Semua ibu bapa pasti mahu si kecil mereka untuk memulakan langkahnya dengan cepat. Persoalannya, adakah dengan ajar anak berjalan atau bertatih akan membantu proses itu?
Ajar anak berjalan @ bertatih
Rasanya memang naluri semula jadi ibu bapa untuk membantu anak, termasuklah dalam hal melibatkan bila si manja mahu memulakan langkah pertamanya.
Ada masanya kita berasakan bahawa mereka memerlukan bantuan dalam mengembangkan kemahiran motor dan ia adalah tugas ibu bapa untuk membantu merangsang si manja mula melangkah.
Walau bagaimanapun, menurut seorang pengarang buku keibubapaan, Janet Lansbury, sebenarnya ibu bapa tidak seharusnya memaksa bayi untuk mula berjalan.
Terdapat beberapa sebab yang menyebabkan perbuatan tersebut tidak digalakkan. Antaranya:
#1. Bahasa tubuh
Sebenarnya apabila berkaitan dengan perkembangan motor, bayi boleh mempelajarinya sendiri.
Ini kerana mereka sebenarnya lebih mengetahui sama ada mereka sudah bersedia untuk memulakan langkah atau tidak.
Apabila anda memegang tangan si manja untuk membolehkan mereka bertatih, anda secara tidak langsung menghalang keupayaan diri mereka untuk mencari keseimbangan diri dan menentukan apa yang mereka boleh lakukan atau tidak.
Sebaiknya anda perlu mempercayai bahawa si manja anda akan memulakan langkah pertamanya sebaik sahaja mereka bersedia untuk melakukannya.
Bahaya ajar anak berjalan #2. Keselamatan
Kewaspadaan serta keselamatan merupakan perkara yang saling berkaitan, dan perbuatan membantu si manja untuk berjalan membuatkan mereka menjadi kurang berwaspada.
Ini kerana tindakan itu membuatkan mereka berada dalam keseimbangan dan kebolehan palsu.
Bayi yang diberikan kebebasan untuk bergerak dan berkembang dalam cara mereka sendiri memperolehi pengetahuan untuk membuatkan mereka kekal selamat.
Pemikiran dan keseimbangan akan berhubung dan langkah yang akan diambil adalah dengan lebih berhati-hati.
Situasi ini sekali gus mengurangkan risiko untuk melakukan kesilapan dalam pergerakan.
[embed-health-tool-vaccination-tool]
Bahaya ajar anak berjalan #3. Kebergantungan
Apabila kita membantu si comel untuk bertatih, ia mungkin menyebabkan mereka ingin diperlakukan sebegitu secara berulang kali.
Keadaan ini bukan sahaja menimbulkan situasi kebergantungan kepada individu dewasa untuk mengimbangi badan, ia juga sebenarnya memupuk satu tabiat yang tidak sihat dalam aspek perkembangan motor bayi.
#4. Sakit belakang
Well, kesakitan ini adalah perkara yang akan dilalui oleh ibu bapa yang kerap membantu bayi untuk berjalan dan bertatih.
Sudah tentu ia adalah satu perkara yang tidak bagus untuk kesihatan anda kerana ia bukan sahaja boleh mengganggu perjalanan tugasan harian, malah ia mungkin akan menjejaskan mood seharian anda.
Bahaya ajar anak berjalan #5. Kawalan
Niat anda mungkin ingin membantu si kecil untuk bergerak secara bebas.
Namun sebenarnya tindakan kita ini adalah seperti mengawal si kecil dan menjadikan pergerakannya terbatas.
Anak-anak kecil memerlukan latihan bergerak secara bebas untuk membolehkannya memperolehi kemahiran baru.
Jadi cara terbaik adalah untuk menggalakkan mereka secara bebas dan mempercayai naluri dalaman mereka.
Konklusi
Walaupun kita berasa apa yang kita lakukan adalah untuk membantu si manja untuk cepat berjalan, hakikatnya perbuatan itu lebih banyak memberikan kesan yang tidak sihat kepada perkembangan mental dan fizikal si manja.
Jadi berikan mereka peluang untuk membangunkan keyakinan dan kepercayaan kepada diri.
Yakinlah, apabila mereka bersedia, mereka akan memulakan langkah pertama mereka dengan sendirinya.