backup og meta

Aduh! Si Manja Baru Tumbuh Gigi Dan Mula Pandai Gigit Puting? Cuba 5 Tip Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 21/10/2021

    Aduh! Si Manja Baru Tumbuh Gigi Dan Mula Pandai Gigit Puting? Cuba 5 Tip Ini

    Aduh…tengah leka dengan proses penyusuan, tiba-tiba puting terasa sakit kerana bayi menggigit ketika menyusu.

    ‘Seram’ pula rasanya. Apa cara untuk atasi keadaan ini?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Bayi menggigit ketika menyusu

    Bagi sesetengah ibu baharu, pasti akan berasa seram untuk membayangkan proses penyusuan badan ketika bayi sudah mempunyai gigi. Pastinya ia sesuatu yang menyakitkan. 

    Mungkinkah perlu menghentikan penyusuan badan?

    Alamak, janganlah sampai begitu. Gigi bayi yang tumbuh sepatutnya tidak memberikan kesan yang berlebihan kepada proses penyusuan. 

    Malahan pada ketika bayi berasa gusi tidak selesa kerana gigi mahu tumbuh, mungkin menyusu secara terus dari payudara merupakan sumber ketenangan terbaik buat si manja. 

    Adakah proses penyusuan akan menyakitkan?

    Sebenarnya semasa proses menyusu badan, gigi tidak akan terlibat sama sekali. Eh, betul ke?

    Jika lekapan (latch on) mulut bayi pada puting adalah betul, lidah si kecil akan berada di antara gigi bawah dan juga puting.

    Ini bermakna kemungkinan untuk bayi menggigit ketika menyusu adalah tipis.

    Adakah itu bermaksud mereka tidak akan menggigit anda langsung? Hmmm…tiada jawapan pasti dapat diberikan. 

    Ini kerana si manja mungkin akan melakukan eksperimen dengan menggigit setelah mempunyai gigi.

    Sudah tentu ia boleh menyebabkan beberapa keadaan yang menyakitkan dan tidak begitu menggembirakan.

    Jadi mungkin sudah tiba masanya untuk anda memberikan mainan gigi (teething toys) untuk si kecil. 

    bayi menggigit ketika menyusu

    Reaksi jika bayi menggigit ketika menyusu

    Gigi si manja yang sedang tumbuh itu adalah tajam dan pastinya gigitan yang diberikan boleh menyebabkan anda terkejut.

    Sudah tentu ia akan melibatkan sedikit jeritan, bukan?

    Walau bagaimanapun, jika anda mampu mengawal jeritan tersebut atau memperlahankannya, itu adalah yang terbaik. Tetapi kenapa?

    Ini kerana terdapat sesetengah bayi akan berasakan jeritan anda itu adalah sesuatu yang menggembirakan dan ia mungkin akan membuatkan mereka menggigit lagi bagi mendapatkan reaksi lain.

    Jadi sekiranya anda boleh menahan kesakitan tersebut, lakukannya.

    Dengan tenang, katakan kepada si comel “Tidak boleh menggigit” (walaupun mereka mungkin tidak memahaminya) dan lepaskan payudara anda daripada lekapan mulutnya.

    Untuk beberapa saat, anda juga boleh meletakan si manja ke lantai. Ini boleh memberitahu bayi bahawa gigitan dan penyusuan adalah tidak sesuai dilakukan.

    Anda tidak perlu membiarkan mereka berlama-lamaan di lantai, proses penyusuan boleh diteruskan selepas berehat sebentar (mungkin untuk menghilangkan rasa sakit dan terkejut).

    Namun, jika bayi sekali lagi menggigit ketika menyusu, lepaskan payudara anda daripada lekapan mulut si manja. 

    Tindakan anda itu bagi membolehkan mereka tahu menggigit adalah 1 isyarat komunikasi untuk menyatakan bahawa mereka sudah tidak mahu menyusu lagi.

    5 tip mengatasi masalah bayi menggigit ketika menyusu

    Berikut adalah beberapa tip yang boleh anda cuba untuk mengelakkan si kecil daripada menggigit agar proses penyusuan berjalan lancar:

    1. Gunakan mainan gigi

    Berikan si manja mainan gigi (teething toys) untuk mereka gigit atau kunyah beberapa minit sebelum memulakan proses penyusuan.

    Ataupun cara tradisional juga boleh membantu.

    Gunakan kain bersih yang dibasahi dengan air sejuk dan diletakkan di dalam peti sejuk selama beberapa minit, kemudian gosokkan secara lembut jari yang bersih pada gusi bayi bagi memberikan kelegaan sementara.

    Sekiranya bayi anda berusia lebih 6 bulan dan sudah makan makanan pejal, mungkin dia akan menyukai makanan sejuk seperti pisang yang dibekukan.

    bayi menggigit ketika menyusu

    1. Periksa lekapan penyusuan

    Bayi yang menyusu dengan teknik lekapan yang betul pastinya tidak boleh menggigit. Jadi anda perlu memastikan ia dilakukan dengan betul.

    Namun adakalanya, walaupun teknik lekapan betul, bayi mungkin masih akan menggigit puting anda.

    Ini terutamanya jika mereka tertidur ketika menyusu dan berasa puting seperti terkeluar daripada mulut. Ia tindakan refleks semula jadi.

    Jadi untuk menghindari situasi ini, pastikan anda menarik keluar puting daripada mulut si manja sebelum mereka tertidur atau sebaik sahaja mereka melelapkan mata. 

    Jangan terleka atau puting anda akan menjadi mangsa gigitan mereka!

    1. Salah faham

    Adakalanya gigitan yang berlaku mungkin disebabkan salah faham.

    Bayi anda mungkin memerlukan sesuatu untuk menggigit kerana berasa gatal pada gusi dan bukannya mahu menyusu.

    Jadi untuk mengelakkan sebarang salah faham dan kejadian yang tidak diingini akibat bayi menggigit ketika menyusu, anda boleh cuba memberikan si kecil jari anda (pastikan bersih, okay?).

    Jika mereka menghisap, bermakna mereka lapar dan bersedia untuk proses penyusuan.

    Sekiranya mereka menggigit, berikan mainan gigi kepada mereka.

    1. Perhatikan tanda kekenyangan

    Tabiat menggigit biasa berlaku apabila si kecil sudah kenyang dan hilang keinginan untuk menyusu.

    Jadi perhatikan sebarang tanda yang menunjukkan dia sudah kenyang seperti berhenti menghisap atau terlelap.

    Bawakan si kecil jauh daripada payudara bagi mengurangkan peluangnya untuk menggigit.

    1. Berikan perhatian

    Adakalanya bayi akan menggigit apabila anda tidak menumpukan perhatian kepadanya, seperti leka dengan panggilan telefon atau menonton televisyen. 

    Cuba untuk memberikan perhatian kepada si manja saat menyusu dan perhatikan jika ia membantu mengurangkan tabiat menggigitnya.

    bayi menggigit ketika menyusu

    Jangan berputus asa

    Penyusuan adalah 1 proses yang boleh mengeratkan ikatan antara ibu dan anak. Namun ia mungkin bertukar menjadi sesuatu yang menakutkan jika bayi menggigit ketika menyusu. 

    Tetapi berita baiknya, si kecil akan mudah dan cepat memahami bahawa gigitan semasa menyusu dan proses penyusuan adalah tidak selari, jika anda menghentikan penyusuan apabila digigit.

    Jadi anda perlu sentiasa bersabar dan elakkan daripada menjerit atau memarahi sewaktu bayi menggigit ketika menyusu, okay? Ini juga 1 pengalaman untuk anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 21/10/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan