang hebat. Ia memberikan anak anda protein dan lemak yang sihat.
- Kekacang sangat tinggi dengan lemak sihat, bersama dengan serat dan antioksidan. Lemak ini penting untuk menyokong pertumbuhan kanak-kanak.
- Biskut oat pisang buatan sendiri adalah makanan ringan sihat untuk kanak-kanak yang sukakan snek. Rasa manis biskut ini adalah daripada pisang lenyek dan bukan dari gula halus – sering dikaitkan dengan masalah kesihatan pada kanak-kanak, seperti peningkatan risiko penyakit jantung, obesiti dan diabetes jenis 2.
Jadual makanan untuk remaja
Remaja seperti individu dewasa, hanya perlukan 3x hidangan makan utama dan satu snek setiap hari.
Melainkan jika mereka merupakan seorang atlet yang memerlukan lebih banyak nutrisi untuk mengekalkan prestasi olahraga atau sedang dalam lonjakan pertumbuhan dan memerlukan tambahan kalori dan nutrien.
Cara pemakanan yang sihat: Menjarakkan waktu makan
Bagi si kecil hingga usia 6 tahun, menjarakkan waktu makan dan snek setiap dua setengah hingga tiga jam berfungsi dengan baik untuk kebanyakan anak.
Anak di usia persekolahan pula, makan selang tiga hingga empat jam nampaknya paling berkesan dalam mencegah rasa lapar yang keterlaluan dan makan berlebihan. Manakala untuk remaja waktu makan dan snek selang setiap empat hingga lima jam adalah yang terbaik.
Sebaiknya cuba kekalkan waktu makan dan snek dengan konsisten.
Kebaikan masa makan tetap
Mewujudkan waktu makan dan snek yang tetap akan membina kebolehramalan (predictability) dan rasa selamat berkaitan makan dan pemakanan. Ini membantu mengelakkan tingkah laku tidak diingini seperti makan berlebihan.
[embed-health-tool-child-growth-chart]