backup og meta

Masak Popcorn Guna Microwave Boleh Jadi Punca Kanser? Ini Penjelasannya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 22/04/2022

    Masak Popcorn Guna Microwave Boleh Jadi Punca Kanser? Ini Penjelasannya

    Bertih jagung atau popcorn merupakan antara snek yang menjadi kegemaran ramai. Namun adakah benar bertih jagung yang dimasak menggunakan ketuhar gelombang mikro boleh menjadi punca barah?

    Ikuti penjelasannya menerusi perkongsian artikel ini, semoga bermanfaat!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser sila dapatkannya di sini.

    Bertih jagung dalam ketuhar gelombang mikro & kanser

    Jika dahulu popcorn hanya dapat dinikmati apabila anda pergi menonton filem, namun kini ia sudah boleh dimakan walaupun di rumah.

    Anda hanya perlu menggunakan microwave dan menunggu lebih kurang seminit untuk dapat menikmati snek sihat tersebut kerana ia rendah lemak dan tinggi serat.

    Pun begitu dikatakan, sesetengah bahan kimia dalam makanan snek itu dan bungkusannya mempunyai kaitan dengan kesan negatif pada kesihatan, termasuklah menjadi punca barah dan keadaan paru-paru yang berbahaya.

    Benarkah ia punca barah?

    Dipercayai kemungkinan antara bertih jagung microwave dan kanser bukanlah daripada popcorn itu sendiri.

    Sebaliknya ia berpunca daripada bahan kimia dikenali sebagai sebatian perfluorinasi (PFC) yang terdapat pada beg bungkusan snek ini.

    PFC berfungsi untuk menyekat gris, menjadikannya ideal untuk mencegah minyak meresap melalui beg bertih jagung ini.

    Baca juga:

    PFC juga digunakan secara meluas dalam produk makanan lain, seperti:

    • Kotak pizza
    • Pembungkus sandwich
    • Sesetengah jenis pembungkusan makanan lain

    Masalah dengan PFC ini adalah ia akan terurai menjadi asid perfluorooctanoic (PFOA), sejenis bahan kimia yang disyaki menjadi punca barah.

    Bahan kimia ini akan masuk ke dalam bertih jagung semasa anda memanaskannya. 

    Kesannya? Apabila anda memakan popcorn yang dimasak menggunakan microwave ini, bahan kimia tersebut akan masuk ke dalam aliran darah dan boleh kekal di dalam tubuh untuk jangka masa yang lama.

    PCD secara umumnya telah digunakan dengan meluas sehingga dianggarkan lebih 98% rakyat Amerika mempunyai bahan kimia PFOA di dalam darah mereka.

    Disebabkan itu, pakar kesihatan berusaha untuk mengkaji sama ada PFC mempunyai kaitan atau tidak dengan kanser mahupun penyakit lain.

    Kajian yang dijalankan 

    Terdapat penyelidikan yang dijalankan untuk menentukan sama ada bahan kimia PFC boleh menjejaskan manusia atau tidak.

    Sekumpulan penyelidik telah mengkaji kesan pendedahan PFOA terhadap penduduk yang tinggal berhampiran kilang, yang melepaskan asap bahan kimia ini ke udara sejak tahun 1950-an.

    Setelah beberapa tahun melakukan kajian, para penyelidik mengaitkan pendedahan PFOA dengan beberapa masalah kesihatan kepada manusia, termasuklah barah testis dan buah pinggang.

    U.S. Food and Drug Administration (FDA) juga telah melakukan tinjauan sendiri terhadap PFOA melalui pelbagai sumber, termasuklah beg bertih jagung ketuhar gelombang mikro dan kuali tidak melekat.

    ketuhar gelombang mikro

    FDA mendapati bertih jagung yang dimasak menggunakan microwave ini menyumbang lebih daripada 20% kadar PFOA kepada hampir kebanyakan darah rakyat Amerika.

    Hasil daripada penyelidikan tersebut, pengeluar makanan secara sukarela menghentikan penggunaan PFC di dalam beg produk mereka pada tahun 2011.

    Dalam tempoh 5 tahun kemudian, FDA melarang penggunaan tiga PFC lain dalam produk pembungkusan makanan. 

    Ini bermakna bungkusan bertih jagung yang anda beli pada hari ini, tidak lagi mengandungi bahan kimia ini.

    Bertih jagung ketuhar gelombang mikro penyumbang masalah kesihatan lain?

    Selain daripada dikatakan menjadi punca barah, bertih jagung yang dimasak menggunakan microwave juga dikaitkan dengan penyakit paru-paru serius yang dikenali sebagai paru-paru popcorn (popcorn lung).

    Diacetyl – bahan kimia digunakan untuk memberikan bertih jagung microwave rasa dan aroma menteganya, dikaitkan dengan kerosakan paru-paru teruk dan tidak dapat dipulihkan jika dihidu dalam jumlah yang banyak.

    Paru-paru popcorn menjadikan saluran udara kecil di dalam paru-paru menjadi berparut dan menyempit sehingga ke tahap udara tidak dapat masuk dengan secukupnya.

    Penyakit ini menyebabkan sesak nafas, berdehit dan gejala lain yang sama dengan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD).

    ketuhar gelombang mikro

    Keadaan paru-paru popcorn tidak dianggap sebagai risiko bagi mereka yang memakan bertih jagung ketuhar gelombang mikro. 

    Walau bagaimanapun, seorang lelaki di Colorado dilaporkan mengalami keadaan itu selepas makan 2 beg bertih jagung yang dimasak menggunakan microwave sehari selama 10 tahun. 

    Pada tahun 2007, pengeluar bertih jagung utama telah mengeluarkan diacetyl daripada produk mereka.

    Tip mengurangkan risiko jika ambil bertih jagung ketuhar gelombang mikro

    Bahan kimia yang dikaitkan sebagai punca barah dan paru-paru popcorn telah dikeluarkan daripada beg bungkusan bertih jagung microwave

    Namun sekiranya anda masih bimbang atau merupakan individu yang memakan bertih jagung dalam jumlah yang banyak, ada cara yang boleh anda cuba.

    ketuhar gelombang mikro

    Cuba bertih jagung air-popping

    Anda boleh dapatkan mesin air popper dan menghasilkan bertih jagung ala-ala di pawagam versi anda sendiri. 

    3 cawan bertih jagung air-popped mengandungi hanya 90 kalori dan kurang daripada 1 gram lemak.

    Buat bertih jagung di dapur

    Selain menyediakan bertih jagung menggunakan ketuhar gelombang mikro, anda juga boleh menggunakan dapur memasak biasa. 

    Hasilkan popcorn menggunakan periuk bertutup bersama sedikit minyak zaitun, kelapa atau avokado. Gunakan anggaran 2 sudu minyak untuk setiap setengah cawan biji bertih jagung.

    Tambahkan perisa sendiri

    Tingkatkan rasa bertih jagung yang dimasak sendiri menggunakan perasa seperti minyak zaitun, keju parmesan diparut, kayu manis, oregano atau serbuk cili.

    Selamat mencuba!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 22/04/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan