Perhatikan suhu bilik, pastikan ia berada dalam keadaan yang bersesuaian dengan si manja.

- Mahukan perhatian
Ada masanya, si manja menangis hanya kerana mereka mahukan perhatian anda. Mungkin mereka mahu dipelukdan berasa dilindungi.
Sentuhan yang diberikan anda membuatkan mereka sedar bahawa anda berada di sekitar mereka. Ini terutamanya bagi si kecil yang baru dilahirkan.
- Rasa takut, mimpi buruk
Bagi si manja yang baru melihat dunia, pastinya ia 1 keadaan sangat berbeza berbanding ketika mereka di dalam rahim.
Perkara-perkara baharu ini akan diproses di dalam tidur sebagai mimpi. Jadi tidak mustahil untuk mereka berasa takut dan mendapat mimpi buruk, bukan?
Tetapi bolehkah si kecil bermimpi ngeri? Sudah tentu boleh cuma tiada siapa dapat memastikan apakah yang mereka mimpikan.
Tenangkan bayi menangis ketika tidur
Setiap ibu bapa pastinya mempunyai cara tersendiri untuk menenangkan bayi menangis.
Jika anda lihat si kecil tampak sedikit terganggu ketika tidur, ia mungkin bermakna mereka sedang dalam peralihan tahap tidur yang lebih mendalam.
Dalam kes sebegitu, anda mungkin perlu untuk menunggu dan melihat jika si manja memerlukan bantuan anda untuk berada dalam keadaan yang lebih selesa.
Sekiranya anda berasa perlu untuk menenangkan bayi menangis, berikut beberapa cara yang boleh dicuba apabila si kecil merengek secara tiba-tiba ketika tidur.
- Mendodoikannya
Apabila berdepan situasi bayi menangis ketika tidur, dukung dan dakap si manja dekat dengan badan anda.
Cuba untuk dodoikan mereka dengan pergerakan ulang-alik seperti ke depan dan ke belakang secara perlahan. Anda juga boleh memilih untuk meletakkan si manja dalam rocking chair.
Pergerakan yang berlaku akan dapat memberikan ketenangan kepada si kecil.
- Selimutkan si manja
Rahim bukanlah tempat yang luas dan bayi anda mungkin sudah terbiasa dengan sesuatu yang membaluti badan mereka.
Itu sebabnya si manja tampak lebih selesa apabila mereka berada dekat dengan anda.
Jadi cuba berikannya selimut atau bantal kecil untuk membantunya berasa lebih selesa.
- Suhu
Perubahan suhu boleh membuatkan bayi berasa panas atau sejuk dan kesannya bayi menangis ketika tidur.
Jadi anda perlu memastikan suhu bilik berada pada tahap yang sesuai untuk mereka. Ini terutamanya apabila berlaku perubahan cuaca.
Jika keadaan tempat tinggal anda beriklim sejuk, pastikan anda memakaikan beberapa lapisan pada si manja bagi mengekalkan rasa hangat pada mereka.
- Sedikit bunyi
Tahukah anda bahawa keadaan dalam rahim bukanlah sunyi? Bayi anda akan mendengar pelbagai bunyi seperti bunyi perut anda yang sedang lapar.
Maka keadaan sunyi adakalanya boleh menyebabkan si kecil berasa tidak selesa. Dodoikan si kecil sambil membuat bunyi seperti hush hush hush, yang perlahan.
- Bunyi alam
Anda juga boleh memainkan bunyi seperti ombak di pantai, bunyi air terjun atau hujan yang perlahan untuk menenangkan bayi menangis.

- Puting
Memberikan puting kosong mungkin membantu bayi yang gemar menghisap puting. Ia boleh dianggap sebagai alat penenang bagi si manja.
Biasanya selepas berusia 7 bulan, si kecil akan hilang rasa kebergantungan kepada puting ini.
Namun menurut pakar, jika mereka bergantung lebih lama untuk memberikan keselesaan ketika tidur, ia masih tidak akan menjejaskan tumbesaran mereka.
- Sentuhan lembut
Untuk menenangkan bayi menangis, melakukan sentuhan lembut kulit-ke-kulit mungkin cara yang terbaik.
Berikan sentuhan pada belakang badan si manja sehingga anda yakin mereka sudah dapat tidur dengan nyenyak.
Bawa berjumpa pakar
Selalunya, masalah bayi menangis ketika tidur tidak memerlukan sebarang pemeriksaan dengan pakar pediatrik.
Tetapi jika anda telah mencuba semua cara menenangkan bayi menangis di atas namun masih tidak berkesan, mungkin anda perlu membawanya berjumpa doktor untuk mengenal pasti punca sebenar.