home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Masalah Penyusuan & Cara Menanganinya

Masalah Penyusuan & Cara Menanganinya

Naluri penyusuan pasti ada bagi setiap ibu baharu. Akan tetapi, disebabkan kekangan tertentu menyebabkan ibu berputus asa untuk menyusukan bayi ataupun meneruskan penyusuan. Ketahui masalah penyusuan yang selalu dihadapi oleh para ibu dan solusinya.

Sakit puting

Ramai ibu yang mengadu puting mereka sakit terutama semasa hari-hari awal penyusuan. Masalah sakit puting ini boleh menyebabkan kemurungan dan melemahkan semangat ibu untuk terus menyusukan bayi mereka. Sesi penyusuan seharusnya berjalan dengan selesa apabila anda meletakkan bayi untuk menyusu. Kedudukan bayi yang salah ketika proses penyusuan atau salah meletakkan mulut bayi pada payudara akan menyebabkan ibu mengalami masalah ini.

Apa anda perlu buat?

  • Mulut bayi perlu diletakkan memenuhi areola (kawasan gelap di sekeliling puting) dan pada puting
  • Jika anda rasa sakit semasa bayi mula menyusu, letakkan sebelah jari anda yang bersih ke dalam mulut bayi dan betulkan semula kedudukan bayi semasa menyusu
  • Berjumpa dengan pakar laktasi jika masih rasa sakit semasa penyusuan
  • Tukar posisi berlainan setiap kali bayi menyusu
  • Jika puting anda luka, rawat segera bagi mengelakkan risiko mastitis. Selepas penyusuan, titiskan beberapa titik susu pada puting anda dan ratakan menggunakan jari yang bersih. Boleh juga gunakan krim khas untuk penyusuan

Sakit badan semasa penyusuan

Salah posisi semasa menyusukan bayi boleh menyebabkan ibu berasa sakit di bahagian belakang badan, leher ataupun tengkuk. Apatah lagi, proses penyusuan memakan masa yang lama dan kerap setiap hari.

Apa anda perlu buat?

  • Pastikan posisi badan anda dan bayi betul semasa penyusuan berlangsung. Kenal pasti posisi penyusuan yang memeri keselesaan pada anda seperti duduk, bersandar, ataupun berbaring mengiring
  • Gunakan bantal penyusuan untuk lebih selesa

Susu meleleh

Meskipun masalah susu meleleh tidak menyakitkan payudara, namun ia boleh menimbulkan ketidakselesaan buat si ibu. Coli yang basah menyebabkan ibu rasa tidak selesa. Tambahan pula, jika ibu berada di tempat awam.

Apa anda perlu buat?

  • Alas pad penyusuan pada payudara anda bagi menyerap susu yang meleleh pada puting dan mengelakkan coli dan baju daripada basah. Pad penyusuan boleh dilapik pada mana-mana coli penyusuan atau coli biasa

Leceh menyusu di luar rumah

Masalah timbul apabila ibu membawa bayi keluar rumah. Apabila tiba waktu menyusu, ibu akan berasa sukar dan kurang selesa menyusukan bayi di tempat awam. Apatah lagi, apabila ibu berada di tempat yang tidak menyediakan ruang untuk menyusu.

Apa anda perlu buat?

  • Pakai pakaian penyusuan semasa keluar rumah bersama bayi. Pakaian penyusuan direka untuk memudahkan ibu menyusukan bayi terutama semasa di luar rumah
  • Gunakan juga bra penyusuan yang direka untuk memudahkan ibu menyusukan bayi tanpa perlu membuka cangkuk belakang bra
  • Bawa selendang penyusuan atau poncho ke mana-mana semasa anda berada di luar rumah. Selendang penyusuan ini dapat membantu melindungi aurat ibu semasa sesi penyusuan

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan

Sumber:

https://www.womenshealth.gov/breastfeeding/breastfeeding-challenges/common-breastfeeding-challenges

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin Disemak pada 27/11/2019
Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel