backup og meta

Bayi Tersenyum Masa Tidur, Adakah Sebab Mimpi Indah? Ibu Ayah Kena Tahu Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/01/2023

    Bayi Tersenyum Masa Tidur, Adakah Sebab Mimpi Indah? Ibu Ayah Kena Tahu Ini

    Melihat bayi senyum adalah perkara yang membahagiakan. Tetapi bagaimana pula jika bayi tersenyum saat tidur atau mungkin ketawa, adakah ia sesuatu yang perlu dibimbangkan?

    Bolehkah bayi tersenyum saat tidur?

    Apabila ada bayi senyum atau ketawa ketika terjaga adalah keadaan yang normal, bahkan ia boleh mencairkan hati sesiapa yang melihatnya.

    Pun begitu, ada kalanya anda mungkin akan melihat bayi tersenyum saat tidur.

    Jika anda baru melahirkan bayi dan kerap memerhatikan mereka saat sedang tidur, pastinya anda akan perasan bahawa sesekali si manja kelihatan seperti tersenyum atau tersengih. 

    Pastinya ia momen yang sangat membahagiakan hati mommies.

    Tetapi mengapa anak yang tidur boleh tersenyum? Jom bongkar mengenainya.

    Memahami punca bayi tersenyum saat tidur

    Kebanyakan daripada kita, bahkan penulis sendiri berpendapat bahawa bayi yang tersenyum saat sedang terlena adalah kerana mengalami mimpi yang indah. 

    Malangnya tidak banyak bukti saintifik untuk mengesahkannya.

    Pun begitu, bayi tersenyum saat tidur mungkin kerana 4 sebab berikut:

    1. Perkembangan emosi

    Semasa terjaga, bayi terdedah kepada pelbagai bunyi dan pemandangan baharu. 

    Dalam tempoh itu, otak mereka yang sedang berkembang cenderung untuk mencatatkan semua pengalaman dan maklumat harian tersebut yang mungkin akan diproses ketika sedang tidur.

    Emosi gembira yang dirasakan semasa mengendalikan pengetahuan dan pemahaman baharu itu akan dipamerkan melalui senyuman dan tawa saat bayi sedang tidur. 

    Oleh yang demikian, bayi tersenyum, ketawa atau tersengih saat mata terpejam lena mungkin disebabkan sebahagian daripada proses perkembangan emosi si manja. 

    bayi tidur

    1. Melepaskan gas

    Dipercayai bayi akan mula mempamerkan senyuman sosial apabila berusia 3 hingga 4 bulan.

    Namun jika si manja tersenyum pada beberapa minggu pertama kelahirannya, ia mungkin menunjukkan bahawa bayi anda mengeluarkan gas.

    Pun begitu, tanggapan tersebut tidak mendapat sokongan daripada sebarang penyelidikan saintifik yang konkrit. 

    Walau apa pun, adalah fakta bagi bayi yang mengalami kolik untuk cenderung berasa terganggu, dan kentut dipercayai membantu mereka berasa lebih selesa.

    Kelegaan melepaskan angin mungkin antara sebab mengapa bayi yang sedang tidur kelihatan tersenyum.

    1. Kitaran tidur REM

    Semasa peringkat tidur REM, bayi mungkin akan mengalami perubahan fisiologi tertentu yang mencetuskan beberapa refleks dan salah satunya mungkin tersenyum.

    Fasa tidur REM juga akan mengakibatkan pergerakan mata yang cepat dan mimpi yang jelas. 

    Sekiranya anda menyedari si manja yang sedang terlena tertawa atau memberikan senyuman, dia mungkin berada dalam kitaran tidur REM – mungkin mengingatkannya tentang beberapa episod lucu yang berlaku pada awal hari.

  • Masalah berkaitan perubatan
  • Dalam kes yang jarang berlaku, kekejangan dan ketegangan mungkin terhasil sebagai ketawa yang tidak berhenti. 

    Jika anda menyedari sebarang simptom lain kepada bayi seperti penurunan berat badan, masalah ketika tidur, kerap merengek atau ketawa mahupun tersengih tanpa sebab yang jelas, dapatkan pemeriksaan doktor segera. 

    Masalah bayi ketawa dalam tidur yang berpanjangan boleh mengganggu waktu rehatnya sehingga menjejaskan tahap kesihatannya. 

    Perbezaan bayi tersenyum saat tidur

    Jadi kini anda sudah memahami mengapa bayi tersenyum saat tidur atau ketawa. 

    Tetapi tahukah anda bahawa terdapat perbezaan jenis senyuman yang boleh dihasilkan si manja?

    Jika bayi yang terlena dan tersenyum, ia mungkin terdiri daripada 3 jenis senyuman ini:

    1. Senyuman sosial

    Bayi cenderung mengalami banyak perubahan emosi dalam beberapa tahun pertama kehidupan mereka.

    Seiring peningkatan usia, mereka akan menjadi lebih responsif, waspada dan berinteraksi dengan individu lain. 

    Jika si manja anda mempamerkan senyuman sosial, itu menunjukkan 1 perkembangan penting dan ekspresi kemesraan terhadap anda. 

    Ia juga bermakna kemahiran komunikasi bayi semakin meningkat. Pada waktu ini, anda mungkin mahu berinteraksi lebih banyak dengan si comel melalui pelukan atau dengan berbual dengannya. 

    1. Senyuman refleksif

    Bayi yang sedang tidur juga mungkin akan menunjukkan senyuman sekilas terutamanya dalam beberapa hari pertama selepas kelahiran mereka.

    Pakar berpendapat episod senyuman itu adalah tindakan refleks yang serupa dengan refleks lain yang ditunjukkan si manja seperti menghisap. 

    Bahkan senyuman refleksif ini mungkin telah bermula semasa bayi masih di dalam kandungan ibu. Selepas dilahirkan, bayi akan menghasilkan senyuman refleks ini semasa fasa tidur REM.

    bayi tersenyum

    1. Senyuman responsif

    Jenis senyuman ini biasanya dapat dilihat pada usia bayi mencecah sekitar 6 hingga 8 minggu selepas dilahirkan. 

    Senyum responsif semasa tidur mungkin tindak balas bayi terhadap pengalaman deria atau perkara yang dia nikmati seperti suara yang menenangkan, pelukan dan lain-lain.

    Senyum responsif bukanlah reaksi sosial tetapi hanya tindakan berulang-ulang mengikut pada apa yang dirasakan oleh bayi.

    1 keadaan normal

    Bayi yang ketawa atau tersenyum semasa tidur adalah bahagian normal fasa tidur. Bahkan individu dewasa juga boleh tersenyum, tersengih atau ketawa ketika tidur dan ini adalah wajar. 

    Apa yang mustahak adalah si manja anda masih membesar dan mengikut proses tumbesaran dengan baik mengikut usianya.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan