Setiap ibu bapa baharu, pastinya akan berdepan situasi tidak cukup tidur, lebih-lebih lagi apabila bayi berjaga malam. Tetapi adakah isu anak tak tidur malam ini sesuatu yang normal?
Ayuh fahami lebih lanjut mengenai situasi ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Bayi berjaga malam: Usia 0 hingga 3 bulan
Sememangnya sebagai ibu bapa, terutamanya bagi yang pertama kali bergelar parent, masalah anak tak tidur malam boleh menyebabkan timbulnya kegusaran di hati.
Namun hakikatnya, pada peringkat baru lahir, bayi masih dalam proses menyesuaikan diri dengan pola tidur biasa.
Bayi baru lahir biasanya tidur sekitar 14 hingga 17 jam dalam sehari dengan pecahan 8 hingga 9 jam pada waktu malam dan antara 7 hingga 9 jam di siang hari.
Menjelang usia 3 bulan, mereka memerlukan tidur antara 14 hingga 16 jam dalam jangka masa sehari.
Ia satu tempoh masa yang panjang, bukan? Tetapi kenapa terasa seperti sekejap?
Ini kerana bayi akan bangun untuk menyusu tidak kira waktu siang mahupun malam dengan kerap.
Tidak dinafikan ia satu cabaran, namun situasi itu tidak akan berpanjangan dan akan berubah. Jadi mama papa sekalian, jangan berputus asa, okay?
Dipercayai terdapat 2 sebab mengapa lebih banyak bayi berjaga malam, iaitu:
Tidak mahu tidur semula
Bayi meragam setiap kali dibaringkan untuk tidur semula selepas berjaga.
Keadaan ini disebabkan bayi berasa lebih selamat untuk tidur meniarap, tetapi posisi tidur itu kerap dikaitkan dengan kejadian sindrom kematian bayi secara tiba-tiba (SIDS).
Oleh itu, pakar lebih mengesyorkan agar bayi sentiasa ditidurkan dalam keadaan menelentang.
Tetapi sekiranya keadaan itu mengakibatkan bayi lebih sukar tidur dan akan meragam, berbincanglah dengan pakar pediatrik.
Mungkin mereka boleh melakukan pemeriksaan untuk menentukan jika terdapat sebarang masalah kesihatan yang menjadi punca anak tak tidur malam.
Dalam kebanyakan kes, si kecil hanya tidak suka ditidurkan secara menelentang dan jika itu situasinya, ada beberapa tip yang boleh anda cuba untuk mendorongnya tidur kembali.
Cara yang boleh dicuba adalah dengan membedung bayi dan memberikannya puting kosong pada waktu tidur.
Keliru waktu, punca bayi berjaga malam
Biasanya kita akan melihat si kecil tidur sepanjang hari dan berjaga malam, bukan?
Cara nokturnal bayi baru lahir ini biasanya akan berubah apabila mereka dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar rahim.
Tetapi ada beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk membantu bayi membezakan antara siang dan malam.
Ingin tahu bagaimana caranya?
Atasi masalah anak tak tidur malam
Antara cara untuk membantu si kecil adalah dengan mengehadkan waktu 3 jam bagi setiap sesi tidur siang untuk mengelakkan bayi berjaga malam.
Anda juga boleh mewujudkan perbezaan ketara antara siang dan malam untuk menghindari tabiat anak tak tidur malam.
Contohnya seperti mengelakkan lampu menyala terlalu cerah dan tidak menghidupkan televisyen ketika menyusu pada waktu malam.
Jangan terkejut, kerana ada sesetengah bayi mungkin tidak tahu cara untuk tidur.
Bahkan terdapat juga si manja yang sukar untuk tidur semula setelah terbangun pada waktu malam.
Untuk mengatasinya, terdapat beberapa kaedah yang boleh anda lakukan untuk membantu si kecil belajar tidur, termasuklah:
- Tidak melakukan aktiviti yang memberikan rangsangan berlebihan hampir dengan waktu tidur
- Mencipta rutin tidur, seperti mandi, membaca buku dan menepuk sehingga mereka berasa mengantuk
- Memainkan muzik lembut semasa bayi tampak mengantuk dan lali
- Menawarkan objek peralihan yang boleh dibawa bayi ke tempat tidur. Ia mungkin selimut kecil atau anak patung. Tetapi elakkan daripada melakukan perkara ini sehinggalah anak cukup besar, iaitu sehingga bayi boleh berguling dan duduk. Tujuannya adalah untuk mengelakkan risiko mati lemas
- Membawa bayi ke tempat tidur semasa mereka mengantuk, tetapi pastikan anak tidak tidur lagi
- Memujuk si kecil apabila mereka berada dalam ketakutan
- Untuk penyusuan pada waktu malam, pastikan bayi berada dalam keadaan selesa dan tenang. Anda disarankan untuk memberikan tepukan perlahan pada belakang badannya agar si manja lebih tenang. Elakkan daripada membawa si manja keluar daripada tempat tidur atau itu hanya akan membuatkan bayi berjaga malam!
- Konsisten dengan rutin tidur dan juga tindak balas anda setiap hari. Hindari untuk melakukan perubahan jika tidak diperlukan
Baca juga: